RSS

Wednesday, December 23, 2009

Filem 2012 Menggugat Akidah?



Baru-baru ini daku telah menonton sebuah filem yang hangat diperkatakan sekarang. Filem arahan Roland Emmenrich, yang juga pengarah filem The Day after Tomorrow dan Armagedon. Ia dibintangi John Cusack, Chiwitel Ejiofor, Amanda Peet, Oliver Platt, Danny Glover, Thandie Newton dan Woody Harrelson.


Secara ringkas filem yang menelan kos 200 juta usd ini beraksi berasaskan teori Kaum Mayan iaitu Mayanisme, The Mesoamerican Long Count Calendar dan Fenomena 2012 yang sememangnya menjadi kajian hangat para saintis barat. A potroyal cataclysmic events unfolding in the year 2012, lukisan hamparan peristiwa bencana alam pada Tahun 2012. Itu merupakan teori asas di sebalik skrip filem ini.


Ekoran dari pengembangan nyalaan api matahari hingga kerak bumi, teras bumi menjadi panas hingga suhu melangkaui kadar jangkaan fikiran dan teknologi. Sememangnya keadaan demikian belum pernah berlaku. Akhirnya menyebabkan berlakunya pergerakan kerak bumi. Hal demikian menyebabkan senario serangan hari kiamat berlaku. Terzahir huru-hara sekelian penduduk bumi. Bermula jeritan kehancuran California yang tenggelam akibat kegansan lautan pacific di susuli ledakan Yellowstone National Park Caldera. Kemudian gempa bumi besar-besaran. Termasuk juga amukan tsunami dari segenap lautan.


Sebuah kapal raksasa besar di cipta hasil pelaburan wang dan teknologi Negara kuasa besar bumi. Ia untuk menempatkan manusia dari bahana bencana alam. Tiket kapal raksasa adalah 1 bilion euro seorang. Usaha demikian bermula dengan pemimpin-pemimpin dunia dan kenamaan kaya-raya yang boleh membayar jumlah tersebut. Konflik demi konflik berlaku. Akhirnya kemanusiaan menang lalu tiada lagi duit sebagai tiket. Sejajar dengan itu sedaya upaya usaha menyelamatkan manusia di lakukan. Ribuan manusia selamat, dan semuanya yang berada di kapal. Bencana sudah tamat, tiada yang tinggal melainkan lautan dan tanah yang kosong. Tidak ubah kembali ke zaman dahulu kala. Bagai penceritaan zaman Nabi Nuh a.s, ribuan yang selamat menjadi asas kepada pembentukan generasi akan datang.


Secara ringkas situasi dalam skrip filem tersebut. Daku tidak berminat teruskan, kerana bukan niat daku untuk menjadi pengulas. Tulisan ini datang sebagai pengkritik.


Unsur propaganda tidak percayakan Tuhan, atheis jelas menguasai agenda filem ini. Antara yang di kenal pasti ialah

Teknologi mengalahkan Tuhan. Seandainya kalian sudah menonton filem ini pasti kalian dapat melihat bagaimana mereka cuba menyelamatkan umat manusia tanpa mengharapkan dari Tuhan. Seolah-olah Tuhan tidak pernah wujud, mereka menggunakan teknologi sebagai penyelesaian sementara sekelompok manusia berdoa berdasarkan agama masing-masing. Secara halus, kelompok yang berdoa dan menyembah Tuhan, semuanya tewas melainkan yang berada di dalam kapal ( teknologi). Sebenarnya plot ini menyindir kepercayaan kepada Tuhan.

Akan datang di dalam hati penonton, “hurm, di mana Tuhan ketika bencana?”...


di saat bencana, penganut kristian berkumpul di halaman gereja terbesar di itali, sambil berdoa moga-moga kehancuran ini tamat, namun semuanya musnah dalam sekelip mata apabila serangan ombak memakan semua nyawa yang ada termasuk patung sembahan mereka. Sebenarnya ini secara tak langsung menghentam ketuhanan dalam agama kristian sendiri. walaupun hanya memaparkan kemusnahan gereja dan penganut, namun demikian konsep ketuhanan bisa tergugat bagi penganut agama khasnya islam.

Pasti tertanya-tanya." Di mana Tuhan, dengarnya amat kuasa sekali, tapi kenapa tidak menolong kami"?.


