RSS

Monday, December 27, 2010

Menafikan 5 Kam pada Sifat Wahdaniyah Allah Taala

[1] Kam Muttasil fi dzat: dzat Allah tersusun dari beberapa bahagian
[2] Kam Munfasil fi dzat: ada Tuhan kedua atau lebih
[3] Kam Muttasil fi sifat: berbilang-bilang sifat –sifat Allah SWT seperti Allah mempunyai dua kudrat
[4] Kam Munfasil fi sifat: selain Allah, ada sesuatu menyerupai sifat-sifat Allah Taala
[5] Kam Munfasil fi af’aal: selain Allah Taala, ada sesuatu mempunyai kekuatan mengadakan sesuatu(ruj Syarhu Tijani Ad Darari Ala Risalah Al Bajuri Fil Tauhid:m/s 11)

[Peringatan] hendaklah kalian menafikan lima kam demikian. Tanpa perbahasan lima kam ini, seseorang tidak akan jelas dalam memahami bagaimana mengesakan Allah Taala. Oleh itu, sifat Wahdaniah(keesaan Allah Taala) membawa makna menafikan lima kam iaitu dua pada dzat, dua kam pada sifat dan satu kam pada af’aal Allah Azza Wa Jalla. Maka tertanya-tanya jika tiada perbuatan melainkan perbuatan Allah Taala, dimanakah perbuatan hamba? Sesungguhnya kesilapan kefahaman mengenai hal ini telah melahirkan banyak golongan sesat lagi menyesatkan.
Ketahuilah kalian, perbuatan hamba merangkumi dua hal keadaan:

[1] Perbuatan idhthiroriah اضطرارية (luar kawalan). Misalnya, kerdipan mata, bulu roma tegak apabila sejuk, bersin dan seumpamanya. Perilaku tersebut automatik berlaku tanpa pilihan kita.
[2] Perbuatan ikhtiyariah اختيارية (dalam kawalan). Misalnya pergi belajar, makan, berkerja dan seumpamanya. Perilaku demikian dalam kawalan pilihan kita contohnya samada mahu makan atau tidak makan.
Para ulamak bersepakat bahawa perbuatan idhthiroriah adalah perbuatan Allah SWT. Perbezaan pendapat dikalangan mereka timbul pada masalah adakah perbuatan ikhtiyariah merupakan perbuatan Allah atau bukan. Maka ada tiga mazhab(puak) berselisih pendapat dalam hal ini iaitu:

[1]Mazhab Jabariah: Bagi seorang hamba tiada apa-apa usaha. Bahkan manusia dalam keadaan terpaksa seperti sehelai bulu yang terapung-apung di udara, di tiup angin kemana jua kehendakNya semata-mata.

[2]Mazhab Qadariah: Hamba itu menjadikan segala perbuatan dirinya yang ikhtiyari dengan kudrat yang dicipta oleh Allah Taala pada dirinya.

[3]Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah: Bahawa hamba tidak menjadikan perbuatan dirinya yang ikhtiyari dan idhthirari. Hamba mempunyai usaha akan tetapi usaha yang tiada memberi kesan. Hamba tidak dalam keadaan terpaksa dan hamba tidak menjadikan perbuatan. Ini adalah mazhab yang benar. Ia merupakan pertengahan antara Jabariah dan Qadariah.

Pada hakikatnya kita sebagai pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah menghimpunkan Jabariah dan Qadariah. Di batin kita Allah semata-mata, di luaran kita berusaha. Dan harus di ingat usaha kita tiada memberi bekas. Ahlul Sunnah boleh diumpamakan sebagaimana Firman Allah SWT:

مِنۢ بَيۡنِ فَرۡثٍ۬ وَدَمٍ۬ لَّبَنًا خَالِصً۬ا سَآٮِٕغً۬ا لِّلشَّـٰرِبِينَ
Mafhumnya: ”Dari antara tahi dan darah terhasil air susu yang suci lagi lazat untuk para peminum”(An Nahl:66)

