RSS

Monday, May 31, 2010

Titisan Air Jatuh Ke Hati 5

Pernah kamu mendengar kisah seorang sultan yang takjub dengan si pemakan roti. Apa yang menghairankan? Bermula kisah si sultan melihat seorang tua makan sekeping roti kemudian tidur di luar istananya.

Baginda meminta pengawal tersebut memanggil si tua untuk berhadap.

“apa kesalahan patik tuanku? patik makan di luar bukan di halaman istana”. Kata si tua.

“ beta mahu ilmu kamu. Beta makan pelbagai makanan yang lazat, di layan orang istimewa tapi beta tidak dapat tidur malam, dirundung gelisah. Beta melihat kamu makan biarpun sekeping roti lalu tidur. Lena sedangkan keadaan kamu dhaif” titah Baginda.

Balas di tua.”Hanyalah ilmu yang ada pada patik, ialah ilmu syukur dan qanaah. Bermakna patik sentiasa bersyukur apa yang dikurniakan Allah samada sedikit atau banyak,manakala qanaah yakni merasai cukup. Cukuplah sekadar ini. Kedua-dua sifat ini membuat saya tidur lena.”.

Ketahuilah, si tua itu seorang sufi. Di batinnya sudah ada buah keimanan. Jika kita ada buah demikian, jiwa kita pasti tenang. Tenang tanpa sebarang masalah kerana hatinya ada qanaah. Perlu diketahui,

cubaan yang datang sekiranya kita fikir ia adalah masalah, maka ia adalah masalah. Jika kita fikir bukan, maka ia bukan masalah.

Kedua-dua sifat tadi memadamkan nafsu ammarah. Atas alasan apa dia bersyukur dan qanaah? Kerana hatinya suka berada di dalam pilihan Alllah. Dia enggan berada dalam kehendak diri. Dia lebih tenang apa yang yang Allah pilih untuk dirinya. Dia mengenal Allah. Dia tahu Allah sayangkan dirinya dan Allah sudah menyusun hidupnya lebih dari yang dia rancangkan. Dia menyerahkan sepenuh dirinya kepada PenciptaNya.

Inilah ilmu tasauf, Melazimi bersyukur dengan apa yang ditentukan oleh Allah terhadap dirinya. Dia memiliki ilmu di hatinya bukan semata-mata di kitab. Sesungguhya tiada lain melainkan ilmu hati yang membawa kita dalam perjalanan menuju Allah.

Para sahabat, ilmu mereka di qalbi. Zaman kita ini kata Imam Nawawi,

"banyak bercakap tetapi tiada ilmu. Zaman sahabat dahulu, sedikit bercakap tetapi mantap ilmu dan banyak ilmu mereka. Zaman tabien pula, banyak bercakap, mantap ilmu dan benar amal mereka. Zaman seterusnya orang banyak bercakap ilmu akan tetapi ilmu tidak wujud di batin mereka. Zaman sekarang Nah, banyak bercakap, batin tiada jauh sekali berilmu"

Saturday, May 29, 2010

Titisan Air Jatuh Ke Hati 4

Sekiranya hati kita sudah ada buah-buah begini, ia tanda hati kita sudah mula berjalan. Ia sudah ada kesedaran, ada cahaya. Ketahuilah sahabat. Ilmu pada perbicaraan ini kian hilang di telan zaman. Latihan suluk sendiri pun menjadi suatu yang asing bagi pengamal tasauf sendiri. Suatu hari guruku di ajukan soalan.” Apakah suluk?”. Bagaimana budak-budak boleh turut serta dalam suluk sedangkan ia ilmu yang tinggi. Dengan ringkas guruku menjawab. “itu tidak benar. Ini kerana kalau benar ilmu ini tinggi, nescaya dia tidak perlu datang suluk lagi lantaran hati dia sudah hidup dengan Allah. Saya mahu bertanya.”orang yang menetap di hospital, bukan orang sihat. Mereka orang sakit, orang sakit. Suluk tempat apa? tempat untuk si pesakit sahabatku. Sakit apa? Sakit hati, sakit jiwa. Terlalu banyak keluhan derita di hatinya.

