RSS

Saturday, October 30, 2010

Transformasi Matapelajaran Sejarah

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, selaku Menteri Pelajaran Malaysia bahawa mata pelajaran sejarah akan menjadi subjek teras di peringkat sekolah rendah. Selain itu, subjek sejarah juga akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Perkara ini merupakan satu transformasi pendidikan yang futuristik dan anjakan pemikiran baru di kalangan pendidik dan pelajar sendiri. Matapelajaran sejarah amat penting dalam meneruskan kesinambungan semangat patriotik, menerbitkan perasaan cinta kepada bangsa dan tanah air, mengenang pejuang lama, mengetahui latar belakang Negara dan yang paling penting mengelak masyarakat mengulangi kesilapan manusia pada sejarah lampau.

Setiap apa yang berlaku akan menjadi sejarah. Apa yang terbina adalah hasil rentetan sejarah dahulu kala. Dengan pengetahuan sejarah, generasi pelajar yang di lahirkan nanti lebih berpengetahuan luas. Seterusnya budaya masyarakat matang dan berwibawa akan menjadi intipati Negara ini.

Sejajar dengan itu, pengumuman tersebut amat di sokong namun, beberapa perkara harus di ambil kira. Ia merangkumi:

Ketidakjujuran dalam penulisan sejarah

Dengan pengumuman ini, pelajar-pelajar akan lebih bersungguh dalam mempelajari sejarah. Jika sebelum ini, sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun, sejarah yang di ajarkan mesti bebas dari unsur tokok tambah, pemalsuan dan melampau dalam cerita lisan demi mendokong satu pihak. Ketidakadilan maklumat wajar di hentikan. Sistem pemerintahan ala-ala dictator atau monopoli cenderung memutar belit fakta sejarah dengan harapan, mereka di lihat hero dan di landasan perjuangan yang benar. Sebagaimana yahudi memutar belit sejarah dengan dakwaan tanah Palestin milik mereka. Fakta tersebut di terkam jauh ke dalam setiap minda anak bangsa yahudi. Maka mereka menganggap tindakan pemerintah yahudi adalah benar. Adakah buku teks sejarah Malaysia bebas dari ancaman tersebut?

Menyembunyikan fakta sebenar

Sorok’ fakta. Sorok merupakan loghat Terengganu yang membawa makna sembunyikan. Penulis suka untuk meminjam istilah tersebut dalam pena kali ini. Sesungguhnya sorok fakta lazimnya berlaku dalam Negara yang di kuasai pemimpian kuku besi atau ala-ala kuku besi. Hal demikian kerana:

"Mereka menyembunyikan fakta pejuang lain supaya rakyat tahu hanya mereka pejuang. Maka mereka akan di agung-agung kan. Pemimpin aliran di sana di gemar gemburkan. Sementara pemimpin aliran sini hanya di muka surat belakang. Itu pun jika di selitkan.

Fakta kes kezaliman di tutup, hanya yang ada berita kebaikan. Banyak isu kes salah laku pemimpin atau kerajaan sendiri di sembunyikan. Lalu senyap di telan zaman. Hasilnya rakyat tertipu. Tidak hairan jika rakyar sering berkata “ jika tiada........siapa lagi mampu memerintah”.


Adakah buku teks Malaysia bebas dari hal tersebut?

Sejarah sebagai medan dakwah

Di peringkat sekolah menengah, antara kandungan sejarah yang dipelajari ialah sejarah tamadun dunia termasuk sejarah tamadun Islam. Pelajar akan mempelajari sejarah Nabi Muhammad SAW, cerita penghijrahan sehingga terbentuknya kerajaan Islam pertama di Madinah al Munawarah. Pelajar juga akan di dedahkan sejarah khulafa Ar Rasyidin, kerajaan Umaiyah, Abbasiyyah, Fatimiah dan Utmaniah. Sejarah kedatangan Islam di Asia Tenggara dan kisah pemelukan Islam raja-raja juga antara intipati kandungan teks sejarah peringkat menengah.