سُوۡرَةُ الزّلزَلة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

إِذَا زُلۡزِلَتِ ٱلۡأَرۡضُ زِلۡزَالَهَا (١) وَأَخۡرَجَتِ ٱلۡأَرۡضُ أَثۡقَالَهَا (٢) وَقَالَ ٱلۡإِنسَـٰنُ مَا لَهَا (٣) يَوۡمَٮِٕذٍ۬ تُحَدِّثُ أَخۡبَارَهَا (٤) بِأَنَّ رَبَّكَ أَوۡحَىٰ لَهَا (٥) يَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَصۡدُرُ ٱلنَّاسُ أَشۡتَاتً۬ا لِّيُرَوۡاْ أَعۡمَـٰلَهُمۡ (٦) فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ ۥ (٧) وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ شَرًّ۬ا يَرَهُ ۥ (٨)

Al-Zalzala
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, (1) Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, (2) Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? (3) Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: (4) Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). (5) Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. (6) Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! / (8)


Apakah jawapan wajar bagi pertanyaan demikian? Di dalam agama islam, kita wajib beriman berlakunya hari kiamat. Gambaran tentangnya banyak di perkatakan di dalam al-quran mahupun hadis. bagaimana keadaannya? tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata. Kita wajib beriman setelah kiamat, ia bukan penamat segala-galanya bahkan permulaan menuju dimensi yang lain. Hari kebangkitan, hari pengadilan dan kehidupan samada di syurga atau neraka akan di tempuhi oleh setiap hambaNYa. Kehancuran bukan kezaliman Allah, tetapi keadilanNya. Keadilan kepada usia bumi yang sebetulnya akan tua dan musnah jua. Keadilan dengan hukuman kepada mereka yang ingkar kepadaNya. Ia juga sebagai sebab untuk permulaan alam akhirat. Mohon tambahan dari sahabat-sahabat sekalian.


Selain itu, propangada teori kiamat hanyalah bencana dan ia merupakan proses semulajadi bagi memastikan kestabilan bumi kembali ceria. ia berlaku selang beribu juta tahun umur bumi. Di lihat dalam catatan sejarah, detik kehancuran pernah berlaku beberapakali iaitu di zaman dinasour dan zaman Nabi Nuh a.s.


Kesimpulannya, kita sedar mereka cuba memberi kita kefahaman kiamat bukanlah kehancuran alam semesta tapi hanya bencana bumi, dan ia sebenarnya satu proses semulajadi 'memudakan' bumi.

Wajib kita beriman bahawa, apa yang wujud di alam semesta yang tertakluk dalam dimensi masa dan waktu sejak awal penciptaan semunya musnah dalam sekelip mata. kehancuran tanpa belas kasihan ini juga meranapkan alam semesta yang tiada penghujung ini. Jangan kita terpedaya dengan omongan-omongan kiamat hanya bencana di bumi. Teori itu semua untuk menafikan kuasa Allah SWT. Menolak ketuhanan di sebalik penciptaan hebat alam ini.


سُوۡرَةُ القَارعَة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱلۡقَارِعَةُ (١) مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٢) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا ٱلۡقَارِعَةُ (٣) يَوۡمَ يَكُونُ ٱلنَّاسُ ڪَٱلۡفَرَاشِ ٱلۡمَبۡثُوثِ (٤) وَتَكُونُ ٱلۡجِبَالُ ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوشِ (٥) فَأَمَّا مَن ثَقُلَتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٦) فَهُوَ فِى عِيشَةٍ۬ رَّاضِيَةٍ۬ (٧) وَأَمَّا مَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ (٨) فَأُمُّهُ ۥ هَاوِيَةٌ۬ (٩) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا هِيَهۡ (١٠) نَارٌ حَامِيَةُۢ (١١)

Al-Qariah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Hari yang menggemparkan, (1) Apa dia hari yang menggemparkan itu? (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (3) (Hari itu ialah: Hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, (4) Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. (5) Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya; (6) Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. (7) Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya; (8) Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" (9) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (10) (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. / (11)


Akhir kata, daku tidak melarang pembaca menontonnya, semuanya terletak pada iman pembaca. Daku menonton dengan niat menyelidiki teknologi dan propaganda baru dalam filem keluaran hollywood. Jangan menonton suka-suki sahaja tanpa anjakan pengetahun di minda. pesan hatiku. Jika pembaca mempunyai masalah kecelaruan tauhid, wajarnya tidak perlu menonton. Andaikata keinginan menonton mengatasi segala-galanya, jangan lupa merujuk kepada mereka yang ahli.


Sunday, December 13, 2009

Kasih Sayang Allah Kepada Manusia


Berkata Mursyidku, Tokku Haji Ibrahim Muhammad:


Allah memperkenalkan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim sebagai sifatNya yang pertama kepada manusia. Kenapa sifat ini didahulukan dan dinyatakan kepada hambaNya agar hambaNya merasa tenang dan aman kerana Tuhan yang menciptakannya mempunyai sifat-sifat yang begitu indah.


Allah menyuruh kita memperhatikan diri dan segala nikmatnya, supaya terpancar pada hati insan benih kasih sayang. Perhatikan kerdipan mata kamu, sinar mata kamu yang cantik, hembusan nafas kamu, bunyian di telinga kamu, keenakan rasa di hujung lidah kamu, keindahan susunan gigi kamu dan kedua bibir yang menutupnya, degupan jantung dan pengaliran darah ke seluruh tubuh kamu yang sempurna. Perhatikan sekeliling kamu, keluarga, rakan-rakan dan alam. mereka dicipta agar kamu tidak kesunyian di alam ini.