Ketenangan adalah impian setiap insan. Namun ia hanya angan-angan kerana betapa ramai yang menuju destinasi kegelisahan. Sahabatku, andainya hati ini penuh penyakit, adakah hati kita bisa tenang? Tidak sesekali. Jiwa tidak akan tenang akibat kotoran mendalam. Tiada kemanisan, disebabkan dengki. Tawar rutin hidupnya. Bila hati di cengkam dengki, bagaimana mahu tenang selagi orang kita dengki, hidupnya tidak tersungkur ataupun hidupnya terus bahagia atau kita idamkan dia binasa, tetapi dia masih tersenyum seperti biasa. Kita menderita. Semakin derita kerana hasrat hati tidak tercapai. Kedengkian menyebabkan hati kita terbakar selagi yang di dengki belum menerima akibatnya. Dengan bermaharajalela sifat dengki ini, kita tidak mungkin menjumpai makna gembira dan bahagia.

Orang yang takkabur juga menghadapi krisis ketenanagan jiwa. Bagaimana hati dapat tenang sedangkan matanya tidak boleh melihat orang lain lebih darinya. Ia mencabar keegoaannya. Jiwa jadi marah dan tidak senang hati. Hal ini berterusan hingga sanggup memfitnah dan sebagainya untuk menjatuhkan orang tersebut. Sudahla hatinya enggan kalah, ditambah lagi kesombongan menyebabkan hatinya lagi tak boleh tenang. Langsung tidak tenang. Sahabatku, inilah hati yang sombong.

Hati yang sombong, hati yang penuh sifat riak. dia resah bila tidak dipuji. Tiada sesiapa memujinya.ah, derita jiwanya. Apatahlagi jika orang lain yang di puji sedang dia tidak. Lagi bertambah resah. Kegelisahan yang meragut kelenaan tidur malam. Hidupnya mencari manusia tidak mencari Allah. Sekiranya dia mencari Allah, dia tidak akan peduli apa yang berlaku sekelilingnya. Kejian atau pujian manusia tiada dia peduli. Bagi mereka, Sama sahaja. dia tidak menghiraukan sesiapa. Hanya cinta Allah yang dicari. dia tidak dengki meskipun melihat orang lain melebihinya. Dia memahami bahawasenya bila dia dengki, ia bermakna dia tidak redha dengan takdir Allah. bila kemewahan singgap di sisinya dia gunakan kepada jalan Allah. Ketahuilah sahabatku, kurniaan Allah itulah yang terbaik kepada kita, itulah yang terbaik untuk kita. Sesungguhnya Alllah Maha Adil, Maha Bijaksana.

sifat takkabur, antara sifat yang menyebabkan manusia menderita. Kita menderita bukan kerana sesiapa, tetapi kerana batin kita sendrir. Punca penderitaan manusia bukan luaran tetapi dari dalaman.

Ketahuilah penawar hatiku, nafsu sentiasa mendampingi kita. Maka nafsu selalu membisikkan pelbagai hal yang menyebabkan hati kita resah. Bisikan-bisikan nafsu benar-benar menyeksa. “kamu hanya begini, lihat dia begitu, sepatutnya kita begini, kalau lah begitu”. Hatinya tidak dapat mengingati Allah dek terlalu banyak permintaan dalam batin. Jiwa tidak pernah bersyukur. Mungkin tidak pernah tahu apa itu syukur. Para ulamak membuat kiasan hal mereka seperti seekor anjing. Apabila selesai menikmati makanan anjing tetap menjelir lidah, bila lapar juga menjelir. Apa yang ia mahukan terus misteri. Orang tidak bersyukur mirip hal tadi. Allah kurniakan nikmat, masih merungut-rungut bagai menjelir lidah. Selagi tidak di beri, selagi itu dia merungut-rungut.......