Apabila subjek ini di syaratkan wajib lulus, bermakna pelajar akan belajar bersungguh-sungguh sejarah. Ia juga membawa maksud, pelajar akan bersungguh belajar sejarah Nabi Muhammad SAW, Islam dan seperti mana tulisan penulis sebelum ini. Secara tidak langsung, pelajar beragama Islam akan bertambah kenal sejarah perjuangan Baginda SAW dan pelajar bukan islam, bermula episod tanda tanya tentang Islam dan Nabi SAW. Melihat sejarah tamdun Islam yang hebat daulu, mustahil mereka tidak tertarik. Semua ini bergantung kepada guru yang mengajar. Jangan hanya mahu anak murid cemerlang dalam peperiksaan tetapi unsur dakwah yang penting. Guru-guru sejarah wajib menjalani kursus khas bagaimana method penyampaian subjek ini secara berkesan. Baru lah, pelajar yang lahir bukan sekadar cinta pada Negara, bangsa tetapi juga pada agama mereka. Bagi yang bukan islam, terus tertarik pada Islam. Adakah kita tidak mahu mereka menikmati nikmat iman dan islam?

Adakah guru-guru sejarah malaysia sedar hal ini?

Kesimpulannya, pengumuman ini wajar di sokong. Beberapa perkara tadi harus di pandang serius oleh pihak tertentu. Besar harapan, melihat generasi baru nanti cintakan agama, bangsa dan Negara.

“Dengan sejarah kita kenal bangsa dan Negara, bukan kah dengan sejarah juga kita cinta terhadap agama’?

Monday, October 25, 2010

Siapakah Mursyid?

Di dalam buku liku-liku jalan ketuhanan, karangan Abu hubaib As Syathariy. Pengarang menggariskan lapan ciri ringkas mursyid. Ia merangkumi:

1- Mempunyai ilmu yang melepaskan diri dan muridnya iaitu fardhu ain bagi mengesahkan ibadah

2-Menunaikan kewajipan yang difardhukan ke atasnya dan meninggalkan perkara yang diharamkan

3- Kurang cenderung kepada dunia, kerana guru yang masih kuat kecintaan kepada dunia seperti suka di sanjung, dikenali, cinta kepada kemewahan boleh membahayakan hati murid. Pendidikannya juga di ragui kerana dibimbangi peningkatan maqam pada muridnya dalam perjalanan tariqah di buat kerana guru mempunyai kepentingan tertentu. Ini amat bahaya kepada murid kerana boleh menyebabkan mereka angkuh, ilmu secara istidraj dari Tuhan dan boleh membahayakan dirinya pada ilmu ini. Hal ini banyak berlaku pada ahli tarekah sehingga di lihat kedudukan dan maqam mereka dalam ilmu tarekah tinggi akan tetapi akhlak, ilmu dan ubudiyyah mereka amat rendah malah nafsu mereka pun mereka tidak kenal, ini disebabkan mereka tidak di didik oleh guru yang ikhlas.

4- Benar salasilahnya kerana salasilah[1] adalah perkara yang penting. Tanpa salasilah yang benar, ziir yang di amalkan tidak mempunyai kekuatan untuk membuka hijab atau mencapai kasyaf dengan Allah SWT. Salasilah adalah sumber barakah untu mendapat warid atau jazbah.

5- Masyhur di kalangan mereka atau rakan seperjuangan. Ini penting kerana ramai guru yang mempunyai kepentingan dunia melakukan pelbagai dakwaan apabila syeikh mereka meninggal dunia. Mereka memberitahu murid-murid lain bahawa dia adalah murid kesayangan guru, orang kanan, pengganti guru dan dia paling tinggi maqam kerohanian. Malahan bukui ijazah yang hanya boleh disahkan guru, boleh direka-reka.

6- Tariqah yang di amalkannya adalah tarekah muktabar dengan kafiat yang betul. Jika ada bersalahan, ia bukan masalah dasar tetapi masalah rating sahaja.

7- Tiada pendakwaan ke atas diri sendiri dan tidak memperlihatkan kehebatan dirinya seperti mengaku wali, wakil al mahdi dan sebagainya

8- Ramai di kalangan muridnya merasai kemanisan jwa dengan zikir dan makrifah.

Tanda-tanda Mursyid

Al Allamah Syeikh Abd Qadir Bin Isa berkata, tanda-tanda mursyid ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya:

1- "Apabila kamu bersamanya atau dalam majlisnya, terasa degupan jantung keimanan dan haruman rohani.