Sesungguhnya manusia yang mengenal kasih sayang Allah tidak akan lemah dan kecewa. Dia tidak akan merasai sunyi walaupun seluruh manusia tidak menyayanginya. kerana dia tahu Allah menyayanginya. Allah tidak bersifat membenci hambaNya dan Dia sentiasa melimpahkan kasih sayangNya kepada hamba-hamba yang sentiasa merasa berhajat kepadaNya.


Kepada manusia di sekelilingnya penuh dengan pujian dan sanjungan orang lain, berhati-hatilah, belum tentu Allah menyayanginya. Apakah makna kasih sayang manusia jika Allah memurkai kita dan apakah makna kebencian manusia sedangkan Allah menyayangi kita?

Sifat pengampunNya mendahului sifat kemurkaanNya terhadap apa-apa kesalahan yang di lakukan hambaNya. Apabila hambaNYa mahu keampunan seolah-olah Dia membisikkan


"Demi kasih sayang aku kepada kamu, aku akan melupakan segala kesalahan yang engkau lakukan walaupun kelakuan kamu benar-benar menimbulkan kemurkaan aku. tetapi apabila engkau datang dengan jiwa kekesalan dan memohon keampunan, hancur leburlah kemurkaan aku kepada kamu wahai hamba aku".


Demikianlah gambaran keagungan kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya.

Lihatlah kepada hukum hakamNya, semuanya adalah gambaran kasih sayang Allah. Cuba perhatikan sifat fitrah insan jika sayang kepada sesuatu, pasti dia akan mengawasinya agar tidak rosak. orang yang menyanyangi kereta akan mencipta hukum untuk penjagaan kereta agar tidak rosak. dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi menjaganya. Begitulah juga dengan ibu bapa yang menyayangi anaknya, mereka akan melarang anaknya melakukan perkara yang kadang-kala anak-anak itu tertanya-tanya dalam jiwanya, “kenapa aku tidak dibenarkan melakukan itu dan ini.”


Begitulah juga Allah dengan hamba-hambaNya. Kenapa Dia mengharamkan arak, judi ? kerana Dia tidak mahu akal kamu rosak, isteri dan anak-anak kamu dalam ketakutan. Rumahtangga kamu akan hancur, kehidupan kamu tiada tujuan dan bercelaru. Kamu pula menjadi hamba kepada hawa nafsu yang membawa kamu ke dunia khayalan.


Allah mengharamkan makanan yang membahayakan kesihatan kamu, kerana Allah yang mencipta makanan dan dia juga yang Maha Mengetahui tentang bahayanya kepada manusia. Dia mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita supaya wanita tidak di rosakkan lelaki yang tidak bertanggungjawab dan supaya lelaki tidak rosak akal fikirannya. Haram dan halal adalah lambang kasih-sayangNya supaya hambaNya tidak di rosakkan oleh syaitan dan nafsu.


Manusia yang menjaga hukum Allah adalah manusia yang mendidik dirinya supaya bebas dari belenggu penderitaan menjadi tawanan nafsu serta alam ini. Akhirat kelak adalah tempatnya yang kekal abadi.


Dalam hal ini, hanya mereka yang memahami kasih sayang Allah sahaja dapat memandang kenikmatan yang menantinya. Lantaran mujahadah pada nafsunya ketika hidup di alam ini. Sesungguhnya amat besar kasih sayang Allah pada hamba-hambaNya. Justeru itu, belajarlah menyayangi Tuhan Kamu untuk mendapat kasih sayangNya.

Saturday, December 12, 2009

Megat A.C.A.B."Tunaikan Tanggungjawab"


Antara band yang daku minat sejak di zaman hingusan ialah A.C.A.B. Nama Megat Hafiz atau MagSkin sebagai pengasas dan vokalis A.C.A.B amat terkenal bahkan menjadi fenomena bagi remaja hatta di kampung pedalaman sekalipun. Aku mula mendengar nama megat ketika berusia 13 tahun di sebuah Felda di Terengganu. Gaya penceritaan dari temanku, sudah cukup menggambarkan betapa berpengaruhnya Megat dalam perkembangan skinhead di Malaysia. Rasanya tidak keterlaluan daku katakan, Megat dan A.C.A.B ibarat irama dan skinhead Malaysia bagai muziknya. Tidak terpisah. Amat memalukan jika mengaku skinhead tapi tidak mengenali mereka.


Band ini di tubuhkan pada tahun 1994 di kuala lumpur. Turut menganggotai band ini ialah, Anas(gitaris), sham(Bass), dan Black(drums). Setelah itu, ahlinya bersilih ganti. Antaranya yang pernah bersama band ini, Edy J, Mono, Irfan Iskandar. Antara album mereka yang terkenal, Eastern Oil, Orang Timur, Skinhead for Life, Bangun WAKE UP, This Is The A.C.A.B.