[Peringatan]
i-Fahaman Qadariah pada hakikatnya adalah sebahagian dari fahaman Muktazilah, kerana Imam-Imamnya terdiri dari orang-orang muktazilah. Akan tetapi fahaman ini dibicarakan dalam suatu fasal tersendiri kerana sepanjang sejarah persoalan Qadariah ini suatu persoalan yang besar juga, yang harus menjadi perhatian. Golongan ini diberi nama tambahan khusus dari namanya Muktazilah, iaitu Qadariah. Jadi kaum ini juga boleh dinamakan kaum Muktazilah Qadariah (
ruj I’tiqaq Ahlussunnah Wal Jamaah m/s 213). Kepercayaan dua puak tersebut dalam hal ini adalah sama, cuma ada perbezaan sedikit antara puak Qadariah dengan sebahagian kaum Muktazilah yang akan disebutkan nanti.

ii-Barangsiapa beriktiqad beriktiqad Qadariah dan Jabariah, hukumnya fasiq maka berdosa.

iii-Perbuatan ikhtiyari terbahagi kepada dua pula. Iaitu perbuatan baik atau jahat. Puak Qadariah mengatakan bahawa perbuatan buruk dan baik adalah perbuatan diri hamba jua manakala sebahagian Puak Muktazilah mengatakan bahawa perbuatan baik dari Allah dan yang buruk dari perbuatan hamba. Kedua-duanya batil. Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpegang baik dan buruk semuanya dari Allah Taala Cuma manusia di tegah menyandarkan perbuatan jahat kepada Allah Taala.

iv- Ketahuilah kalian bahawa kita sebenarnya tiada wujud melainkan di wujudkan, kita tiada sifat melainkan di sifatkan dan kita tiada langsung perbuatan melainkan diperbuatkan. Hakikat yang wujud, yang bersifat dan yang ada perbuatan hanyalah Allah Azza Wa Jalla. Hamba hanya bersifat
لا حول و لا قوة إلا بالله tiada daya dan upaya melainkan dengan(izin) Allah Taala. Selari dengan takrif ilmu Tauhid dari segi syarak itu sendiri:

بِإِفْرَادِ المَعْبُودِ بِالعِبَادَةِ مَعَ اعْتِقَادِ وَحْدَ تِهِ وَ التَصْدِيْقِ بِهَا ذَاتًا وَ صِفَاتٍ وَ أَفْعَالاً
Ertinya: “Dengan mentunggalkan yang disembah(Allah) dengan ibadah bersama iktiqad keesaanNya dan membenarkan keesaanNya pada Dzat, Sifat dan Af’aal”
(ruj Hasyiah Al Bajuri Ala Matni Sanusiah Fil Aqaid:m/s 5)

Guruku, Khadam Tarekah Syathariah, Walid Ibrahim Muhammad Al Syathariy memberi perhatian mendalam dalam hal ini. Sering beliau ujarkan syuhudkan di hati akan wahdaniatul dzat, sifat dan af’aal Allah Taala di hati dengan menghilang diri dalam ingatan kepada Allah SWT. Jalan syuhudiah ini tidak akan di dapati melainkan dalam perjalanan Tazkiyatul Nafs.

Saturday, December 18, 2010

Kenali Al Alim Al Allamah Syeikh Ibrahim Al Bajuri(1198-1127H)

Beliau adalah Al Alim Al Allamah Al Bahrul Fahamah As Syeikh Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad As Syafie[1] Al Bajuri, nisbah kepada Bajur, satu daerah di jajahan Manufah Mesir. Beliau dilahirkan pada Tahun 1198 H.

Beliau membesar dan mempelajari Al Quran di bawah bimbingan ayahnya. Pada tahun 1212 H ketika beliau berumur 14 tahun beliau menuntut ilmu di Al Azhar. Dan tatkala pasukan Perancis menceroboh Mesir Tahun 1213 H, beliau keluar pergi ke Hizah dan bermukim di sana. Setelah Perancis meninggalkan mesir pada Tahun 1216 beliau pun kembali dan menyibukkan diri dengan pelbagai bidang ilmu.