2- Kamu dapat melihat bahawa terdapat gambaran keimanan, keikhlasan, ketaqwaan serta tawadhu’ pada kehidupan ikhwan dan anak muridnya."

(Haqaiq An Tasauf: Syeikh Abd Qadir Isa, m/s 71)

Ketahuilah sahabat, sesungguhnya mursyid yang terbaik ialah dia menjadi seorang ayah dalam mentarbiyah, berwatak guru ketika menghukum dan bagaikan sahabat karib ketika murid memerlukan.


[1] Salasilah ialah sanad yang bersambung secara berterusan dari guru dan gurunya menerima dari gurunya. Demikianlah seterusnya hingga kepada Nabi Muhamad SAW. Kaedah ini sama sebagaimana method ulama hadis memindahkan hadis-hadis Rasulullah SAW menggunakan sanad, daripada seorang perawi kepada perawi lan sehingga sampai kepada Rasulullah SAW. Disiplin ilmu berasaskan sanad sebagai satu asas menjaga sunnah nabawi dari penyelewengan. Oleh itu, benar perkataan ibn Mubarak: “sanad itu sebahagian dari agama, tanpa sanad nescaya manusia bebas berkata apa sahaja yang di ingini.

Friday, October 22, 2010

Menjaga Qalb

Di dalam perjalanan tarekah, Qalbi atau hati[1] bagaikan cermin. Jika cermin itu kotor, maka tiada pantulan imej berlaku di permukaan cermin. Hanyalah kelam sahaja. Namun jika ia bersih, cermin mampu memantulkan segala imej di hadapannya. Anologinya jelas, rahsia-rahsia hakikat dan makrifah hanya menembusi hati yang bersih. Ia sebuah hati yang yang bersedia menerima pantulan nur makrifah. Apakah yang di maksudkan dengan qalb? Adalah penting kita memahami pengertian qalb sebelum kita belayar lebih jauh dalam perbicaraan ini.

Syaikh Mustapha Jiasi, Khalifah Tarekah Ahmadiah salur galur Syeikh Daud Bukit Abal membahagikan qalb kepada dua makna, iaitu:

Pertama: Kalbu ialah kalbu zahir atau yang dikatakan hati kasar iaitu seketul daging besar segempal tangan terletak dalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan berfungsi tempat mengisi dan mengepam darah untuk menjalar ke seluruh urat saraf manusia. Hati ini memang dapat di lihat, di jamah dan di kerat belah oleh pisau. Ia akan hancur dan busuk berulat bila mati. Hati jenis ini sama terdapat pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tiada nilaian sedikit pun di sisi Allah.

Kedua: Kalbu ialah hati batin atau seni yang tidak dapat di lihat dengan mata kasar, tak dapat di jamah dengan tangan dan tak dapat di kerat potong oleh pisau, tetapi ia dapat di rasai oleh pegakuan batin sendiri tentang wujudnya. Ia satu kejadian yang latifah rabbaniyyah atau dapat kita bahasakan dengan hati seni, kejadian Tuhan yang rohani.[2]

Maka, hati batin merupakan intipati perbicaraan ini. Penderitaan, kegembiraan, ketenangan, cinta, rintihan dan apa jua hal perasaan yang kita rasai berpusat di hati batin kita. Ia hanya pengakuan tanpa bisa di kesan oleh lima pancaindera kita. Hati zahir boleh di pegang dan boleh di ubati jika sakit. Sesetengah manusia menyangka hati zahir yang merasai segalanya, namun mereka tersilap, apabila di belah hati zahir, jawapan yang di berikan hanya hitam dan darah sahaja. Oleh itu, di manakah rindu, di manakah cinta, di manakah sengsara yang bermain di jiwa? Seandainya rindu berada di hati zahir bermakna ia boleh di buang. Jika benar, nescaya aku orang pertama melakukan pembedahan, membuang rindu insani untuk membuka ruang cinta ilahi, nescaya aku akan buang cinta dunia untuk memperolehi cinta Baginda SAW.

Sahabatku..

Kita sudah mengenal apakah hati yang di maksudkan. Apabila sudah mengenal, maka ia perlu di jaga. Kepentingan Menjaga qalb bukannya rekaan kaum sufi malah ia selari dengan tuntutan syarak.