Bayangkan, tanpa populariti dan promosi ciptaan media massa, kutipan keuntungan album mereka setanding dengan artis malaysia meskipun edaran album hanya secara underground. Ini bukti yang jelas, A.C.A.B terkenal di Malayisa. bak kata pepatah, "tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang yang tahu". Muzik mereka merupakan alternatif baru bagi pendengar. masakan tidak, tahun awal 90an, genre muzik yang berleluasa ketika itu, rock kapak dan rock jiwang. Muda-mudi mula kehausan setelah penat mendengar lagu jiwang leleh. kedatangan A.C.A.B dengan muzik keras serta bertunjangkan senikata perjuangan kemanusiaan di beri sambutan luar biasa.

Siapa sangka, MagSkin yang berkelulusan luar Negara suatu ketikanya otai, pennyebar skinhead di Malaysia akhirnya kembali ke jalan Islam yang sebenar. Apabila di tanya, “Kenapa Megat pilih jalan ni”. Jawab megat.” Sekarang umur dah meningkat, masa untuk menunaikan tanggungjawab”. Beliau memlih untuk beserban dan berjubah sebagai imej barunya. Tidak lain dan tidak bukan kerana cinta mengamalkan sunnah Baginda SAW.

Mungkin kita tidak tahu, megat merupakan cucu saudara Ulamak besar di Yaman dan tradisi keluarganya mengamalkan wirid Al Attas. Segalanya bermula…di kala Waktu maghrib, Megat bersolat setelah lama tidak bersolat atas pelawaan temannya. Hati megat tersentuh sebaik sahaja temannya mmbaca suatu surah yang juga menjadi intipati dalam Ratib Al attas. Lalu hati kecilnya berkata.”Ini amalan keluarga ana ni”. Sejak dari itu hatinya mula membuak-buak ke arah ajaran islam. Kemuncak dari hal demikian, ketika Megat menghadiri Majlis Seminar Tasawuf di pondok Jenderam. Di sana, banyak pameran gambar ulamak, baik luar Negara dan dalam Negara. Kemudian ketika di sudut gambar ulamak Yaman, beliau terpana.”Ni atok saudara ana ni”. Cahaya keimanan makin kuat tatkala menatap potret atuk saudaranya. Sejak itulah, beliau terus ke hadapan tanpa berpaling ke belakang. Untuk pengetahuan bersama, sekarang Megat kian giat untuk menghasilkan album baru yang berunsurkan ketuhanan dan qasidah Nabi Muhammad SAW. Beliau juga menganjurkan majlis zikir di masjid al bukhari setiap malam jumaat sambil mengharapkan teman-teman 'perjuangan" dahulu datang membentuk barisan berzikir kepada Allah SWT dan memuji Baginda SAW.


Jika Megat sedang membaca tulisan ini, suka untuk daku mengujarkan.

” Ana akan sentiasa support abang megat, dan harap abang megat tidak berpaling lagi. Dengan pengaruh dan nama yang abang Megat ada, seru lah teman-teman kembali ke ajaran islam semula. Ingatkan mereka, Dunia hanya sebentar. Sedarkan mereka kembali tentang cinta Allah dan Rasul kerana betapa keras hati seseorang, akan luhur tatkala terdengar kalamullah dan qasidah Nabi Muhammad SAW. Insya Allah Abang megat selalu dalam doa ana. Ana akan terus menjadi peminat no 1 abang megat. Moga-moga Abang Megat sentiasa dalam Rahmat Allah SWT.

Sunday, November 15, 2009

warkah dakwah cinta untuk adikku

Assalamualaikum wbt. Ustaz mulakan warkah ini dengan memanjat syukur kepada Allah SWT kerana telah mengaturkan sebuah pertemuan di antara kita. Sesungguhnya jiwa ini amat meronta-ronta untuk memohon maaf kepada adik2 sekelian. Gelak ketawa yang keterlaluan yang ustaz mulakan telah membawa ustaz jauh berlari dari topik yang di bincangkan. Ustaz tidak mahu pengisian tadi hanya di lisan, tidak mahu menerjah ke dasar hati. Ia tidak akan bisa memberi manfaat. Jika berlaku demikian, ust bertanggungjawab kepada adik2 dan bersedia memohon maaf.

Wahai adik-adik ku, ustaz rasa amat bersalah kerana tidak sempat menghuraikan tajuk dakwah cinta secara mendalam. Oleh hal yang demikian, ustaz mengambil langkah untuk menulis warkah ini. Moga-moga persoalan yang tersangkut petang tadi menemui jawapannya.

Duhai pejuang islam, apakah dakwah dan apakah cinta? Bagaimanakah kaitan di antara keduanya.?

Maka dakwah ialah (النداء) : Seruan atau panggilan.
Dalam bahasa Melayu juga dakwah bermaksud: kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.

Dakwah yang kita maksudkan ialah: Dakwah kepada ALLAH, Firman-Nya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada (agama) ALLAH dengan keterangan dan bukti yang jelas nyata," (Yusuf; 108)

Cinta? Cinta sukar di terangkan dengan kata-kata. Perbicaraannya wujud di antara kekasih dan yang di kasihi. Ia menjalar di segenap insan dengan penuh kerahsiaan.

