RSS

Sunday, June 21, 2009

Ingatan kematian

Tulisan ini khas ku hadiahkan kepada teman baik daku di Perak sebagai tanda penghargaan atas usaha penyebaran bisikan sirr dan semangat dakwahnya. Moga-moga temanku ini sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Kematian suatu kegelisahan untuk dibincangkan. Ketakutan bersama keresahan bermain dalam benak perasaan sekiranya diperkatakan…ia suatu hakikat yang pasti berlaku terhadap setiap yang makhluk Tuhan. Baik kita ataupun sekufur-kufur manusia mengakui suatu hari mereka akan merasai kematian…..Akan meninggalkan segalanya lantas di tinggalkan, tiada lagi sebarang harapan, kenangan terus hilang, jadilah ia suatu kebencian di jiwa tidak beriman. Bagi mereka..Kematian merupakan penamat kehidupan. Namun bagi jiwa kekasih, kematian suatu bisikan kerinduan..

Ketahuilah diri, kamu sekarang terpedaya dengan dunia, benar-benar hidup kamu berkiblatkan keseronokan berhalakan kesyahwatan. Kamu mencintai nafsu seolah-olah mengikutinya satu kemuliaan, menderhakainya satu kekolotan. Diri..diri..ekoran ini, sudah pasti kamu terlalai dari ingatan kematian. Maka kamu tidak mengingatinya, apabila datang seorang mengingatkan.."Hei, kamu akan mati jua” nescaya kamu benci dan melarikan diri. Keadaan kamu ni tak ubah sebagaimana Firman Allah SWT..


قُلْ إِنَّ المَوْتَ الَّذِيْ تَفِرُّوْنَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَقِيْكُمْ ثُمَّ تُرَدُّوْنَ إِلَى عَالَمِ الغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ


“Katakanlah, bahawa kematian yang kamu larikan diri darinya sesungguhya akan menemui kamu, kemudian kamu dibawa kembali kepada(Tuhan) Yang Tahu hal yang tersembunyi dan yang terang, lalu di nyatakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”. Surah Al-Jumaah, ayat 8.

Wahai diri, jangan kamu menjadi manusia yang gilakan dunia, sesungguhnya mereka tidak mengingati mati. Manusia kelompok ini benar-benar mewarisi tabiat haiwan. Fikiran hanya tertumpu memuaskan fitrah insani sahaja iaitu makan, minum dan syahwat. Langsung tiada bisikan di hati mereka berfikir tentang Tuhan, ibadah dan pengisian kerohanian.
Namun adakalanya manusia terdiri dari kelompok orang yang bertaubat. Maka mereka memperbanyakkan mengingati mati supaya terbangkit dari hatinya takut dan gementar. Kadang-kadang mereka tidak suka mati kerana bimbang disambar kematian sebelum sempurna taubat. Kebencian ahli taubat tersebut dimaafkan dan tidak tergolong golongan seperti sabdaan Baginda SAW.


مَنْ كَرِهِ لِقََاء اللهِ كَرِهَ اللهُ لِقَاءَهُ

“Barangsiapa tidak menyukai menemui Allah, nescaya Allah tidak menyukai menemuinya”

Hakikat sebenarnya, mereka bukanlah benci kepada kematian dan menemui Allah, tetapi takut... takut menemuiNya kerana terlalu banyak dosa dan noda. Baru bermula untuk mengenaliNya, baru merangkak menyembahNya. Tiada langsung kebaikan untuk dihadapkan..seolah-olah mereka bagai orang yang terlambat dalam perjalanan menuju pertemuan dengan kekasih disebabkan kesibukan dengan persiapan untuk menemuinya. Dengan harapan pertemuan demikian menerbitkan seribu kenangan kepada kekasih bahkan kebahagiaan terhadap kekasih. Justeru itu, kelompok ini bukan golongan manusia yang tidak suka menemui Allah SWT. Bagaimana mengenali mereka? Ada beberapa tanda terhadap diri mereka iaitu, mereka berterusan mengadakan persediaan. Lidah mereka basah dengan zikir, hati mereka tenggelam dalam ketauhidan, fikiran mereka kepada tuntutan ilmu dan kebesaran Maha pencipta Alam. Tiada lagi kesibukan kepada yang lain. Tanpa persediaan ini, nescaya mereka termasuk golongan cintakan dunia.
Yang terakhir golongan ahli makrifah. Maka mati tidak lagi satu ingatan tapi kerinduan yang mencengkam. Mereka terseksa dengan penantian ke arahnya. Mereka bagai dari kekasih ke kekasih. Ini kerana itulah detik waktu pengzahiran janji pertemuan dengan kekasihnya iaitu Allah Azza Wajalla. Sesungguhya pecinta itu tidak sekali-kali akan lupa kepada janji menghadap kecintaan. Lalu zahir cinta dan yang di cinta, الحب و المحبوب terlepaslah dendam kerinduan.

Kesimpulan dari bicara tadi, orang yang asyik kelekaan dunia dapat mengambil manfaat dengan mengingati mati. Dengan demikian, hati menjadi tawar kepada dunia. Dulu melihat dunia sebagai taman kelazatan, sekarang tak ubah seperti bangkai yang berbaur kebusukan.Wahai diri, ingatilah ia kerana ia sebenarnya ingatan…

"Mati suatu kegelisahan tapi ia sebenarnya kerinduan.."

No comments:

Post a Comment