Sunday, May 9, 2010

Titisan Air Jatuh Ke Hati 3

Ketahuilah sahabatku, ilmu adalah cahaya. Apa jua perjalanan ilmu adalah mengilaukan cahaya. Zikir dan bacaan quran semuanya cahaya. Kita lakukan. Akan tetapi, kenapa cahayanya tidak meresap ke dalam hati kita. Suatu persoalan yang kita terlepas pandang. Ia disebabkan hati kita terdinding bagaikan batu. Bagaikan tanah yang keras. Tertutup ruang lantaran harta yang melimpah, muka yang tebal. Ada jua manusia gagal mencuit sedikit pun nur Allah kerana sifat mazmumah.

Oleh hal demikian, kita wajib membersihkan sifat mazmumah yang terpendam. Zahir mahupun batin. Tidak ada kafiat melainkan zikrullah dan mujahadah. Zikirlah wahai diri dan kalian hal bersungguh-sungguh. Ketahuilah, zikir yang di sebut oleh Syeikh Abd Samad Al Falimbani di dalam kitabnya berjudul, Siyarus Salikin ialah zikir yang di ambil dari guru dan sanadnya berhubung sehingga Rasululillah SAW. Zikir yang mempunyai natijah. Zikir yang memberi kesan dalam manifestasi perubahan akhlak. Apakah zikir demikian?

Semestinya zikir tariqah sufiah yang di ambil dari guru yang nampak kesan zikir di qalbinya yang di ambil jua dari gurunya yang terkesan dengan amalan zikir jua. Dari guru, dari gurunya. Maka mereka mengijazahkan kita apa yang di amalkan dan menampakkan kesan di hati mereka, bukan dari ilmu kitab tetapi dari apa yang diamalkan.

Di sana kita akan memperolehi ubat penyembuhan jiwa. Suatu anologi yang harus difahami bagaimana kita belajar kitab mengenai penyakit kencing manis. Belajar dan terus belajar. Akhirnya kita khatam. Akan tetapi amat mengecewakan ubat tidak diberi. Kita belajar ilmu tasauf, tetapi guru tidak memberi ubat kepada kita yang menderita. Apakah ubat untuk saya dalam penyelesaian ini. sekiranya penyakit tersebut belum di jumpai ubat, selagi itu penyakit tersebut terus menghantui meskipun luas ilmunya.

Sesungguhnya penyakit tersebut tidak bisa sembuh dengan pengetahuan akan tetapi hanya dengan penawar. Penawar? Ia adalah mujahadah. Bermula dari sini, ulamak-ulamak tasauf menyusun mujahadah sebagai ibu perjalanan ke hadarat lilahi. Ketahuilah sahabat, tasauf berada di dalam tarekah. Bagaimana nak mengamallkan tasauf? Jawapannya ialah mengamalkan tarekah. Segala disiplin ilmu tasauf itu di rasai di dalam amalan tarekah. Dalam tasauf, kita di suruh supaya sentiasa ingat pada Allah. Maka tarekah menyusun zikir-zikir dan kafiat mujahadah suluk dengan harapan lahir orang ingat dan asyik kepada Allah.

Tasauf membicarakan buah, tarekah membicarakan jalan bagaimana dapatkan buah. Tasauf membicarakan “jadilah dirimu ahli zikrullah” lalu tarekah mengajar bagaimana menjadi ahli zikrullah. Sekiranya kita mengaji buah tapi mengabaikan ilmu bagaimana mencapai buah. Bagaimana buah dapat di capai?