Dalil Quran:

“Katakanlah bahawa sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perkara-perkara yang keji, apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[3]

“Janganlah kalian menghampiri perkara-perkara yang keji apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[4]

Dalil Sunnah

"Sesungguhnya di dalam jasad, terdapat seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati."[5]

Bagaimanakah maksud jika baik hati baik segalanya dan jika rosak hati, maka rosak segalanya?

Logik akal mengatakan, kebaikan atau kejahatan terletak pada akal. Akal menerima dan memproses maklumat lalu merangsang pergerakan anggota tubuh manusia. Proses ini berlaku dengan cukup tersusun dengan izin Allah SWT. Masih kita tertanya-tanya, di manakah kelibat qalb ?apakah peranannya?

Ketahuilah sahabat...

Kehebatan si raja bukan kerana raja. Kehebatan raja terletak di atas bahu penasihat. jika benar penasihat, maka benar si raja, apabila benar si raja maka benar rakyat jelata.

Secara kiasan, untuk mudah di fahami akal ialah raja dan hati merupakan penasihat. Anggota tubuh hanyalah askar raja. Hati(penasihat) sentiasa membisikkan kejahatan, maka akal(raja) terpengaruh dengan buah fikiran penasihat. Arahan raja di keluarkan, anggota tubuh(askar raja) terus melaksana. Siapakah mangsa? Tentu sekali rakyat jelata.

Ada juga kisah raja baik tetapi penasihat jahat. Begitu jua kisah raja jahat tetapi penasihat baik.

Raja(akal) baik tetapi penasihat(hati) jahat ialah kiasan sifat munafik. Munafiq ialah batinnya kufur kepada Allah, zahirnya beriman kepada Allah. jika dilihat dari zahir, tatkala di laungkan qamat, mereka di saf hadapan, tatkala jihad di suarakan, mereka bagaikan pejuang, tatkala di hadapan mereka sebaik-baik ikhwan. Mereka rela hidup dalam kepuraan untuk menghancurkan Islam dari dalam.

Firman Allah SWT:

"Dan apabila engkau melihat mereka(orang munafiq), engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?" [6]

Sahabat...

Bila sebut munafiq, jangan kita hanya ingat Abdullah bin ubai sahaja. Dia memang munafiq yang mashyur di zaman Baginda SAW. Kita lupa yang kita juga ada sifat demikian. Sesungguhnya Munafiq terbahagi kepada dua:

Munafiq kubra:

Munafiq kubra sebagaimana takrif sebelum ini iaitu, zahir beriman kepada Allah, batin kufur kepada Allah.

Munafiq sughra:

Zahir beribadah kerana Allah, batin riya’ kepada Allah.

Kedua-dua jenis munafiq samada suhgra atau kubra tiada cacat cela dari aspek zahir. Zahir mereka beribadah dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi mereka langsung tiada dalam pandangan Allah SWT lantaran hati mereka ingkar, hati mereka tidak ikhlas kepada Allah SWT.

Dewasa ini, kebayakan umat islam di jangkit virus nifaq sughra. Zahir mereka bagaikan abid, namun hati mereka riya’, ujub dan takkbur akan Allah SWT. Bagaimana mungkin kita menyembah Allah pada masa yang sama kita memakai sifatNya.

Sahabat..

Sesungguhnya hati menjadi ukuran ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kalian, dan tidak pula kepada rupa paras kalian akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu."[7]

Usah kalian hairan, seseorang menghafal al quran dan mengingati ribuan hadis kerana si kafir jua bisa melakukannya. Usah kalian merasa pelik, seseorang hebat bercerita tentang sirah Nabi kerana Yahudi lagi mengenali Nabi SAW lebih dari anak-anaknya. Kalian jua usah taksub jika melihat orang berdiskusi tentang ilmu syariat Islam sehari lamanya kerana orientalis mengkaji islam berpuluh tahun. Jadi, adakah bermakna ilmu syariat bukan sumber kekuatan utama umat islam[8]? Ya, apakah benar ilmu syariat kekuatan utama umat islam sedangkan orang kafir boleh menguasainya juga? Sesungguhnya Kekuatan sesuatu kaum kerana memiliki sesuatu yang tiada pada kaum yang lain. Apakah yang umat islam ada tapi tiada pada kaum lain? Umat islam memiliki[9] ilmu dzauqi iaitu ketauhidan, keikhlasan, rendah diri, sabar, redha, qanaah, tawakkal ,cinta pada Allah dan rasul melebih segala-galanya serta sifat mahmudah yang lain.