Antara guru beliau ialah:

Syeikh Muhammad Al Amir Al Kabir, Syeikh Abdullah As Syarqawi[2], Syeikh Daud Al Qal’aawi, Syeikh Muhammad Al Fudhali[3], Syeikh Hassan Al Quwaisinni dan banyak lagi. Kesemua gurunya terdiri para ulama’ besar dan terkemuka di zamannya.

Antara kitab karangan Syeikh Ibrahim Al Bajuri seperti berikut:

1. Hasyiah[4] Bajuri “لا إله إلا الله” karangan Syeikh Muhammad Al Fudhali Tahun 1222 H

2. Tahqiqul Maqam ala Kifayatil Awam Fi Ma Yajibu Min Ilmi Kalam karangan Syeikh Muhammad Al Fudhali Tahun 1223 H

3. Fathul Qaribi Mujib, Syarhu Bidayatil Murid karangan Syeikh Suba’i Tahun 1224 H

4. Hasyiah ala Maulidil Imam Ibni Hajar Al Haitami Tahun 1225 H

5. Hasyiah ala Syarhi Sanusi Fi Ilmil Mantiq Tahun 1225 H

6. Hasyiah ala Matni Sullamil Munauraq Fi Ilmil Mantiq karangan Syeikh Allamah Akhdari Tahun 1226 H

7. Hasyiah ala Matni Samarqandiah Fi Ilmil Balaghah (Bab Istiaarah) Tahun 1227 H

8. Fathul Habiril Syarhu Matnil Tarshif karangan Syeikh Abdur Rahman Isa

9. Tahun 1227 H

10. Hasyiah Bajuri ala Ummil Barahin Wa Aqaiq karangan Al Allamah Syeikh Sanusi Tahun 1227 H

11. Hasyiah ala Maulidi Syeikh Ahmad Dardir Tahun 1227 H

12. Fathu Rabbil Bariyyah ala Ad Durratil Bahiwah Nazam al Ajrumiah Tahun 1229 H

13. Al Burdah Liabi Abdillah Muhammad ibn Said al Bushiri Bisyarhi Al Bajuri karangan Imam Busyiri Tahun 1229H

14. Hasyiah ala Banati Su’ad Tahun 1234 H

15. Tuhfatul Murid ala Syarhi Jauharatil Tauhid karangan Syeikh Ibrahim Al Laqqani Tahun 1234 H

16. Manhul Fattah ala Nuril Misbah Fi Ahkamil Nikah Tahun 1234 H

17. At Tuhfatul Kairiyyah alal Fawaa’idid Syansyuuriyyah Fi Maslahatil Waris Tahun 1246H

18. Ad Durarul Hisan ala Fathir Rahman Fi Ma Yahshulu Bihil Islam Wal Iman karangan Al Allamah Zabidi Tahun 1238 H

19. Risalah Syaghirah[5] Fi Ilmi Tauhid Tahun 1238 H

20. Al Mawaahibul Ladunniyah ala Syama’lil Muhammadiah karangan Imam Tirmidzi Tahun 1251H

21. Hasyiah ala Syarhi Ibn Qasim Al Gazzi ala Matni Syeikh Abi Suja’( Fekah Mazhab Syafie). Tahun 1258 H dan merupakan karangan terakhir beliau.

Dan masih ada lagi kitab-kitab karya beliau, akan tetapi tidak sempat beliau noktahkan. Antaranya ialah:

1. Hasyiah ala Jam’il Jawami’, sempat mengarang hingga akhir muqadimah

2. Hasyiah ala Syarhi Sa’di alal Aqa’idil Nasafiah

3. Hasyiah ala Minhaj, sempat mengarang hingga kitab jenazah

4. Hasyiah ala Syarhi Manzumatil Syeikh Al Bukhari Fil Tauhid

Syeikh Ibrahim Al Bajuri seorang ulama yang sentiasa sibuk dengan belajar dan mengajar . lidahnya sentiasa basah membaca Al Quran dan berzikir kepada Allah SWT. Beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar pada Tahun 1263. Bahrul ilmi(lautan ilmu) antara gelaran diberikan kepada beliau. Jika di lihat pada kitab karangannya, beliau mengarang dalam pelbagai bidang ilmu islam.