Berkata Guruku, Syeikh Abu Hubaib As Syathariy:

“…… Cinta adalah titik bagi segala kejadian. Tanpa cinta Allah pada Nabi SAW, tiada Allah menjadikan sekelian alam. Cinta memiliki kuasa yang hebat, ia boleh membawa kepada kebaikan, ia juga boleh membawa kemusnahan.

Cinta boleh menyebabkan sang Raja meninggalkan istana, yang jauh menjadi dekat, yang payah menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang sengsara merasa gembira. Cinta bagaikan siraman air bagi bumi yang kegersangan. Cinta dapat memadamkan ammarahmu, dendam, marah, dengki, sombong, khianat dan lainnya. Segala mazmumah akan lemah apabila berhadapan dengan cahaya cinta yang bertunjang Illahi. Nabi SAW menyebarkan cahaya-cahaya cintanya memaafkan segala mereka yang menghalaunya daripada Mekah, cahaya cintanya menghalang malaikat dari membalikkan bukit Thaif kepada penduduk yang menzaliminya, cahaya cintanya dapat menyatukan segala kabilah, cahaya cintanya dapat menundukkan segala musuhnya.

Mereka yang memiliki cinta, jiwanya bersifat pemaaf, jiwanya penuh dengan kelapangan, jiwanya penuh keterbukaan, yang payah menjadi mudah. Namun jika cinta tiada dalam hati, maka segalanya bertukar yang kecil dianggap besar, yang senang dianggap payah, yang ringan dianggap berat.

Seorang yang menyintai Allah, akan menyintai syariatNya dan tiada terasa payah mengamalkanNya, malah merasa manis bermujahadah dengan perintahNya. Mereka yang menyintai Nabi SAW, akan menyintai sunnah Baginda, akan menyintai segala ahli keluarganya, segala sahabatnya dan sekelian golongan yang dicintai Baginda SAW. Terasa manis mengamalkan sunnahnya, terasa manis menyampaikan risalahnya dan terasa manis apabila diuji sepertinya.

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Al-Imran: 31)

Wahai saudaraku,

Suburkan cahaya Asmaa Ar-Rahman dan Ar-Rahim pada dirimu, maka berjalanlah dengan cahaya itu. Kemudian engkau pantulkan pula pada dirimu, ahli keluargamu, alim ulama, para sahabatmu, masyarakatmu dan ke seluruh alam. Jika cinta pada keluarga atau wanita atau lelaki atau lainnya bukan disandarkan pada cinta Allah, engkau akan terkurung dalam kegelapan neraka yang mengoyakkan hatimu. Semua cinta itu akan membinasakanmu. Maka bebaskan dirimu dari segala belenggu cinta yang lain, jadikan cinta sebagai buraq untuk dirimu mikraj kepada Allah, maka cinta disuburkan kepada Allah dan Rasul.

Engkau mujahadahkan jiwamu dengan cinta para kekasih Allah, para ulama akhirat, para mursyid yang hakiki dengan takzim, tawadhu, khidmat, korban dan doa pada mereka. Engkau kasihkan keluargamu dengan berikan ilmu dan kebaikan kehidupan. Senangkan isteri atau suamimu dengan segala yang menyenangkan selagi ianya dihalal oleh Allah dan Rasul. Bahagiakan mereka kerana Allah, bersabar dengan kelemahan mereka kerana Allah.

Cinta perlukan pengorbanan. Berbaik sangka adalah serendah-rendah cinta, bersama merasa senang dan susah adalah pertengahan cinta, dan mendahului yang dicintai adalah setinggi-tinggi cinta. Maka beramallah kamu salah satu antaranya dalam pergaulanmu dengan manusia, dan bermujahadahlah sehingga sampai kepada yang ketiga. Insya Allah, inilah jalan yang membawa dirimu menjadi para kekasihNya.

Bersabda Rasulullah SAW:

Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya (di akhirat nanti.)(Bukhari & Muslim)

Mujahadah cinta boleh menerbangkan kekasih pada kekasihnya, dapat berhimpun dengan jemaah para kekasihNya. Kuasa cinta dapat menghilangkan kepanasan di padang mahsyar, kuasa cinta dapat memberi syafaat pada sekelian yang berdosa, kuasa cinta akan dapat bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga nanti”.

Adiku, Perjuangan tanpa kasih dan sayang akan melahirkan sekeping hati yang amat keras. Sentiasa memcari keaiban lawan, lawan di anggap musuh yang wajar di perangi. ustaz ingin bertanya kepada adik-adik. Biarkan lafaz terkunci, kerana ustaz mahukan jawapan dari hati kalian. Jika seseorang datang mengajak kalian kepada dakwah islam tetapi dalam masa yang sama juga dia menyerang peribadi kalian? Adakah kalian terima dakwahnya meskipun benar belaka segala hujahnya? Kebanyakan dari kalian pasti memberontak lantas menolaknya. Betul kan? Betapa ruginya si dia di sebabkan dua tiga celaan dan makian, dia telah gagal menarik hati adik2 ke arah islam. Mahukah kalian mengulangi kesilapan demikian?