Sesungguhnya sifat-sifat hati tersebut tidak boleh di buat-buat. Selagi seseorang tidak melalui proses pembersihan hati, dia tidak akan memperolehi sifat demkian melainkan sekadar buat-buat.

Hujjatul Islam Imam al Ghazali di dalam kitab beliau, Ihya Ulumuddin telah menjelaskan hukum membersihkan hati.

“Dan menghilangkannya( penyakit-penyakit hati) hukumnya fardhu ain. Tidak mungkin dapat menyucikannya melainkan mengetahui sekatan dan sebab-sebabnya(penyakit hati)”.[10]

Guruku, Tokku Haji Ibrahim pernah mengungkapkan satu syair:


"Rahsia Hati

Hati....

Engkau adalah pandangan Allah

Engkau adalah rahsia Allah

Siapa yang memahaminya, akan membersihkanmu

Hati...

Engkau kini terhijab

Engkau tidak melihat dengan kebenaran

Apabila tertanggalnya hijab

Terpandanglah engkau akan kebaikan

Terpukaulah engkau dengan keindahan

Terang dan nyata wujudnya Allah

Hati...

Engkau adalah kitab Allah

Engkau adalah khazanah Allah

Jika engkau terbuka hijab Engkau kembali seperti dahulu

Ilmu-ilmu yang tinggi adalah dirimu

Jadilah dirimu alim hakiki"


[1] Abu Said, ia memarfu’kan: Hati ada empat macam:hati yang bersih, di dalamnya ada semacam lentera yang bersinar.(2) hati yang terbungkus yang terikat dan padanya ada bungkusannya. (3) hati yang terbalik. (4) hati yang dibentangkan. Adapun hati yang bersih adalah hati seorang mukmin. Adapun hati yang terbalik adalah hati seorang munafiq. Dia tahu ia mengingkari. Adapun hati yang terbentang adalah hati yang padanya iman dan kemunafikan. Dan perumpaaan iman yang ada padanya adalah seperti sayuran yang disertai air yang bersih, sedangkan perumpaan kemunafikan yang ada padanya dalah seperti bisul yang disertai nanah dan darah. Mana di antara kedua(nanah dan darah) itu dominan atas lainnya, maka ia yang menang.

Kitabul Iman, ahkaamul Iman wa Dzikri bai’ah wa ghairu Dzaalik no 110

[2]Mengenal Diri dan Wali Allah m/s 25

[3] Surah A-A’raaf:33

[4] Surah Al-An’am:151

[5] Riwayat Bukhati dalam kitab Al Iman, Muslim dalam kitab Al Musaaqah daripada Nu’man Bin Basyir ra huma

[6] Surah Al Munafiqun:3

[7] Dikeluarkan oleh Muslim dalam sahihnya, dalam kitab Al-Birru Wa Ash-Shlah daripada abu Hurairah r.a

[8] Ilmu syariat di perlukan tetapi bukan kekuatan. ilmu syariat seperti sarung keris manakala ilmu dzauqi adalah keris. sarung keris amat penting sabagai penyarung akan tetapi kekuatan sebenar pada keris.

[9] Penulis menggunaka ‘memiliki’ bukan ‘mempelajari’. Kedua-duanya amat berbeza. Orang yang belajar belum memiliki tetapi orang memiliki sudah belajar. Pengetahuan tentang sifat mahmudah tadi masih dikategorikan sebagai ilmu syariat selagi dalam proses pembelajaran. Sekarang, ramai umat islam hanya mempelari tetapi tidak pernah langsung merasai sifat-sifat tersebut.

