Di dalam perjalanan tarekah, Qalbi atau hati[1] bagaikan cermin. Jika cermin itu kotor, maka tiada pantulan imej berlaku di permukaan cermin. Hanyalah kelam sahaja. Namun jika ia bersih, cermin mampu memantulkan segala imej di hadapannya. Anologinya jelas, rahsia-rahsia hakikat dan makrifah hanya menembusi hati yang bersih. Ia sebuah hati yang yang bersedia menerima pantulan nur makrifah. Apakah yang di maksudkan dengan qalb? Adalah penting kita memahami pengertian qalb sebelum kita belayar lebih jauh dalam perbicaraan ini.
Syaikh Mustapha Jiasi, Khalifah Tarekah Ahmadiah salur galur Syeikh Daud Bukit Abal membahagikan qalb kepada dua makna, iaitu:
Pertama: Kalbu ialah kalbu zahir atau yang dikatakan hati kasar iaitu seketul daging besar segempal tangan terletak dalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan berfungsi tempat mengisi dan mengepam darah untuk menjalar ke seluruh urat saraf manusia. Hati ini memang dapat di lihat, di jamah dan di kerat belah oleh pisau. Ia akan hancur dan busuk berulat bila mati. Hati jenis ini sama terdapat pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tiada nilaian sedikit pun di sisi Allah.
Kedua: Kalbu ialah hati batin atau seni yang tidak dapat di lihat dengan mata kasar, tak dapat di jamah dengan tangan dan tak dapat di kerat potong oleh pisau, tetapi ia dapat di rasai oleh pegakuan batin sendiri tentang wujudnya. Ia satu kejadian yang latifah rabbaniyyah atau dapat kita bahasakan dengan hati seni, kejadian Tuhan yang rohani.[2]
Maka, hati batin merupakan intipati perbicaraan ini. Penderitaan, kegembiraan, ketenangan, cinta, rintihan dan apa jua hal perasaan yang kita rasai berpusat di hati batin kita. Ia hanya pengakuan tanpa bisa di kesan oleh lima pancaindera kita. Hati zahir boleh di pegang dan boleh di ubati jika sakit. Sesetengah manusia menyangka hati zahir yang merasai segalanya, namun mereka tersilap, apabila di belah hati zahir, jawapan yang di berikan hanya hitam dan darah sahaja. Oleh itu, di manakah rindu, di manakah cinta, di manakah sengsara yang bermain di jiwa? Seandainya rindu berada di hati zahir bermakna ia boleh di buang. Jika benar, nescaya aku orang pertama melakukan pembedahan, membuang rindu insani untuk membuka ruang cinta ilahi, nescaya aku akan buang cinta dunia untuk memperolehi cinta Baginda SAW.
Sahabatku..
Kita sudah mengenal apakah hati yang di maksudkan. Apabila sudah mengenal, maka ia perlu di jaga. Kepentingan Menjaga qalb bukannya rekaan kaum sufi malah ia selari dengan tuntutan syarak.
Dalil Quran:
“Katakanlah bahawa sesungguhnya Tuhanku mengharamkan perkara-perkara yang keji, apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[3]
“Janganlah kalian menghampiri perkara-perkara yang keji apa yang zahir daripadanya dan apa yang batin”.[4]
Dalil Sunnah
"Sesungguhnya di dalam jasad, terdapat seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah jasad seluruhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati."[5]
Bagaimanakah maksud jika baik hati baik segalanya dan jika rosak hati, maka rosak segalanya?
Logik akal mengatakan, kebaikan atau kejahatan terletak pada akal. Akal menerima dan memproses maklumat lalu merangsang pergerakan anggota tubuh manusia. Proses ini berlaku dengan cukup tersusun dengan izin Allah SWT. Masih kita tertanya-tanya, di manakah kelibat qalb ?apakah peranannya?
Ketahuilah sahabat...
Kehebatan si raja bukan kerana raja. Kehebatan raja terletak di atas bahu penasihat. jika benar penasihat, maka benar si raja, apabila benar si raja maka benar rakyat jelata.
Secara kiasan, untuk mudah di fahami akal ialah raja dan hati merupakan penasihat. Anggota tubuh hanyalah askar raja. Hati(penasihat) sentiasa membisikkan kejahatan, maka akal(raja) terpengaruh dengan buah fikiran penasihat. Arahan raja di keluarkan, anggota tubuh(askar raja) terus melaksana. Siapakah mangsa? Tentu sekali rakyat jelata.
Ada juga kisah raja baik tetapi penasihat jahat. Begitu jua kisah raja jahat tetapi penasihat baik.
Raja(akal) baik tetapi penasihat(hati) jahat ialah kiasan sifat munafik. Munafiq ialah batinnya kufur kepada Allah, zahirnya beriman kepada Allah. jika dilihat dari zahir, tatkala di laungkan qamat, mereka di saf hadapan, tatkala jihad di suarakan, mereka bagaikan pejuang, tatkala di hadapan mereka sebaik-baik ikhwan. Mereka rela hidup dalam kepuraan untuk menghancurkan Islam dari dalam.
Firman Allah SWT:
"Dan apabila engkau melihat mereka(orang munafiq), engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?" [6]
Sahabat...
Bila sebut munafiq, jangan kita hanya ingat Abdullah bin ubai sahaja. Dia memang munafiq yang mashyur di zaman Baginda SAW. Kita lupa yang kita juga ada sifat demikian. Sesungguhnya Munafiq terbahagi kepada dua:
Munafiq kubra:
Munafiq kubra sebagaimana takrif sebelum ini iaitu, zahir beriman kepada Allah, batin kufur kepada Allah.
Munafiq sughra:
Zahir beribadah kerana Allah, batin riya’ kepada Allah.