Ustaz dapat merasakan jiwa2 kalian yang amat lembut. Usah kasari ia dengan tindak tanduk jumud. Maksud ustaz di sini adalah tidak memandang sebelah mata jika mereka berpaksikan golongan di sana atau puak yang tidak berada di dalam perjuangan ini. Pandanglah mereka dengan kasih sayang dan doakan mereka. Mereka bukan menolak islam tetapi terkeliru dek kejahilan. Kemungkinan juga mereka ada acuan tersendiri dalam bergerak tetapi kiblat perjuangan tetap bersama kita.


Sematkan pesan Imam As Syahid Hasan al Banna di hatimu. Tiga Rukun islamiah yang kita bincangkan, lebarkan ia ke seluruh kenalan kalian. Jadilah burung yang terbang, Bersayapkan taaruf, berarahkan tafaahum berparuhkan takaaful. Terbang sejauh mungkin adik ku..jika tidak ramai pasti ada juga tangan2 yang menumpang terbang bersama.


Seorang pujangga bermadah


“Cinta itu sendiri akan mengajar anda adab bercinta”


Adab bercinta yang jelas tidak menyakiti hati insan yang di sayangi, mad’u seolah-olah kekasih yang semestinya di jaga hatinya. Melayan karenah dengan berlapang dada, mengambil berat serta sentiasa suburkan ikatan ukhuwah. Apakah tidak tertawan hati mereka dengan seni berkasih ini?


Ustaz mencintai para pejuang islam. Mereka yang membawa obor-obor perjuangan islam amat besar ganjarannya. Kalian adalah pejuang-pejuang, maka rasanya tidak salah ustaz mengujarkan salam sayang kepada kalian. Setakat ini sahaja yang dapat ustaz coretkan. Akhir kalam. Maafkan segalanya yer.


#Warkah ini untuk edaran pelajar-pelajar matrikulasi yang menjalani Tamrin di Masjid As Solehin, Bangi. 14 November 2009

Thursday, October 22, 2009

Syarah Burdah Imam Bushiri- Siri 1



أَمِنْ تَذَكُّرِ جِيرَانٍ بِذِى سَلَمِ مَزَجْتَ دَمْعًا جَرَى مِنْ مُقْلَةٍ بِدَمِ


Adakah di sebabkan ingatan kamu akan jiran yang berada di dzi salam

Sehinggakan kamu telah mencampurkan air mata yang mengalir dari kelopak mata dengan darah”


Berkata Guru:

“Duhai anakku, Mukadimah tersebut mempaparkan dialog antara diri dengan jiwanya. Kedua-duanya merupakan watak dalam penceritaan. Tidak lah orang bertanya dan yang ditanya itu melainkan orang yang sama iaitu Al Imam Al Bushiri r.a. Beliau telah menggambarkan kemuncak kerinduan dan kecintaannya berteraskan kaedah soalan dan jawapan seakan-akan dua sahabat sedang rancak berbicara. Lantas penantian membelenggu jiwa pendengar, adakah syair seterusnya menjawab persoalan atau berterusan melemparkan kemusykilan.” Keluh si anak murid:

“Guruku, apakah maksud disebaliknya, anakmu pohon keterangan.

Lalu guru membalas:

“Duhai permata hatiku, seolah-olah sukar dibendung lagi, air mata mengalir deras membasahi halaman wajah, sehinggakan terzahir darah lantaran kekeringan. Ini bukan lagi kesedihan bahkan rintihan. Ketahuilah jiran disini membawa pengertian kekasih manakala Dzi salam merujuk suatu tempat di Madinah Al Munawarah. Melihat keadaan ‘sahabat’ yang di rundung kesedihan, maka dia bertanya untuk mendapatkan kepastian. apakah benar sangkaanku bahawa temanku ini mengingati seseorang?.

Anakku, ayuh perhatikan bait seterusnya…”


أَمْ هَبَّتِ الرِيحُ مِنْ تِلْقَاءِ كاَظِمَةٍ وَ أَوْ مَضَ البَرْقُ فيِ الظُلْمَاءِ مِنْ إِضَمِ


Atau kerana tiupan angin dari arah Kazimah, ataupun kilauan kilat pada kegelapan dari Idom.


Guru: “Duhai anakku, adakah kalian menyangka di sana jawapan?

Lalu jawab si murid, ” Tidak guruku bahkan terus di hujani pertanyaan”.

Dengan lembut guru memandang sambil menyambung:

“Benar, dek kerana keengganan dia menjawab soalan, apalagi pilihan sahabat yang ada melainkan terus bertanya dengan harapan kegusaran terlerai. Anakku, apa yang kalian faham dari tiupan angin dan kilauan kilat?”

Si murid, ” Tidak lah kami melainkan berhajat cahaya petunjuk guru”

Guru menjawab: “Apakah perasaan kalian sekiranya tiupan angin muncul dari arah rumah kekasih kalian? Sudah pasti Gementar jiwa kalian terhambat ingatan kepada insan tercinta. Ketahuilah kalian, Kazimah ialah sebuah kawasan di Madinah al Munawarah. Hembusan angin seperti berbahasa menyeru kalian, kemari cintaku..kemari mata airku. Lonjakan kerinduan menghambat keresahan.