[10] Ihya Ulum ad ddin m/s 25

Menjaga Syariat

Wahai sahabatku,

Ketahuilah Syariat ialah asas, tarekah ialah wasilah. Kedua-duanya saling menyempurnakan untuk menggapai hakikat. Perjalanan ilmu hakikat tanpa di dasari ilmu syariat adalah batil. Perjalanan tarekah menghalusi penyakit-penyakit batin yang kadang-kandang kita sendiri tidak sedari. Bagaimana mungkin penyakit-penyakit batin dapat di ubati jika perkara-perkara zahir iaitu syariat pun terlepas pandang. Syariat dan hakikat, kedua-duanya ilmu dari Nabi Muhammad SAW. Barangsiapa mengambil hakikat tanpa mempedulikan syariat, tegas sekali mereka tidak mengikuti perjalanan baginda SAW. Dan sesungguhnya, tanpa mengikuti Baginda SAW, pintu hakikat dan makrifah tidak akan sesekali terbuka.

Kaedah sufi yang masyhur:

Setiap hakikat yang menyalahi syariat adalah zindiq.[1]

Bagaimana mungkin hakikat boleh menyalahi syariat sedangkan ia adalah hasil pelaksanaan syariat sendiri.

Ketahuilah sahabatku,

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling asyik tenggelam dalam lautan ilmu hakikat dan makrifah. Meskipun demikian, Baginda SAW juga orang yang paling menjaga syariat jauh meninggalkan umatnya.

Jika di tanya siapakah paling memahami makrifah, Baginda SAW. Siapakah paling mendalami hakikat? Baginda SAW. Siapakah paling menyelusuri perjalanan tarekah? Baginda SAW. Dan siapakah paling menjaga syariat? Baginda SAW bahkan Baginda SAW lah yang membawa syariat ke seluruh alam. Terus perjalanan Nabi SAW di jejaki para sahabat Baginda SAW. Oleh itu, siapakah kita untuk menidakkan syariat, siapakah kita untuk mengatakan, bila berhakikat syariat sudah tidak perlu, siapakah kita?

Malu lah kalian kepada Allah SWT, aib sungguh kalian di sisi Nabi SAW. Orang yang berkata demkian hanyalah orang yang perasan. Mereka menganggap mereka sudah dekat dengan Allah SWT serta mencapai maqamat tertentu, akan tetapi sebenarnya sangat hina di pandangan Allah SWT.

Syeikh Abdul Wahab Asy Sya’rani berkata:

“Jalan kaum sufi terpahat pada Al Quran dan As Sunnah seperti terpahatnya emas dan permata. Maka si salik berhajat kepada syariat dan hakikat pada setiap harakah(pergerakan) dan sukun(diam).”[2]

Imam Malik rhm berkata:

“Barangsiapa bertasauf tetapi tidak bertafaqquh(bersyariat),sesungguhnya dia adalah zindiq. Barangsiapa yang bertafaqquh tetapi tidak bertasauf sesungguhnya dia fasiq dan barangsiapa menggabungkan kedua-duanya, sesungguhnya dia memperolehi kebenaran sejati”.[3]

Situasi pertama

Hebat berzikir. Dengar khabar, sehingga terbang ke udara. Dua, tiga jam berzikir perkara biasa. Akan tetapi di cemari dengan kisah penyakit perasan. “ syariat hanya kulit, hakikat ialah buah, sudah dapat buah, untuk apa berhajat kepada kulit lagi?”. Zikir hebat, tapi tak solat. Ada yang terus meninggalkan ibadah zahir. Kisah mereka sungguh menyayat hati. Di kenang mujahadah mereka, dasyat, tak terdaya kita melihat, jauh sekali nak ikut beramal. Namun sayang, tiada nilai di sisi Allah SWT. Mereka terang-terang meninggalkan syariat muhammadiah, untuk terus kepada Allah Azza Wa Jalla. Hasilnya kepenatan dan mabuk dalam dunia sangkaan-sangkaan. Seorang kiyai dari Indonesia bercerita kepada saya, kisah perdebatan beliau berhadapan seorang sahabat yang berhakikat tetapi mengabaikan syariat. Cukup satu hujah, sahabat beliau terus terdiam.

Kiyai bertanya.” Adakah kamu ‘bersama’ dengan isteri kamu?”. Sahabatnya menjawab.” Sudah tentu”.

Kiyai membidas.” Jika benar perkataan kamu, syariat tidak perlu, hentikan ‘bersama’ isteri kerana sesungguhnya ia juga adalah perkara yang di syariatkan. Bukankah kamu sudah mencapai hakikat dan fahaman kamu, bila sudah berhakikat, tidak lagi perlu pada syariat?”.

