RSS

Sunday, June 28, 2009

Aku Menemui Kematian..

Sahabat tercinta, bayangkan ketika kamu sedang nazak. Di ajarkan kamu untuk menyebut nama Allah. Disaat tiada lagi kekuatan untuk mengejarkan ibadah lain. Tiada lain melainkan ingatan dan sebutan Allah..Allah..Sesungguhya mati dalam ingat kepada Allah adalah tanda mati dalam iman. Tahukah kamu, saat kematian merupakan saat yang amat genting. Ketika itu, syaitan akan menggoncangkan iman hamba dengan pelbagai cara. Mereka sesekali tidak akan benarkan seorang hamba mati dalam iman…wahai diri..bagaimana kamu…Ingatkah kamu pada kematian..?


Ingatan kepada Allah tidak semudah yang disangka. Apatah lagi melafazkan kalimah ketauhidan. Wahai diri…kepayahan kepada kamu jika kamu mengabdikan kepada maksiat, cinta dunia dan langsung tidak pernah bersedia untuk menemui Allah. Adakah kau fikir kamu akan hidup selamanya. Dalam desakan dan kegawatan sakaratul maut, hati kamu masih mejalar kepada harta, anak isteri, barangan dunia, dan cita-cita yang belum tercapai..Nah, nampaknya sayitan telah berjaya mengaburkan jiwa kamu dari hakikat kematian yang sebenarnya…


Firman Allah SWT:


يأيها الذين ءامنواْ لا تلهكم أموالكم و لآأولدكم عن ذكر الله و من يغعل ذلك فأوْلئك هم الخسرون


“Wahai orang-orang beriman, janganlah harta-harta kamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”.( al Munafiqun : 9 )


“Kematian adalah peringatan yang diam”


Ia tidak bersuara, ia bisa difahami di akal bahawa kita akan pergi jua…adakah kita masih tidak memahami..? daku menulis dari hati yang terguris…hati yang amat kecewa kerana aku tidak menganggap ia sebahagian hidupku..aku kesal..maka hiduplah aku bagai tulisan yang tidak bernoktah. Imanku hampa, ibadah pura-pura…aku tidak mahu sahabat tercinta menjadi seperti langkah ku..


Sufyan at Thauriy rhm berkata:


“Aku tidak takut bertemu dengan Allah walaupun membawa dosa yang banyak. Tapi aku paling takut bila Allah mencabut imanku ketika mati”


Untuk menghadapi kematian yang misteri saat dan waktunya. Seharusnya kita perlu banyak berzikir, ingat kepada Allah. Sekiranya hati sudah terbiasa dengan ingatan kepada Allah sehinggakan sebati di setiap denyutan jantung , ketika itu jika ajal kamu tiba, Insya Allah kamu mati dalam ingat kepada Allah maka Kematian kamu dalam Husnul khatimah..bukan kah itu impian kamu…?


Duhai sahabat, pandang hati kamu, pejamkan mata kamu sebentar…lontarkan di bisikan jiwa kamu..ALLAHALLAHALLAHALLAH.. bayangkan saat lidah kamu sudah kelu untuk berkata, bacaan surah Yasin dalam satu nada, kain kapan sudah di hadapan muka..Agak-agak apakah kesudahan lafaz kata-kata kamu?...


Ekoran hal demikian, lakukan apa sahaja yang boleh melatih kita untuk ingat kepada Allah, samada dengan berwirid, membaca Al-Quran, ibadah di kala malam, memerhati kejadian Alam dan sebagainya. Yang paling penting ingat lah kamu akan ia…siapa? Kematian..Fikirkan sejenak sahabat, aku akan mati..pasti jua..aku akan mati..aku akan tinggalkan segala-galanya.I will leave everything. Fikirkan sahabat..sebelum tidur kamu..Pasti akan datang di muara hati kamu, pertanyaan..bersediakah aku…?

Ayuh, berlatihlah mengingati Allah sekarang mulai sekarang…sekarang..demi keselamatan kita ketika menghadapi saat nyawa melayang, alam kubur dan alam padang Masyhar yang terlalu jauh dari pandangan.


Muaz bin jabal meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:


“Tiada seseorang yang mengerjakan sesuatu amalan yang lebih selamat berbanding zikrullah(mengingati Allah)”


Sudah lumrah alam

Ada kehidupan ada kematian

Ia Sebuah peringatan

Bahkan teman yang sering di lupakan

Kematian

Tiada siapa berani menjemputmu datang

Kamu tetamu yang tak diundang

Masa tidak bisa menjadi sekatan

Bagi insan kamu adalah igauan

Ya Allah

Ibadah ku kurang

Bukan aku tidak berkeinginan

Nafsu telah mejadi pahlwan

Akal ku tewas iman terkorban

Kematian,

Mungkin lambat lagi datang

Mungkin selepas sesaat sudah terpejam

Tiada pengetahuan pada fikiran

Tapi hati seperti binatang

Tidak mahu mengambil pengajaran

Sunday, June 21, 2009

Ingatan kematian

Tulisan ini khas ku hadiahkan kepada teman baik daku di Perak sebagai tanda penghargaan atas usaha penyebaran bisikan sirr dan semangat dakwahnya. Moga-moga temanku ini sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Kematian suatu kegelisahan untuk dibincangkan. Ketakutan bersama keresahan bermain dalam benak perasaan sekiranya diperkatakan…ia suatu hakikat yang pasti berlaku terhadap setiap yang makhluk Tuhan. Baik kita ataupun sekufur-kufur manusia mengakui suatu hari mereka akan merasai kematian…..Akan meninggalkan segalanya lantas di tinggalkan, tiada lagi sebarang harapan, kenangan terus hilang, jadilah ia suatu kebencian di jiwa tidak beriman. Bagi mereka..Kematian merupakan penamat kehidupan. Namun bagi jiwa kekasih, kematian suatu bisikan kerinduan..