Bak kata si pujangga


“ aku merentasi rumah kekasih sambil ku lihat angin membelai kediamanya. Kerinduan menyelubungiku. Bukan kerana kesejukan angina bahkan kerana keindahan kekasih”


Penyair menggunakan angin sebagai fatamorgana dalam menyampaikan kerinduannya. Maksud yang jelas, betapa hebat kerinduan sehingga hembusan angin dari kediaman kekasih sudah memadai membakar keasyikan dan kecintaan kepadanya, apa pendapat kalian jika kekasih hadir di hadapan, seolah-olah dia akan menggantikan sinaran bulan dalam kegelapan”.

Jawab si murid, “amat sukar bagi diriku menyelami seni cinta dan rindu kerana ia melibatkan antara kekasih dari kekasih.

Benar.jawab guru, ” selanjutnya kita beralih kepada kilauan kilat. Sebagaimana semarak rindu mengalir deras ketika buaian angin, begitu jua perasaan demikian berkecamuk dalam jiwa sebaik sahaja kilat berkilauan Ia bagaikan banjir yang tak dapat di halang lagi. Daku pasti dalam kerisauan andainya ku lihat kilat dari rumah kekasihku.

Lalu si muri bertanya, ”apakah yang tersirat dari kerisauan tersebut guruku?”

“Anakku, sambaran kilat mengundang satu persoalan? Bagaimakah keselamatan kekasihku, setiap detik di hantui kebimbangan adakah kilat menyambar dirinya? Dari jauh hanya ku pohon kilat demikian tidak membunuh. Ini kerana bila dirinya sudah tiada, baki cinta yang ditinggalkan akan membunuhku.

Si murid berkata, “Sangat cantik suasana rindu bila di terjemahkan dalam angin dan kilat. Rindu membakar tatkala hembusan angin dan kerisauan terbit bila kilat berkilau. Ia berlaku dari arah yang sama iaitu idom? seingat kami, guru belum menyentuh perihal idom.

Sungguh sekali anakku. Seperti kazimah, Idom juga merupakan sebuah kawasan di Madinah Al Munawarah. kenapa di sana? seakan-akan kekasih ‘sahabat’nya di madinah.

Siapa gerangan si dia duhai guruku? Si murid bertanya.

Sambil tersenyum guru menjawab, “kalian akan memahami jua nanti.”

Saturday, October 10, 2009

Daku Di Katakan Perindu

Apabila kerinduan tidak bisa di bendung air membasahi tidak ku rasa di kala ku mandi, tarian pena tidak ku tahu penyudahnya, sukar menafsirkan kerana itu daku bukan mufasir. Angin bertiup dari rumah kekasih makin membakar kerinduan, kilat dari kediamannya mengundang persoalan, apakah selamat kecintaanku..betapa benar kalam penyair…


”cinta itu bercampur kelazatan dengan kesakitan"


Bertiup kencamg sanubari untuk melangkah kesana, namun rupanya kediamannya, kawasan larangan, apakan daya ku. Berlari, mana mungkin, khabarnya tidak akan tercapai tangan.


Aku musafir hina kini terluka di taman cinta, dia yang ku kejar terlalu jauh di sana. Sebenarnya bukan dia yang melarikan diri bahkan dia menantiku..tapi aku yang sengaja mencipta jurang. Benarkah penyaksian cintaku?

Font size

Tidak pernah air mata ataupun kesakitan menghadap hakim sebagai saksi kerinduan.


Hanya bicara mengungkap “aku mencintainya” tapi ketiadaan dalil sekaligus mengheret daku di celahan penjara.


Di lubuk kesempitan ini lah, aku mula bermuhasabah, benarkah aku mencintainya…lafaz semata-mata saksi yang fasiq dalam pengadilan. Jika di ukur sudut pengorbanan, nyata sifar markah ku.

Dia insan sebaik-baik makhluk tidak pernah lupakan daku, kalimah UMMATI membasahi bibir beliau..Apakah kesudahan cinta palsu ini?aku hanya di katakan sebagai perindu hakikatnya bukan…jika kalian mencari siapakah paling dusta di dunia, aku isytiharkan…aku lah orangnya…

Kekasih ku, Nabi Muhammad SAW


“Bagai bunga kelembutan dirimu

Kau lah kekasih yang di harapkan syafaat kelak

Jika bukan kerana mu, nesaya alam semesta ini tidak wujud

Maka dirimu permata kebaikan yang tidak bisa di kongsi”

Friday, October 9, 2009

Amirul, Mataku Takkan Bisa Melihat Kamu Lagi


Minta tolong anta bawa kan kitab syarah burdah al bushiri boleh?”.


