RSS

Tuesday, April 27, 2010

Siri Karya Titisan Air Jatuh Ke Hati 2

Jika tiada ihsan, kita merupakan golongan munafiq setiap waktu, saat dan masa. Hal ini kerana yang mengawal kita bukan Allah tetapi nafsu kita, akal kita, masyarakat dan suasana. Sentiasa di lubuk hatinya berbicara.


.”kalau aku buat begini, apa tanggapan masyarakat?”.

Segala kebaikan yang kita lakukan berdasarkan nilai mata manusia. Hakikatnya, kita menjadi baik kerana nilai pandangan manusia. Semuanya lantaran bimbang di hatinya..”takut manusia berkata begini, atau begitu”. Bukan dek kerisauan pandangan Maha pencipta. Jelas sekali, kita masih tidak terlepas dari kawalan manusia. Apakah ini sifat seorang hamba?


Kita juga berbuat kebaikan kerana nafsu kita sendiri. Sukar di fahami namun ia terjadi. Nafsu membisikkan akhlak mulia kerana ia enggan di fitnah, tidak mahu di benci. Dia bermonolog antara baik dan keji.” Nanti aku di kutuk, nanti orang tidak hormati aku”. Tanpa menyedari, dia sudah terlanjur melakukan kebaikan kerana nafsu, kerana Allah tidak sesekali.


Nafsu sentiasa mencari pujian-pujian manusia supaya manusia mengujarkan dia terbaik dan sebagainya. Kesimpulan, dia menjadi baik kerana nafsunya. Ia terdesak untuk memperolehi pujian makhluk dunia.


Potensi akal semata-mata juga menyebab dia melakukan kebaikan. Akal menilai perkara dan apa jua keadaan. Biar kita ambil contoh, seseorang berkata kepada kamu. “kamu tidak menghisap rokok”. Kamu menilai perkara demikian. Kamu mengkaji, lalu mendapat jawapan bahawa merokok membahayakan kesihatan. Maka, kamu meninggalkan perkara tersebut bukan kerana Allah tetapi kerana akal fikiran. Sekiranya akal menilai baik, maka bagi kamu baik meskipun syarak tidak membenarkan. Nyata sekali, kamu agungkan pemikiran lebih dari Tuhan.


Ada juga mereka yang belajar dan mendalami ilmu ketuhanan akan tetapi mereka masih di selubungi sifat mazmumah, perilakunya seolah-olah dunia tidak bertuhan. Kita melihat mereka tetap melakukan banyak kesalahan. Misalnya, dia mengumpat, memfitnah dan asyik bercakap keaiban insan malah tidak malu berjalan di lembah kemaksiatan.


“eh, kenapa dia ni.. Masih melakukan perkara demikian? walhal dia sudah ada secebis ilmu ketuhanan?tak takut Tuhan ke?”


Ketahuilah sahabat, tempat ketakutan sesungguhnya di hati tidak di akal sebagaimana kita sangka. Akal, sekadar tempat persinggahan ilmu yang dibicara. Kadang-kadang ingat biasanya lupa. Daripada akal, ilmu cuba menuju ke hati manusia. Alahai, hati tidak berfungsi sebaiknya bagaikan alat yang tiada daya. bagaimana ia bisa bergetar kepada Allah. Zikir Allah dilaungkan, tetapi kita kalah dengan kerdipan mata. Tertidur sahaja.


Duhai sahabat, apakah kesan kalau hadir Allah di hati mereka? sekiranya Allah di hati mereka, mereka menjadi hamba yang takut dan tiada lagi syak kepada Allah Maha Kuasa.


Berkata Syeikh ibn Madyan di dalam hikam beliau. Adakah seseorang dikatakan alim padahal hati tidak gerun kepada Allah? Dan adakah seseorang dikatakan jahil sedangkan dia amat takut kepada Allah.

Ya sahabat, adakah dia ilmuan? Oh orang alim,ilmu banyak, perbahasan tinggi tetapi sesekali dia tidak takut kepada Allah. Suka penulis ulangi perkataan syeikh ibn madyan,,”adakah orang ini takut kepada Allah?”. Kerana syarat ilmuan, jika benar ilmu membasahi lidah dan jiwa, pasti dia akan takut kepada Alllah. Sekiranya ilmu meresap di batin mereka, sebetulnya wajah mereka berpaling dari dunia. Mata mereka sempit memandang pesona duniawi terpesona keluasan nikmat akhirat.


Sahabatku, jika ilmu ketuhanan belum meresap di jiwa kita, ia bermakna Nur Allah juga belum menembusi hati kita....

Tuesday, April 13, 2010

Siri Karya Titisan Air Jatuh Ke Hati


Ketahuilah, pembaikan akhlak-akhlak serta corak fikiran manusia bermula dengan proses pembaikan hati atau jiwa. Ini kerana sekiranya kita mahu mengubati lisan yang jahat, mengubati mata yang berdosa, fikiran yang banyak berkhayal ataupun tingkah laku yang jelek maka jika kita ubati satu persatu, ia tidak akan sembuhkan semuanya. Kadang-kadang kita dapat menyembuhkan tingkah laku kita tetapi lisan kita masih berkata-kata hal yang tidak baik bahkan penuh dusta.