Ketahuilah diri, kamu sekarang terpedaya dengan dunia, benar-benar hidup kamu berkiblatkan keseronokan berhalakan kesyahwatan. Kamu mencintai nafsu seolah-olah mengikutinya satu kemuliaan, menderhakainya satu kekolotan. Diri..diri..ekoran ini, sudah pasti kamu terlalai dari ingatan kematian. Maka kamu tidak mengingatinya, apabila datang seorang mengingatkan.."Hei, kamu akan mati jua” nescaya kamu benci dan melarikan diri. Keadaan kamu ni tak ubah sebagaimana Firman Allah SWT..


قُلْ إِنَّ المَوْتَ الَّذِيْ تَفِرُّوْنَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَقِيْكُمْ ثُمَّ تُرَدُّوْنَ إِلَى عَالَمِ الغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ


“Katakanlah, bahawa kematian yang kamu larikan diri darinya sesungguhya akan menemui kamu, kemudian kamu dibawa kembali kepada(Tuhan) Yang Tahu hal yang tersembunyi dan yang terang, lalu di nyatakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”. Surah Al-Jumaah, ayat 8.

Wahai diri, jangan kamu menjadi manusia yang gilakan dunia, sesungguhnya mereka tidak mengingati mati. Manusia kelompok ini benar-benar mewarisi tabiat haiwan. Fikiran hanya tertumpu memuaskan fitrah insani sahaja iaitu makan, minum dan syahwat. Langsung tiada bisikan di hati mereka berfikir tentang Tuhan, ibadah dan pengisian kerohanian.
Namun adakalanya manusia terdiri dari kelompok orang yang bertaubat. Maka mereka memperbanyakkan mengingati mati supaya terbangkit dari hatinya takut dan gementar. Kadang-kadang mereka tidak suka mati kerana bimbang disambar kematian sebelum sempurna taubat. Kebencian ahli taubat tersebut dimaafkan dan tidak tergolong golongan seperti sabdaan Baginda SAW.


مَنْ كَرِهِ لِقََاء اللهِ كَرِهَ اللهُ لِقَاءَهُ

“Barangsiapa tidak menyukai menemui Allah, nescaya Allah tidak menyukai menemuinya”

Hakikat sebenarnya, mereka bukanlah benci kepada kematian dan menemui Allah, tetapi takut... takut menemuiNya kerana terlalu banyak dosa dan noda. Baru bermula untuk mengenaliNya, baru merangkak menyembahNya. Tiada langsung kebaikan untuk dihadapkan..seolah-olah mereka bagai orang yang terlambat dalam perjalanan menuju pertemuan dengan kekasih disebabkan kesibukan dengan persiapan untuk menemuinya. Dengan harapan pertemuan demikian menerbitkan seribu kenangan kepada kekasih bahkan kebahagiaan terhadap kekasih. Justeru itu, kelompok ini bukan golongan manusia yang tidak suka menemui Allah SWT. Bagaimana mengenali mereka? Ada beberapa tanda terhadap diri mereka iaitu, mereka berterusan mengadakan persediaan. Lidah mereka basah dengan zikir, hati mereka tenggelam dalam ketauhidan, fikiran mereka kepada tuntutan ilmu dan kebesaran Maha pencipta Alam. Tiada lagi kesibukan kepada yang lain. Tanpa persediaan ini, nescaya mereka termasuk golongan cintakan dunia.
Yang terakhir golongan ahli makrifah. Maka mati tidak lagi satu ingatan tapi kerinduan yang mencengkam. Mereka terseksa dengan penantian ke arahnya. Mereka bagai dari kekasih ke kekasih. Ini kerana itulah detik waktu pengzahiran janji pertemuan dengan kekasihnya iaitu Allah Azza Wajalla. Sesungguhya pecinta itu tidak sekali-kali akan lupa kepada janji menghadap kecintaan. Lalu zahir cinta dan yang di cinta, الحب و المحبوب terlepaslah dendam kerinduan.

Kesimpulan dari bicara tadi, orang yang asyik kelekaan dunia dapat mengambil manfaat dengan mengingati mati. Dengan demikian, hati menjadi tawar kepada dunia. Dulu melihat dunia sebagai taman kelazatan, sekarang tak ubah seperti bangkai yang berbaur kebusukan.Wahai diri, ingatilah ia kerana ia sebenarnya ingatan…

"Mati suatu kegelisahan tapi ia sebenarnya kerinduan.."