Di Nusantara, nama Syeikh Ibrahim Al Bajuri tidak asing bagi penuntut atau para santri di Pondok atau Pesantren di Nusantara. Hal ini kerana, kitab beliau seperti Tuhfatul Murid ala Syarhi Jauharatil Tauhid(Tauhid), Hasyiah ala Syarhi Ibn Qasim Al Gazzi ala Matni Syeikh Abi Suja’(Fekah Mazhab Syafie) dan Tahqiqul Maqam ala Kifayatil Awam(Tauhid) amat masyhur digunakan dalam pengajian.



[1] As Syafie merujuk kepada pegangan mazhab beliau iaitu Mazhab Syafie

[2] Pengarang Hasyiah Syarqawi ala Hudhudi yang terkenal itu.

[3] Pengarang kitab Kifayatul Awam. Kitab tersebut telah disyarahkan oleh Syeikh Ibrahim Al Baijuri selaku anak muridnya yang dinamakan Tahqiqul Maqam ala Kifayatul Awam. Kitab Kifayatul Awam merupakan antara kitab penting dalam pengajian pondok dan pesantren di Nusantara.

[4] Hasyiah dari segi bahasa bermakna tepi. Dalam konteks di atas bermaksud Syeikh Ibrahim Al Bajuri telah mensyarahkan(menerangkan maksud) kitab karangan Syeikh Muhammad Al Fudhali rhm

[5] Juga dikenali dengan nama Risalah Bajuri Fil Tauhid. Risalah tersebut telah disyarahkan oleh ulama nusantara terkenal iaitu Al Allamah Syeikh Muhammad Nawawi Al Jawi rhm. Syarah tersebut berjudul Syarhu Tijanil Darariy Fi Risalah Bajuri Fi Tauhid

Sunday, December 12, 2010

Jika Aku Ada

"Jika aku ada
Maka tidak ada Esa
Sabit Esa, diri tiada
Seperti ada hakikatnya tiada
Diriku siapa
Seperti para pembaca
Yakni tiada
Hanya di ada
Siapa yang ada
Hanya Dia
Nafi Kam Munfasil pada DzatNya
Tiada dua melainkan Dia
Hakikatnya memang tiada dua
Kenapa nafi perkara tiada
Cukup sebut “Dia, Dia”
Dia Allah Jalla Wa Azza"

Angah, 12 Dis 2010, Lahad Datu Sabah

Thursday, December 9, 2010

Adab Murid dengan Syeikh(ringkasan dari Kitab Haqaiq An Tasauf)

Adab murid terhadap syeikh terbahagi kepada dua bahagian iaitu adab batin adan adab zahir.

Adab batin

1- Menyerah diri kepada syeikh serta taat terhaap semua suruhannya dan nasihatnya. Selagi tidak bercanggah dengan syariat

2- Tidak membantah guru terhadap cara atau jalan yang di gunakan untuk mentarbiyah muridnya.


Ibnu hajar al haithami berkata:

و من فتح باب الاعترض على المشايخ و النظر في أحوالهم و أفعالهم و البحث عنها فإن ذلك علامة حرمانه و سوء عاقبته , و أن لا ينتج قط , و ثم قالوا : "من قال لشيخه لم ؟ لم يفلح أبدا أي لشيخه في السلوك و التربية

“Sesiapa yang membuka pintu membantah syeikh, mencari keaiban dalam tingkah laku dan perbuatan mereka maka sesungguhnya yang demikian itu merupakan petanda dia di haramkan daripada kebaikan serta buruk kesudahannya. Sesungguhnya dia berkali-kali tidak mendapat manfaat!. Di samping itu mereka juga berkata: Sesiapa berkata kepada syeikhnya kenapa? Dia tidak akan Berjaya selama-lamanya.[1]

Maksudnya ialah berkata kepada guru atau syeikhnya dalam suluk serta tarbiyyah”.[2]

Apa yang dimaksudkan dengan adab di sini ialah adab terhadap murid tarbiyyah yang inginkan kesempurnaan serta sampai kepada Allah Taala. Bagi pelajar yang mengambil ilmu daripada ulama-ulama mereka di galakkan berbincang dan bertanya guru mereka sehingga tercapai faedah ilmu.