Itulah rangkap terakhir dari insan yang kini sudah tiada di alam kasar kita, iaitu Ustaz Amirul Aqiqi b Abdullah. Beliau yang berasal dari sarawak telah menemui ajal di kala subuh hari hari Ahad, 4 hb Oktober 2009 di Ribath Pulau Manis. Dilahirkan sebagai penganut kristian, melalui kesukaran hidup yang penuh ranjau akhirnya membawa beliau merantau ke Selangor mencari sesuap rezeki. Tanpa siapa menduga beliau tertarik dengan keindahan Islam sehingga memeluk Islam kemudian menukar namanya dari Mili kepada Amirul. Dari detik ini, bermula lah segala-galanya…..

Bagaikan senipis kulit bawang, begitulah perasaan amirul tatkala memikirkan ilmu agamanya yang sedikit. Kemuncak dari fiikirranya, beliau membulat kan hati bermusafir ke Madrasah Dinyyah al Bakriah atau lebih di kenali Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan Darul Naim. Dalam tempoh demikian, kakinya tidak pernah menjejakkan kaki ke halamannya, Sarawak. Usah bicara tentang kerinduan, kerana ia semestinya membara…akan tetapi ia harus di lawan demi tuntutan ilmu. Mampukah kita?

Daku mengenalinya seorang yang amat pendiam, tidak berbicara melainkan hal yang penting. Selain itu, beliau amat menyangi mursyid beliau, Tokku Ibrahim Muhammad. Tidak hairanlah cita-citanya, ingin berkhidmat kepada mursyid beliau semata-mata.

Dengan berkat kesungguhan beliau, akhirnya beliau menjadi kepala telaah dan sudah mengajar di kelompok kecil di pondok. Bagi sesetengah pelajar, tempoh 6 tahun belum memadai untuk menguasai keilmuan islam..apatahlagi beliau bermula dengan kosong di tambah lagi kedhaifan dalam memahami loghat kelantan.

Dalam proses pencarian ilmu zahir, beliau terasa sesuatu yang kosong di hatinya. Keluhan tersebut membawa beliau mencari guru sufi untuk mentarbiyah jiwanya dengan pancaran kerohanian dan zikir. Ribath pulau manis menjadi saksi perhubungan kasih antara guru dan murid. Ikatan kerohanian beliau dengan mursyid beliau, Tokku seaakan ayah dan anak. Di bawah asuhan tokku, beliau di didik dan di suluk kan dengan adab kesufian baik dai segi zahir dan batin, di samping tenggelam dalam kecintaan Allah dan Rasul. Beliau merupakan harapan menjadi pejuang kesufian.

Jika kalian mahu tahu, tokku berhasrat menghantar amirul menyambung pengajian nya di Yaman. Perbincangan selesai kata sepakat sudah ternoktah. Amirul di jangka akan pergi ke K.Lumpur pada 5hb, untuk menghadiri temuduga. Dalam kealpaan kita merancang, Allah sudah menyusun jalan terbaik untuk hambaNya. Tiada siapa menduga, di pagi subuh nyawa beliau diambil oleh Allah SWT tatkala tidur… sehari sebelum tarikh beliau berangkat…

Amirul yang tidak mengalami apa jua penyakit pergi dengan tenang. Punca kematian hanya diklasifikasikan sebagai ajal. Jasad yang kosong tanpa jiwanya lagi tetap kelihatan seperti manusia bahkan tenang bercahaya. Cemburu daku kenangkan, masakan tidak, jika kalian tahu, pasti kalian rasakan demikian juga. Dia baru sahaja kembali dari suluk pada Ramadhan baru-baru ini. Suluk merupakan latihan zikir berterusan di bawah bimbingan mursyidnya. Kesan suluk masih tampak pada dirinya dan perjalanan barzakh beliau dengan hati yang sudah asyik dengan Allah. Bagi beliau, kematian saat di nantikan, kerana kerinduan kepada kekasih sudah kian memuncak. Tidak mampu di bendung lagi. Jika daku di tarik nyawa, nescaya daku akan cuba melawan, mana tahu tangan daku bisa mengalahkan takdir. Ya Allah, daku tahu itu mustahil…mustahil sama sekali. Daku di cemari ribuan dosa, mana sanggup mata maksiat ini berdepan dengan Mu Ya Allah, tangan noda ini untuk menggapai rahmatMu Ya Ar Rahman..Moga-moga dosaku di ampunkan dengan berkah doa pembaca sekalian.amin..

Secara ringkas dapat ku coretkan buat tatapan pembaca sekalian. Dengan linangan air mata daku berpesan..untuk diri sendiri terutamanya bahawasanya kematian sentiasa mengejar kita, pantas sangat kah langkahan kita untuk larikan diri darinya…ketahuilah kita tidak dapat mengelak. Oleh hal demikian, hanya ada satu pilihan, iaitu bersedia sentiasa berdepan dengannya. Meskipun ia tetamu tidak di undang, namun tetamu sebegini lah akan meniggalkan kesan mendalam.

Daku berdoa moga-moga rohnya di tempatkan bersama orang beriman.amin. Al Fatihah.