RSS

Sunday, November 15, 2009

warkah dakwah cinta untuk adikku

Assalamualaikum wbt. Ustaz mulakan warkah ini dengan memanjat syukur kepada Allah SWT kerana telah mengaturkan sebuah pertemuan di antara kita. Sesungguhnya jiwa ini amat meronta-ronta untuk memohon maaf kepada adik2 sekelian. Gelak ketawa yang keterlaluan yang ustaz mulakan telah membawa ustaz jauh berlari dari topik yang di bincangkan. Ustaz tidak mahu pengisian tadi hanya di lisan, tidak mahu menerjah ke dasar hati. Ia tidak akan bisa memberi manfaat. Jika berlaku demikian, ust bertanggungjawab kepada adik2 dan bersedia memohon maaf.

Wahai adik-adik ku, ustaz rasa amat bersalah kerana tidak sempat menghuraikan tajuk dakwah cinta secara mendalam. Oleh hal yang demikian, ustaz mengambil langkah untuk menulis warkah ini. Moga-moga persoalan yang tersangkut petang tadi menemui jawapannya.

Duhai pejuang islam, apakah dakwah dan apakah cinta? Bagaimanakah kaitan di antara keduanya.?

Maka dakwah ialah (النداء) : Seruan atau panggilan.
Dalam bahasa Melayu juga dakwah bermaksud: kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.

Dakwah yang kita maksudkan ialah: Dakwah kepada ALLAH, Firman-Nya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada (agama) ALLAH dengan keterangan dan bukti yang jelas nyata," (Yusuf; 108)

Cinta? Cinta sukar di terangkan dengan kata-kata. Perbicaraannya wujud di antara kekasih dan yang di kasihi. Ia menjalar di segenap insan dengan penuh kerahsiaan.

Berkata Guruku, Syeikh Abu Hubaib As Syathariy:

“…… Cinta adalah titik bagi segala kejadian. Tanpa cinta Allah pada Nabi SAW, tiada Allah menjadikan sekelian alam. Cinta memiliki kuasa yang hebat, ia boleh membawa kepada kebaikan, ia juga boleh membawa kemusnahan.

Cinta boleh menyebabkan sang Raja meninggalkan istana, yang jauh menjadi dekat, yang payah menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang sengsara merasa gembira. Cinta bagaikan siraman air bagi bumi yang kegersangan. Cinta dapat memadamkan ammarahmu, dendam, marah, dengki, sombong, khianat dan lainnya. Segala mazmumah akan lemah apabila berhadapan dengan cahaya cinta yang bertunjang Illahi. Nabi SAW menyebarkan cahaya-cahaya cintanya memaafkan segala mereka yang menghalaunya daripada Mekah, cahaya cintanya menghalang malaikat dari membalikkan bukit Thaif kepada penduduk yang menzaliminya, cahaya cintanya dapat menyatukan segala kabilah, cahaya cintanya dapat menundukkan segala musuhnya.

Mereka yang memiliki cinta, jiwanya bersifat pemaaf, jiwanya penuh dengan kelapangan, jiwanya penuh keterbukaan, yang payah menjadi mudah. Namun jika cinta tiada dalam hati, maka segalanya bertukar yang kecil dianggap besar, yang senang dianggap payah, yang ringan dianggap berat.

Seorang yang menyintai Allah, akan menyintai syariatNya dan tiada terasa payah mengamalkanNya, malah merasa manis bermujahadah dengan perintahNya. Mereka yang menyintai Nabi SAW, akan menyintai sunnah Baginda, akan menyintai segala ahli keluarganya, segala sahabatnya dan sekelian golongan yang dicintai Baginda SAW. Terasa manis mengamalkan sunnahnya, terasa manis menyampaikan risalahnya dan terasa manis apabila diuji sepertinya.

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Al-Imran: 31)

Wahai saudaraku,

Suburkan cahaya Asmaa Ar-Rahman dan Ar-Rahim pada dirimu, maka berjalanlah dengan cahaya itu. Kemudian engkau pantulkan pula pada dirimu, ahli keluargamu, alim ulama, para sahabatmu, masyarakatmu dan ke seluruh alam. Jika cinta pada keluarga atau wanita atau lelaki atau lainnya bukan disandarkan pada cinta Allah, engkau akan terkurung dalam kegelapan neraka yang mengoyakkan hatimu. Semua cinta itu akan membinasakanmu. Maka bebaskan dirimu dari segala belenggu cinta yang lain, jadikan cinta sebagai buraq untuk dirimu mikraj kepada Allah, maka cinta disuburkan kepada Allah dan Rasul.

