RSS

Monday, December 27, 2010

Menafikan 5 Kam pada Sifat Wahdaniyah Allah Taala

[1] Kam Muttasil fi dzat: dzat Allah tersusun dari beberapa bahagian
[2] Kam Munfasil fi dzat: ada Tuhan kedua atau lebih
[3] Kam Muttasil fi sifat: berbilang-bilang sifat –sifat Allah SWT seperti Allah mempunyai dua kudrat
[4] Kam Munfasil fi sifat: selain Allah, ada sesuatu menyerupai sifat-sifat Allah Taala
[5] Kam Munfasil fi af’aal: selain Allah Taala, ada sesuatu mempunyai kekuatan mengadakan sesuatu(ruj Syarhu Tijani Ad Darari Ala Risalah Al Bajuri Fil Tauhid:m/s 11)

[Peringatan] hendaklah kalian menafikan lima kam demikian. Tanpa perbahasan lima kam ini, seseorang tidak akan jelas dalam memahami bagaimana mengesakan Allah Taala. Oleh itu, sifat Wahdaniah(keesaan Allah Taala) membawa makna menafikan lima kam iaitu dua pada dzat, dua kam pada sifat dan satu kam pada af’aal Allah Azza Wa Jalla. Maka tertanya-tanya jika tiada perbuatan melainkan perbuatan Allah Taala, dimanakah perbuatan hamba? Sesungguhnya kesilapan kefahaman mengenai hal ini telah melahirkan banyak golongan sesat lagi menyesatkan.
Ketahuilah kalian, perbuatan hamba merangkumi dua hal keadaan:

[1] Perbuatan idhthiroriah اضطرارية (luar kawalan). Misalnya, kerdipan mata, bulu roma tegak apabila sejuk, bersin dan seumpamanya. Perilaku tersebut automatik berlaku tanpa pilihan kita.
[2] Perbuatan ikhtiyariah اختيارية (dalam kawalan). Misalnya pergi belajar, makan, berkerja dan seumpamanya. Perilaku demikian dalam kawalan pilihan kita contohnya samada mahu makan atau tidak makan.
Para ulamak bersepakat bahawa perbuatan idhthiroriah adalah perbuatan Allah SWT. Perbezaan pendapat dikalangan mereka timbul pada masalah adakah perbuatan ikhtiyariah merupakan perbuatan Allah atau bukan. Maka ada tiga mazhab(puak) berselisih pendapat dalam hal ini iaitu:

[1]Mazhab Jabariah: Bagi seorang hamba tiada apa-apa usaha. Bahkan manusia dalam keadaan terpaksa seperti sehelai bulu yang terapung-apung di udara, di tiup angin kemana jua kehendakNya semata-mata.

[2]Mazhab Qadariah: Hamba itu menjadikan segala perbuatan dirinya yang ikhtiyari dengan kudrat yang dicipta oleh Allah Taala pada dirinya.

[3]Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah: Bahawa hamba tidak menjadikan perbuatan dirinya yang ikhtiyari dan idhthirari. Hamba mempunyai usaha akan tetapi usaha yang tiada memberi kesan. Hamba tidak dalam keadaan terpaksa dan hamba tidak menjadikan perbuatan. Ini adalah mazhab yang benar. Ia merupakan pertengahan antara Jabariah dan Qadariah.

Pada hakikatnya kita sebagai pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah menghimpunkan Jabariah dan Qadariah. Di batin kita Allah semata-mata, di luaran kita berusaha. Dan harus di ingat usaha kita tiada memberi bekas. Ahlul Sunnah boleh diumpamakan sebagaimana Firman Allah SWT:

مِنۢ بَيۡنِ فَرۡثٍ۬ وَدَمٍ۬ لَّبَنًا خَالِصً۬ا سَآٮِٕغً۬ا لِّلشَّـٰرِبِينَ
Mafhumnya: ”Dari antara tahi dan darah terhasil air susu yang suci lagi lazat untuk para peminum”(An Nahl:66)

[Peringatan]
i-Fahaman Qadariah pada hakikatnya adalah sebahagian dari fahaman Muktazilah, kerana Imam-Imamnya terdiri dari orang-orang muktazilah. Akan tetapi fahaman ini dibicarakan dalam suatu fasal tersendiri kerana sepanjang sejarah persoalan Qadariah ini suatu persoalan yang besar juga, yang harus menjadi perhatian. Golongan ini diberi nama tambahan khusus dari namanya Muktazilah, iaitu Qadariah. Jadi kaum ini juga boleh dinamakan kaum Muktazilah Qadariah (
ruj I’tiqaq Ahlussunnah Wal Jamaah m/s 213). Kepercayaan dua puak tersebut dalam hal ini adalah sama, cuma ada perbezaan sedikit antara puak Qadariah dengan sebahagian kaum Muktazilah yang akan disebutkan nanti.

ii-Barangsiapa beriktiqad beriktiqad Qadariah dan Jabariah, hukumnya fasiq maka berdosa.

iii-Perbuatan ikhtiyari terbahagi kepada dua pula. Iaitu perbuatan baik atau jahat. Puak Qadariah mengatakan bahawa perbuatan buruk dan baik adalah perbuatan diri hamba jua manakala sebahagian Puak Muktazilah mengatakan bahawa perbuatan baik dari Allah dan yang buruk dari perbuatan hamba. Kedua-duanya batil. Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpegang baik dan buruk semuanya dari Allah Taala Cuma manusia di tegah menyandarkan perbuatan jahat kepada Allah Taala.

iv- Ketahuilah kalian bahawa kita sebenarnya tiada wujud melainkan di wujudkan, kita tiada sifat melainkan di sifatkan dan kita tiada langsung perbuatan melainkan diperbuatkan. Hakikat yang wujud, yang bersifat dan yang ada perbuatan hanyalah Allah Azza Wa Jalla. Hamba hanya bersifat
لا حول و لا قوة إلا بالله tiada daya dan upaya melainkan dengan(izin) Allah Taala. Selari dengan takrif ilmu Tauhid dari segi syarak itu sendiri:

بِإِفْرَادِ المَعْبُودِ بِالعِبَادَةِ مَعَ اعْتِقَادِ وَحْدَ تِهِ وَ التَصْدِيْقِ بِهَا ذَاتًا وَ صِفَاتٍ وَ أَفْعَالاً
Ertinya: “Dengan mentunggalkan yang disembah(Allah) dengan ibadah bersama iktiqad keesaanNya dan membenarkan keesaanNya pada Dzat, Sifat dan Af’aal”
(ruj Hasyiah Al Bajuri Ala Matni Sanusiah Fil Aqaid:m/s 5)

Guruku, Khadam Tarekah Syathariah, Walid Ibrahim Muhammad Al Syathariy memberi perhatian mendalam dalam hal ini. Sering beliau ujarkan syuhudkan di hati akan wahdaniatul dzat, sifat dan af’aal Allah Taala di hati dengan menghilang diri dalam ingatan kepada Allah SWT. Jalan syuhudiah ini tidak akan di dapati melainkan dalam perjalanan Tazkiyatul Nafs.

No comments:

Post a Comment