RSS

Tuesday, March 1, 2011

10 penyerupaan sesat terhadap Dzat Allah Taala

وَيَجِبُ فِي حَقِّهِ تَعَالَى: المُخَالَفَةُ لِلْحَوَادِثِ، وَمَعْنَاهُ: أَنَّهُ تَعَالَى لَيْسَ مُمَاثَلاً، فَلَيْسَ لَهُ يَدٌ، وَلاَ عَيْنٌ، وَلاَ أُذُنٌ، وَلاَ غَيْرُ ذَلِكَ مِنْ صِفَاتِ الحَوَادِثِ،

Wajib bagi hak Allah Taala berbeza dengan segala baharu[1]. Maksudnya Allah Taala tiada diserupakan dengan semua makhluk. Maka Allah Taala tidak memiliki tangan, mata, telinga dan selain demikian dari sifat-sifat baharu( sifat-sifat makhluk)[2].

وَضِدُّهَا المُمَاثَلَةُ. وَالدَّلِيْلُ عَلَى ذَلِكَ: أَنَّهُ لَوْ كَانَ مُمَاثَلاً لِلْحَوَادِثِ لَكَانَ حَادِثاً وَهُوَ مُحَالٌ.

Dan lawannya ialah penyerupaan[3]. Bermula dalil atas demikian bahawa sekiranya Allah Taala diserupakan dengan makhluk, nescaya Allah Taala itu baharu. Hal tersebut adalah mustahil.



[1][Berbeza dengan segala baharu] Firman Allah SWT:

لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَىۡءٌ۬‌ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Mafhumnya: ”Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat” (As Syura’:11)

[2] [Dari sifat-sifat makhluk] Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak menyerupai bentuk-bentuk tubuh, tidak dalam ukuran, tidak terbahagi-bahagi dan tidak dapat ditempati oleh unsur-unsur lain. Allah tidak bersifat manusia, dan tidak dapat ditempati oleh sifat-sifat manusia bahkan Allah tidak menyerupai makhluk-makhluk yang ada dan juga tidak di serupai oleh mereka. Allah tidak di batasi oleh ukuran-ukuran, tidak di liputi oleh sudut-sudut tempat, tidak dilingkungi oleh arah-arah atau juga tidak dikelilingi oleh bumi dan langit.

[3] [Penyerupaan] dijelaskan di dalam Syarhu Tijanu Ad Darari Ala Risalah Al Bajuri Fi Tauhid, bentuk-bentuk penyerupaan merangkumi sepuluh keadaan:

[1] bahawa keadaan Allah berbentuk jisim sama ada jirim itu murakab(tersusun), di namakan sebagai jisim atau tidak murakab iaitu disebut sebgai jauhar fardi (unsur terkecil). Unsur terkecil atau terhalus yang ditemui dalm peralatan moden sekarang ialah atom.

[2] Keadaan Allah adalah sifat yang berdiri pada jisim

[3] keadaan Allah pada salah satu arah dari jirim, maka Allah SWT tidak berada di atas arasy, tidak juga di bawahnya, tidak di kanannya dan tidak di bahagian lain arah yang dikenal

[4] Allah Taala mempunyai arah, kerana Allah Taala tidak mempunyai bahagian dari atas dzatnya, tidak bahagian bawah, tidak bahagian kanan, tidak bahagian kiri dan tidak bahagian-bahagian lainnya.

[5] Allah SWT bertempat pada suatu tempat

[6] Allah SWT terikat dengan zaman, dimana keadaan gerakan-gerakan galaksi dan planet-planet tertakluk dengan zaman(waktu). Sesungguhnya Allah di luar takluk zaman bahkan Dia menciptakan peredaran zaman.

[7] Silih berganti atasNya dua hal yang baharu iaitu siang dan malam

[8] Allah SWT bersifat dengan sifat makhluk yang baharu seperti bergerak atau diam, putih atau hitam, kekuasaan makhluk , kehendak makhluk(seperti perkataan kuasa atau kehendak Allah seperti kuasa dan kehendak makhluk. Ketahuilah, kuasa atau kehendak makhluk amat terhad sedangkan kuasa dan kehendak Allah tidak terhingga. (sesungguhnya akal kita tidak mampu membayangkan hal tersebut)

[9] Dzat Allah Taala bersifat kecil atau besar dengan makna terdiri dari banyak juzuk(pecahan).

[10] Allah mempunyai tujuan-tujuan tertentu di dalam perbuatanNya atau ketetapanNya kerana itu tidak ada dalam perbuatanNya seperti menciptakan zaid kerana ada suatu tujuan tertentu.(ruj Syarhu Tijani Ad Darari Ala Risalah Al Bajuri Fil Tauhid:m/s 10)

[Peringatan] Kesimpulannnya, 10 bentuk penyerupaan ini adalah sama sekali mustahil bagi Allah SWT.

Dan berkata Abu Ishak Al Isfirayini bahawa ahlul haq telah ijma’ bahawa segala perbicaraan mengenai ilmu tauhid terkandung di dalam dua kepercayaan iaitu:

[1] Setiap apa yang terbayang oleh kita ia merupakan kejadian baharu dan kita iktikadkan ia berlainan daripada Allah Taala kerana setiap yang kita sangkakan itu adalah makhluk Allah dan Allah lah yang menjadikan.

[2] Kita mengiktikadkan bahawa dzat Allah SWT berlainan daripada makhluk dalam segala sesuatu dan Allah Taala bersifat dengan segala sifat kamalat(kebesaran).(ruj Aqidatul Najin Fi Ilmi Usul Addin:m/s 19)


No comments:

Post a Comment