Tasauf mengajar kita apakah itu tawakal kepada Allah. Tarekah mengajar kita bagaimana menggapai tawakal. Jelas perbezaan anatara buah dan jalan. Maka tasauf adalah buah manakala tarekah ialah jalan. Oleh itu, siapakah orang tasauf? Orang tasauf adalah orang yang telah mengecapi buah-buah tasauf yang berada di hatinya. Dzauq di hatinya. Cinta Allah dan Rasul di hatinya. Rindu di jiwa, fana’ di hatinya. Sabar, ikhlas, redha semuanya di hati mereka.
Adapun orang tarekah, mereka belum mengecapi buah. Hanya baru bermula di dalam perjalanan mencapai buah. Oleh sebab itu, orang tarekah belum di gelar orang tasauf. Mereka tidak lain dan tidak bukan sekadar pelatih, melatih dan mendidik dirinya ke arah menjadi ahli tasauf.

Hati orang tasauf tidak lalai dari ingatan kepada Allah. Zikrullah bagai bernafas. Bernafas mudah atau payah? mudah sahaja. Begitulah hal rang tasauf. Zikir membaluti turun dan naik nafas mereka. Tanpa pernafasan, mereka akan mati. Ia bermakna, jika mereka tidak berzikir, bagai maut tiba. Perasaan gelisah menyerang jiwa mereka sekiranya mereka lalai untuk berzikir biarpun seketika. Dosa dan taubat bagi mereka. berbeza dengan kita, tidak pernah memohon taubat walaupun jelas berdosa.

Ketahuilah sahabat, jika kita tidak melalui jalan tarekah sufiah, adakah kita bisa menggapai buah.?

Guru-guru tasauf menyusun mujahadah. Jika guru mengijazahkan zikir kepada murid, lalu murid mengamalkan di rumah. Adakah berhasil? biar kita ambil contoh, seorang doctor memberi ubat kepada pesakitnya. Kemungkinan besar si pesakit tidak memakan ubat sepenuhnya. Dia melanggar pantang tanpa rasa bersalah. Oleh itu, kesan sembuhan tidak menampakkan kesan. Sepatutnya dia sembuh. Akan tetapi gagal lantaran tidak mengikuti peraturan. Maka sesetengah doctor, melihat keadaan pesakit yang kronik. Ia membawa makna pesakit tersebut kena tinggal di wad hospital tanpa rehat di rumah. Si pesakit harus di ubati secara peraturan di bawah pengwasan doctor di samping di layan oleh para pembantu. Begini juga situasi dalam rawatan hati. Ada beberapa peringkat untukmenghidupkan hati ini. Sesungguhnya tiada ubat bagi hati melainkan mengingati Allah. Ia akar umbi. Biar tumbuh pepohon ingatan kepadaNya terlebih dahulu. Untuk menerbitkan pepohon tersebut, ulamak-ulamak tasauf mengadakan latihan suluk sebagai rawatan. Sepuluh hari, tujuh hari, tiga hari atau empat puluh hari. Di dalam tempoh demikian, para murid berada dalam kurungan. Tiada lain melainkan berzikir. Berzikir di bawah pengawasan.

Tidak lain supaya hati kamu sembuh dari kelalaian. Hatimu sembuh dari dari cinta yang lain. Supaya hati kamu mendapat cinta Allah, merasai keasyikan kepada Allah. Kalau kamu sudah di ambang asyik, ia sebenarnya satu permulaan bagi kamu untuk mencapai rahsia Allah. Tanpa perlu kita menoleh rahsia yang tinggi menggunung lagi, cukup sekadar bincang bagaimana menghidupkan hati kita kepada Allah. Persoalan demikian wajib di fikirkan. Jika kita sudah sampai ke tahap tersebut, hati kita sembuh jua sehinggalah di mana-mana kita berada, baik bangkit dan terlena, hati tetap ingat kepadaNya. bahkan hati kita tidak senang dari ingatan yang lain. Hanya mahu ingat Allah. Rindu untuk ingat kepadaNya sahaja. Bagai pencinta dengan si pecinta. Kita percaya semua orang pernah merasai pengalaman merindui dan mencintai. Tetapi hanya terhadap manusia. Malang sekali tidak kita rasai apabila berhadap denganNya.