Sesorang kadang-kadang sikapnya pendiam. Ya, dia pendiam akan tetapi telinga tidak baik. Ini disebabkan dia tetap gemar mendengar perkataan-perkataan berdosa meskipun dia tidak suka berkata-kata. Ada juga orang yang tidak suka bercakap dan tidak gemar mendengar tetapi suka melihat keaiban manusia. Berlaku cercaan di hatinya jua.

Ketahuilah sahabat, hal demikian semuanya berpunca dari kotoran jiwa. Oleh itu, kita menumpukan terus kepada pendidikan hati manusia. Kerana apabila ianya baik, maka segala pandangan, pendengaran, ataupun lisan akan menjadi baik. Akal jua dicemari noda. Mereka banyak berfikir tentang takdir Tuhan Maha Bijaksana. Seolah-olah tidak adil pada tanggapan mereka. Halaman fikiran mereka hanya sering mengundang ‘persoalan’. Akhirnya mereka sentiasa di bayangi gelisah dengan ‘ bagaimana disini?, bagaimana disana?’, ‘andainya aku’,’ andainya dia’.mereka langsung tidak yakin dengan janji Maha Pencipta. Lebih jahat lagi, mereka merasakan lebih berhak dalam merencanakan permulaan dan noktah kehidupan mereka.

Seorang doctor yang pakar mengubati punca. Punca masalah di atas kerana kerosakan jiwa. Bagai Penyakit kudis dan jerawat yang menimpa. Kadang-kadang berlaku, setelah doctor mengubati kudis, timbul pula masalah kulit, lagi terseksa. Doctor pakar mengenal pasti punca. Penyakit tersebut berpunca dari darah kotor akibat jangkitan bacteria. Maka si doctor akan membersihkan darah, lalu sembuh segalanya. Jikalau tidak, sembuh sebentar, minggu hadapan sakit pula. Rawatan akhlak manusia begitu jua.

Duhai sahabat, apakah undang-undang bisa merawat perilaku manusia? Ketahuilah, undang-undang kadang perlu, akan tetapi ia tidak boleh mengubat jiwa manuisa. Saya boleh susun undang-undang, kalian tidak dibenarkan bercakap selama 3 hari. Undang-undang demikian sekadar memasukkan benih dan tindakan untuk berjaga-jaga. kalian tiada pilhan selain perlu bertahan sementara.

Benih tersebut adalah kalimah ketuhanan. Jika jiwa tidak terus di suci sepenuhnya setelah menjalani tempoh kekangan undang-undang, jiwa akan kembali bermain watak binatang. Guruku sentiasa berpesan, undang-undang hanya menahan tetapi tidak menyembuhkan.

Kita terus kepada bicara penyembuhan. Betapa ramai manusia di lihat baik, memang baik sebab dia berada di dalam undang-undang. Kita berada di sekolah, dek bimbang di rotan kita terpaksa berlakon menjadi watak sebagaimana pihak sekolah mahukan. Kita tiada pilihan. Dewasa kini, pandangan kita melihat tepat bagaimana anak-anak kampong rosak sebaik sahaja kaki melangkah ke kota metropolitan. Tiada siapa mampu menghalang kehendak dan segala keinginan. suasana berbeza ketika berada di kediaman.

Manusia juga kelihatan baik kerana dia berada dalam suasana beragama . Namun sebenarnnya, batin mereka celaka. Selagi jiwa tidak disembuhkan,tidak di ubati, seandainya keluar sahaja dari tempat yang tersebut, dia menjadi sebaliknya. Hal demikian kerana sifat mazmumah kembali tiba. Tiada lagi undang-undang bertindak sebagai penjaga.

Justeru itu, penyembuhan dari kacamata kesufian, mesti menyembuhkan jiwa. Sesunggunya kebaikan mnausia tertakluk di jiwa. sebaik-baik jiwa ialah jiwa yang bertaqwa kepada Maha Esa. Sekiranya di jiwa, ada benih ketakutan kepadaNya, maka dengan sendiri, berlaku pergaulan di dalam batin mereka iaitu di mana sahaja dia pergi sekalipun, yang mengawalnya bukan undang-undang atau suasana lagi tetapi lantaran ketakutan kepadaNya.

Ketahuilah sahabat, kita mahu melahirkan orang benar ketika bersendirian, benar di di mana sahaja tempat persinggahan. Kerana apa dia benar? Kerana hatinya sentiasa berhubung dengan Allah, pencipta diri dan segala keindahan. Ini sebenarnya akidah. Antara Jiwa dan Allah ada hubungan.

Hati mereka sudah ada takut dan gerun kepada Allah Maha Penyanyang. Mereka sudah mencapai maqam ihsan. Mencapai ihsan merupakan matlamat perjalanan. Betapa ramai manusia merasa selesa di lorong akidah dan perundangan. Sebenarnya mereka tersangkut pertengahan jalan.

Sahabatku, untuk menggapai ihsan, kita sangat berhajat kepada cahaya. Cahaya yang sudah lama terpadam di batin kita wajib di sinari semula. Cahaya yang dahulunya suci lantas terpadam di sebabkan malam yang berdosa. Kita tidak akan pernah merasai kebenaran dan kemanisan iman melainkan terlebih dahulu menggapai maqam ihsan.......................