Engkau mujahadahkan jiwamu dengan cinta para kekasih Allah, para ulama akhirat, para mursyid yang hakiki dengan takzim, tawadhu, khidmat, korban dan doa pada mereka. Engkau kasihkan keluargamu dengan berikan ilmu dan kebaikan kehidupan. Senangkan isteri atau suamimu dengan segala yang menyenangkan selagi ianya dihalal oleh Allah dan Rasul. Bahagiakan mereka kerana Allah, bersabar dengan kelemahan mereka kerana Allah.

Cinta perlukan pengorbanan. Berbaik sangka adalah serendah-rendah cinta, bersama merasa senang dan susah adalah pertengahan cinta, dan mendahului yang dicintai adalah setinggi-tinggi cinta. Maka beramallah kamu salah satu antaranya dalam pergaulanmu dengan manusia, dan bermujahadahlah sehingga sampai kepada yang ketiga. Insya Allah, inilah jalan yang membawa dirimu menjadi para kekasihNya.

Bersabda Rasulullah SAW:

Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya (di akhirat nanti.)(Bukhari & Muslim)

Mujahadah cinta boleh menerbangkan kekasih pada kekasihnya, dapat berhimpun dengan jemaah para kekasihNya. Kuasa cinta dapat menghilangkan kepanasan di padang mahsyar, kuasa cinta dapat memberi syafaat pada sekelian yang berdosa, kuasa cinta akan dapat bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga nanti”.

Adiku, Perjuangan tanpa kasih dan sayang akan melahirkan sekeping hati yang amat keras. Sentiasa memcari keaiban lawan, lawan di anggap musuh yang wajar di perangi. ustaz ingin bertanya kepada adik-adik. Biarkan lafaz terkunci, kerana ustaz mahukan jawapan dari hati kalian. Jika seseorang datang mengajak kalian kepada dakwah islam tetapi dalam masa yang sama juga dia menyerang peribadi kalian? Adakah kalian terima dakwahnya meskipun benar belaka segala hujahnya? Kebanyakan dari kalian pasti memberontak lantas menolaknya. Betul kan? Betapa ruginya si dia di sebabkan dua tiga celaan dan makian, dia telah gagal menarik hati adik2 ke arah islam. Mahukah kalian mengulangi kesilapan demikian?

Ustaz dapat merasakan jiwa2 kalian yang amat lembut. Usah kasari ia dengan tindak tanduk jumud. Maksud ustaz di sini adalah tidak memandang sebelah mata jika mereka berpaksikan golongan di sana atau puak yang tidak berada di dalam perjuangan ini. Pandanglah mereka dengan kasih sayang dan doakan mereka. Mereka bukan menolak islam tetapi terkeliru dek kejahilan. Kemungkinan juga mereka ada acuan tersendiri dalam bergerak tetapi kiblat perjuangan tetap bersama kita.


Sematkan pesan Imam As Syahid Hasan al Banna di hatimu. Tiga Rukun islamiah yang kita bincangkan, lebarkan ia ke seluruh kenalan kalian. Jadilah burung yang terbang, Bersayapkan taaruf, berarahkan tafaahum berparuhkan takaaful. Terbang sejauh mungkin adik ku..jika tidak ramai pasti ada juga tangan2 yang menumpang terbang bersama.


Seorang pujangga bermadah


“Cinta itu sendiri akan mengajar anda adab bercinta”


Adab bercinta yang jelas tidak menyakiti hati insan yang di sayangi, mad’u seolah-olah kekasih yang semestinya di jaga hatinya. Melayan karenah dengan berlapang dada, mengambil berat serta sentiasa suburkan ikatan ukhuwah. Apakah tidak tertawan hati mereka dengan seni berkasih ini?


Ustaz mencintai para pejuang islam. Mereka yang membawa obor-obor perjuangan islam amat besar ganjarannya. Kalian adalah pejuang-pejuang, maka rasanya tidak salah ustaz mengujarkan salam sayang kepada kalian. Setakat ini sahaja yang dapat ustaz coretkan. Akhir kalam. Maafkan segalanya yer.


#Warkah ini untuk edaran pelajar-pelajar matrikulasi yang menjalani Tamrin di Masjid As Solehin, Bangi. 14 November 2009