Belajar ilmu fiqh, murid yang rajin bertanya “kenapa?”, maka dia akan cepat mengusai ilmu demikian. Namun dalam tarbiyyah, dia tidak akan mendapat manfaat.

3- Tidak beriktiqad gurunya maksum

4- Yakin bahawa gurunya kamil dan mempunyai keahlian yang sempurna dalam mentarbiyyah.

5- Hendaklah bersifat jujur dan ikhlas dalam berhubung dengan guru.

6- Menghormati serta menjaga kehormatan syeikh sama ada dengan kehadiran atau tanpa kehadirannya.

7- Hendaklah dia mengasihi syeikhnya dengan mahabbah yang sejati tanpa memandang rendah kedudukan guru yang lain.

8- Tidak berpaling kepada selain syeikhnya[3]. Perlu di beri perhatian, syeikh yang dimaksudkan di sini ialah guru tarbiyyah bukannya guru mengajar. Seorang penuntut boleh mempunyai ustaz yang ramai. Begitu juga seorang murid boleh mempunyai beberapa orang ustaz dalam satu-satu bidang ilmu. Ini adalah kerana hubungan rapat di anatara murid dengan ustaz adalah ilmu manakala hubungan murid dengan syeikh adalah tarbiyyah adalah hubungan rohani dan tarbiyyah.

Adab zahir

1- Mentaati arahan syeikh sama ada berupa suruhan ataupaun tegahan

2- Menjaga tingkah laku ketika majlis syeikh

3- Sedia berkhimat kepada mereka sekadar termampu

4- Sentiasa menghadiri majlisnya. Hendaklah menziarahi syeikh setakat termampu jika dipisah oleh jarak yang jauh

5- Sabar dengan pendirian gurunya dalam mentarbiyyah


Ibnu hajar al haithami berkata:


كثرمن النفوس التي يراد لها عدم

التوفيق أذا رأت من أستاذ شدة في التربية تنفر عنه , وترميه بالقبائح و النقائص مما هو عنه بريء . فليحذر الموفق من ذلك, لأن النفس لا تريد إلا هلاك صاحبها, فلا يطعها في الإعراض

عن شيخه


“banyak jiwa yang tidak mendapat taufik dan hidayah kerana apabila melihat gurunya tegas dalam mentarbiyah, dia lari daripadanya. Selepas itu dia melontar pelbagai keburukan dan kekurangan guru tersebut sedangkan guru tersebut tidak seperti yang dia katakan. Oleh hal demikian, jauhkan diri dari terpedaya dengan tohmahan tersebut kerana nafsu memang ingin membinasakan tuannya. Janganlah mentaati nafsu untuk tidak mentaati guru”[4]

6- Tidak memindahkan kalam syeikh kepada orang lain kecuali mengikut kadar kefahaman serta akal si pendengar. Ini bertujuan supaya diri murid dan syeikhnya tidak di salah anggap[5].



[1] Fatawa Al Haditsah m/s 55, Imam Ibnu Hajar al Haithami

[2] ibid

[3] Ini bertujuan agar hatinya tidakberbolak balik di antara dua guru. Murid sedemikian umpama pesakit yang mengubati penaykitnya dengan dua orang doctor pada satu masa lalu akan berlaku pada dirinya, keadaan tidak tentu arah dan ragu-ragu.

[4] Fatawa Al Haditsah m/s 55

[5] Sayyiduna Ali KWJ berkata:

حدثوا الناس بما يعرفون,

أتحبون أن يكذب الله و رسوله؟

“Bercakaplah kamu dengan manusia terhadap perkara yang mereka ketahui. Adakh kamu suka bahawa allah dan Rasulnya di dustakan?”

Dikeluarkan oleh Imam Al Bukhari dalam sahih beliau dalam kitabul ilmi