RSS

Thursday, August 20, 2009

Ramadhan Menjelang Lagi..

Alhamdulillah. Ramadhan menjelang lagi. Daku bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang kepadaku untuk menghirup keberkatan pagi ramadhan, merangkak mencari kelebihan di malamnya lalu tersungkur lena dalam cita-cita menggapai lailatul Qadar. Terlalu rindu akan kenangan Ramadhan. terlalu cinta padanya. Jika aku terpaksa dipenjarakan bersama bulan Ramadhan, nescaya daku rela, kerana bagiku bersama sesuatu dicintai membawa kita kemuncak paling bahagia..

Teringat daku 7 tahun lepas akan pesan ayahku, yang juga guruku, Tokku Hj Ibrahim Muhammad di Suraunya, moga-moga bisa menjadi bekalan dalam pelayaran bulan Ramadhan kelak..

Wahai para sahabatku,

“Kita (akan) memasuki bulan Ramadhan Al-Mubarak . Inilah bulan yang dirindui oleh ahli ibadah, dan tidaklah orang-orang yang cinta kepada Allah melainkan kasih akan bulan Ramadhan ini. Dan ahli-ahli ibadah, ahli-ahli zikrullah, mereka ini menunggu bulan Ramadhan ini dengan penuh kecintaan dan kasih sayang, dengan penuh keasyikan. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh kerinduan, kerana inilah bulan dimana diberi keberkatan dan kenikmatan yang tidak terhingga dan inilah bulan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada umat Muhammad SAW.

Ramadhan adalah bulan yang diberi kita kenikmatan pahala yang berlipatkali ganda, dimana (maksud) pahala bagi ahli-ahli makrifatullah ialah cahaya-cahaya makrifat begitu mudah untuk ditembusi padd bulan ini. Ia bulan yang mudah untuk dibuka hijab oleh Allah SWT.

Isikan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya, jadikan bulan ini sebagai masa untuk beruzlah secara bersungguh-sungguh dengan mentawajjuhkan (penumpuan) kepada Allah SWT. Nabi SAW menghidupkan uzlah, khalwat sebanyak 20 hari setahun, 10 hari di bulan-bulan biasa dan 10 hari di bulan Ramadhan. Mengapa 10 hari di bulan Ramadhan? Kerana Ramadhan adalah bulan kasih sayang Allah, bulan penuh kelebihan dan keberkatan.

Jangan kita beribadah pada bulan Ramadhan sama dengan bulan-bulan yang lain. Cahayakan betul-betul hati kita dengan banyak mentawajjuhkan hati. Isikan dimalam-malam hari, selain ibadah tahajud, dengan banyakkan istighfar dan selawat kepada Nabi SAW. Istighfar sebagai pembersih hati dan selawat pula sebagai pembuka hijab hati kita. Bila kita berselawat kepada Nabi, ia membuka hijab. Jangan berselawat dalam keadaan tidak hadir perasaan cinta kepada Baginda. Selawat biar berpuluh ribu satu hari kerana ia mengandungi rahsia yang besar dalam perjalanan menuju makrifatullah. Dan tidaklah orang-orang yang menuju kepada jalan Allah ini, melainkan dengan selawatlah kebanyakan mereka sampai kepada-Nya. Nabi Musa juga mendapat keampunan Allah dan ditambah ilmu dengan banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.”

1 comment:

  1. salam..
    sudah banyak kali ana baca blog anta...
    ana amat mengagumi hasil penulisan anta,ia memberi impak terus ke hati...
    hari ini ana baca kisah cemburu si isteri..
    sebelum ini pun ana jg sudah baca nurkilan ini...
    apa yang ana boleh ulas,hasil nurkilan anta ini banyak menyentuh kasih sayang...
    kasih sayang memang tidak dapat dipisahkan dalam diri makhluk...kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang...tumbuh-tumbuhan jg perlukan kasih sayang..bahkan haiwan jg perlukan kasih sayang...
    semoga ana dapat lagi membaca coretan anta seterusnya dan semoga anta sentiasa dirahmati Allah...

    ReplyDelete