Situasi kedua

Kebanyakan orang hari ini sekadar mempelajari perkara membatalkan ibadah dari aspek zahir sahaja. Lalu Mereka beribadah. Dalam tempoh tersebut, kerancakan irama riya’[4] dan takkabur serta ujub’[5] bergema di kotak hati. Sangkaan mereka, gema tersebut sekadar muzik sentimental. Di biarkan berterusan, muzik sentimental bertukar menjadi ngauman ganas. Semakin beribadah, semakin jauh dari Allah SWT. Baru bermula beribadah, tersenyum dengan ujub. Ketika beribadah, datang riya’ dan selesai sahaj ibadah, asyik dengan takkabur. Kesemua sifat tadi adalah sifat tercela, yang menyekat ibadah kita sampai ke hadrat Allah SWT. Jadi lah dia manusia fasiq sebagaimana perkataan Imam Malik r.a

Imam para sufi, Iman Junaid Al Baghdadi:

“Mazhab kami ini terikat dengan usul Al Quran dan As Sunnah”.[6]

Sesungguhnya barangsiapa yang bertarekah, adalah penting dia memastikan perjalanan tarekah yang di tempuhinya menepati disiplin ilmu Al Quran dan As Sunnah berdasarkan garapan yang telah di susun oleh para alim ulamak.


[1] Ruj Haqaiq An Tasauf

[2] Lathaiful Minan Wal Akhlaq, Syeikh Abd Wahab Asy Sya’rani Jilid 1 m/s 2

[3] Syarah Ainul ilmi Wa zainul hilmi-karangan Mula Ali Al Qadri Jilid 1 m/s 33

[4] Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:

“ Makhluk-makhluk Allah yang pertama-tama di bakar di dalam api neraka ialah tiga. Pertama: seorang yang membaca Al Quran, agar di kenal orang sebagai pandai membaca. Kedua: orang yang mati syahid, tetapi ia berperang untuk di sebut orang bahawa ia seorang pejuang yang berani. Ketiga: seorang hartawan yang bersedekah untuk di sebut orang bahawa dia lah seorang yang pemurah.”

Riya adalah satu sifat yang menuntut pujian orang atau mengharapkan kedudukan di hati manusia ketika membuat amal yang di tujukan kepada Allah Taala seperti sembahyang dan puasa. Jika kita merasakan bahawa dalam diri kita ada sifa riya’, maka janganlah kita meninggalkan amal pula dengan niat hendak melepaskan diri dari sifat riya’. Jika kita berlaku serupa itu, beerti kita telah menurutkan kehendak syaitan. Akan tetapi hendaklah kita perhatikan terlebih dahulu kalau amal yang kita lakukan itu tidak boleh tidak, mesti di lihat oleh orang ramai, umpama fardhu haji, jihad, menuntut ilmu, sembahyang berjemaah dan lain seumpamanya, maka hendaklah kita mengerjakan secara terang terangan sebagaimana di perintahkan Allah. Dalam pada itu hendaklah kita lawan diri kita dari dicampuri riya’ dalam amalan itu dan mohonlah bantuan Allah dalam melawan hawa nafsu itu. Adapun amalan-amalan yang boleh di elakkan pekerjaannya secara terang terangan seperti puasa, sembahyang tengah malam, sedekah, membaca Al quran dan sebagainya hendaklah kita lakukan amalan-amalan ini secara senyap. Sebab mengamalkannya secara rahsia adalah lebih utama secara mutlak kecuali jika pelakunya boleh terselamat dari sifat riya’, ataupun ia mengharapkan orang ramai menurut jejak langkahnya sedang dia memang pemimpin untuk di ikut.

[5] Sabda Rasulullah SAW:

“Ujub akan menghapuskan kebajikan, sebagaimana api memakan kayu bakar.

Ujub atau membangga diri ilah seorang itu memandang diirnya besar atau tinggi serta menganggap segala apa yang dia buat betul dan baik. Akibat dari kebanggaan diri inilah timbul perasaan suka mengaku diri bijak dan pandai, merasa diri lebih tinggi dari orang lain.

[6] At Thabaqat As Sufiyah-As Sulami m/s 159