Kedua-dua jenis munafiq samada suhgra atau kubra tiada cacat cela dari aspek zahir. Zahir mereka beribadah dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi mereka langsung tiada dalam pandangan Allah SWT lantaran hati mereka ingkar, hati mereka tidak ikhlas kepada Allah SWT.
Dewasa ini, kebayakan umat islam di jangkit virus nifaq sughra. Zahir mereka bagaikan abid, namun hati mereka riya’, ujub dan takkbur akan Allah SWT. Bagaimana mungkin kita menyembah Allah pada masa yang sama kita memakai sifatNya.
Sahabat..
Sesungguhnya hati menjadi ukuran ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh kalian, dan tidak pula kepada rupa paras kalian akan tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu."[7]
Usah kalian hairan, seseorang menghafal al quran dan mengingati ribuan hadis kerana si kafir jua bisa melakukannya. Usah kalian merasa pelik, seseorang hebat bercerita tentang sirah Nabi kerana Yahudi lagi mengenali Nabi SAW lebih dari anak-anaknya. Kalian jua usah taksub jika melihat orang berdiskusi tentang ilmu syariat Islam sehari lamanya kerana orientalis mengkaji islam berpuluh tahun. Jadi, adakah bermakna ilmu syariat bukan sumber kekuatan utama umat islam[8]? Ya, apakah benar ilmu syariat kekuatan utama umat islam sedangkan orang kafir boleh menguasainya juga? Sesungguhnya Kekuatan sesuatu kaum kerana memiliki sesuatu yang tiada pada kaum yang lain. Apakah yang umat islam ada tapi tiada pada kaum lain? Umat islam memiliki[9] ilmu dzauqi iaitu ketauhidan, keikhlasan, rendah diri, sabar, redha, qanaah, tawakkal ,cinta pada Allah dan rasul melebih segala-galanya serta sifat mahmudah yang lain.
Sesungguhnya sifat-sifat hati tersebut tidak boleh di buat-buat. Selagi seseorang tidak melalui proses pembersihan hati, dia tidak akan memperolehi sifat demkian melainkan sekadar buat-buat.
Hujjatul Islam Imam al Ghazali di dalam kitab beliau, Ihya Ulumuddin telah menjelaskan hukum membersihkan hati.
“Dan menghilangkannya( penyakit-penyakit hati) hukumnya fardhu ain. Tidak mungkin dapat menyucikannya melainkan mengetahui sekatan dan sebab-sebabnya(penyakit hati)”.[10]
Guruku, Tokku Haji Ibrahim pernah mengungkapkan satu syair:
"Rahsia Hati
Hati....
Engkau adalah pandangan Allah
Engkau adalah rahsia Allah
Siapa yang memahaminya, akan membersihkanmu
Hati...
Engkau kini terhijab
Engkau tidak melihat dengan kebenaran
Apabila tertanggalnya hijab
Terpandanglah engkau akan kebaikan
Terpukaulah engkau dengan keindahan
Terang dan nyata wujudnya Allah
Hati...
Engkau adalah kitab Allah
Engkau adalah khazanah Allah
Jika engkau terbuka hijab Engkau kembali seperti dahulu
Ilmu-ilmu yang tinggi adalah dirimu
Jadilah dirimu alim hakiki"
[1] Abu Said, ia memarfu’kan: Hati ada empat macam:hati yang bersih, di dalamnya ada semacam lentera yang bersinar.(2) hati yang terbungkus yang terikat dan padanya ada bungkusannya. (3) hati yang terbalik. (4) hati yang dibentangkan. Adapun hati yang bersih adalah hati seorang mukmin. Adapun hati yang terbalik adalah hati seorang munafiq. Dia tahu ia mengingkari. Adapun hati yang terbentang adalah hati yang padanya iman dan kemunafikan. Dan perumpaaan iman yang ada padanya adalah seperti sayuran yang disertai air yang bersih, sedangkan perumpaan kemunafikan yang ada padanya dalah seperti bisul yang disertai nanah dan darah. Mana di antara kedua(nanah dan darah) itu dominan atas lainnya, maka ia yang menang.
Kitabul Iman, ahkaamul Iman wa Dzikri bai’ah wa ghairu Dzaalik no 110
[2]Mengenal Diri dan Wali Allah m/s 25
[3] Surah A-A’raaf:33
[4] Surah Al-An’am:151
[5] Riwayat Bukhati dalam kitab Al Iman, Muslim dalam kitab Al Musaaqah daripada Nu’man Bin Basyir ra huma
[6] Surah Al Munafiqun:3
[7] Dikeluarkan oleh Muslim dalam sahihnya, dalam kitab Al-Birru Wa Ash-Shlah daripada abu Hurairah r.a
[8] Ilmu syariat di perlukan tetapi bukan kekuatan. ilmu syariat seperti sarung keris manakala ilmu dzauqi adalah keris. sarung keris amat penting sabagai penyarung akan tetapi kekuatan sebenar pada keris.
[9] Penulis menggunaka ‘memiliki’ bukan ‘mempelajari’. Kedua-duanya amat berbeza. Orang yang belajar belum memiliki tetapi orang memiliki sudah belajar. Pengetahuan tentang sifat mahmudah tadi masih dikategorikan sebagai ilmu syariat selagi dalam proses pembelajaran. Sekarang, ramai umat islam hanya mempelari tetapi tidak pernah langsung merasai sifat-sifat tersebut.
[10] Ihya Ulum ad ddin m/s 25
Sila berkunjung ke Laman Baru
13 years ago
terlalu ssh nk mnjaga hati.... rase sgt lemah untuk memastikan hati ini kekal baik..
ReplyDelete