RSS

Friday, October 22, 2010

Menjaga Syariat

Wahai sahabatku,

Ketahuilah Syariat ialah asas, tarekah ialah wasilah. Kedua-duanya saling menyempurnakan untuk menggapai hakikat. Perjalanan ilmu hakikat tanpa di dasari ilmu syariat adalah batil. Perjalanan tarekah menghalusi penyakit-penyakit batin yang kadang-kandang kita sendiri tidak sedari. Bagaimana mungkin penyakit-penyakit batin dapat di ubati jika perkara-perkara zahir iaitu syariat pun terlepas pandang. Syariat dan hakikat, kedua-duanya ilmu dari Nabi Muhammad SAW. Barangsiapa mengambil hakikat tanpa mempedulikan syariat, tegas sekali mereka tidak mengikuti perjalanan baginda SAW. Dan sesungguhnya, tanpa mengikuti Baginda SAW, pintu hakikat dan makrifah tidak akan sesekali terbuka.

Kaedah sufi yang masyhur:

Setiap hakikat yang menyalahi syariat adalah zindiq.[1]

Bagaimana mungkin hakikat boleh menyalahi syariat sedangkan ia adalah hasil pelaksanaan syariat sendiri.

Ketahuilah sahabatku,

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling asyik tenggelam dalam lautan ilmu hakikat dan makrifah. Meskipun demikian, Baginda SAW juga orang yang paling menjaga syariat jauh meninggalkan umatnya.

Jika di tanya siapakah paling memahami makrifah, Baginda SAW. Siapakah paling mendalami hakikat? Baginda SAW. Siapakah paling menyelusuri perjalanan tarekah? Baginda SAW. Dan siapakah paling menjaga syariat? Baginda SAW bahkan Baginda SAW lah yang membawa syariat ke seluruh alam. Terus perjalanan Nabi SAW di jejaki para sahabat Baginda SAW. Oleh itu, siapakah kita untuk menidakkan syariat, siapakah kita untuk mengatakan, bila berhakikat syariat sudah tidak perlu, siapakah kita?

Malu lah kalian kepada Allah SWT, aib sungguh kalian di sisi Nabi SAW. Orang yang berkata demkian hanyalah orang yang perasan. Mereka menganggap mereka sudah dekat dengan Allah SWT serta mencapai maqamat tertentu, akan tetapi sebenarnya sangat hina di pandangan Allah SWT.

Syeikh Abdul Wahab Asy Sya’rani berkata:

“Jalan kaum sufi terpahat pada Al Quran dan As Sunnah seperti terpahatnya emas dan permata. Maka si salik berhajat kepada syariat dan hakikat pada setiap harakah(pergerakan) dan sukun(diam).”[2]

Imam Malik rhm berkata:

“Barangsiapa bertasauf tetapi tidak bertafaqquh(bersyariat),sesungguhnya dia adalah zindiq. Barangsiapa yang bertafaqquh tetapi tidak bertasauf sesungguhnya dia fasiq dan barangsiapa menggabungkan kedua-duanya, sesungguhnya dia memperolehi kebenaran sejati”.[3]

Situasi pertama

Hebat berzikir. Dengar khabar, sehingga terbang ke udara. Dua, tiga jam berzikir perkara biasa. Akan tetapi di cemari dengan kisah penyakit perasan. “ syariat hanya kulit, hakikat ialah buah, sudah dapat buah, untuk apa berhajat kepada kulit lagi?”. Zikir hebat, tapi tak solat. Ada yang terus meninggalkan ibadah zahir. Kisah mereka sungguh menyayat hati. Di kenang mujahadah mereka, dasyat, tak terdaya kita melihat, jauh sekali nak ikut beramal. Namun sayang, tiada nilai di sisi Allah SWT. Mereka terang-terang meninggalkan syariat muhammadiah, untuk terus kepada Allah Azza Wa Jalla. Hasilnya kepenatan dan mabuk dalam dunia sangkaan-sangkaan. Seorang kiyai dari Indonesia bercerita kepada saya, kisah perdebatan beliau berhadapan seorang sahabat yang berhakikat tetapi mengabaikan syariat. Cukup satu hujah, sahabat beliau terus terdiam.

Kiyai bertanya.” Adakah kamu ‘bersama’ dengan isteri kamu?”. Sahabatnya menjawab.” Sudah tentu”.

Kiyai membidas.” Jika benar perkataan kamu, syariat tidak perlu, hentikan ‘bersama’ isteri kerana sesungguhnya ia juga adalah perkara yang di syariatkan. Bukankah kamu sudah mencapai hakikat dan fahaman kamu, bila sudah berhakikat, tidak lagi perlu pada syariat?”.

Situasi kedua

Kebanyakan orang hari ini sekadar mempelajari perkara membatalkan ibadah dari aspek zahir sahaja. Lalu Mereka beribadah. Dalam tempoh tersebut, kerancakan irama riya’[4] dan takkabur serta ujub’[5] bergema di kotak hati. Sangkaan mereka, gema tersebut sekadar muzik sentimental. Di biarkan berterusan, muzik sentimental bertukar menjadi ngauman ganas. Semakin beribadah, semakin jauh dari Allah SWT. Baru bermula beribadah, tersenyum dengan ujub. Ketika beribadah, datang riya’ dan selesai sahaj ibadah, asyik dengan takkabur. Kesemua sifat tadi adalah sifat tercela, yang menyekat ibadah kita sampai ke hadrat Allah SWT. Jadi lah dia manusia fasiq sebagaimana perkataan Imam Malik r.a

Imam para sufi, Iman Junaid Al Baghdadi:

“Mazhab kami ini terikat dengan usul Al Quran dan As Sunnah”.[6]

Sesungguhnya barangsiapa yang bertarekah, adalah penting dia memastikan perjalanan tarekah yang di tempuhinya menepati disiplin ilmu Al Quran dan As Sunnah berdasarkan garapan yang telah di susun oleh para alim ulamak.


[1] Ruj Haqaiq An Tasauf

[2] Lathaiful Minan Wal Akhlaq, Syeikh Abd Wahab Asy Sya’rani Jilid 1 m/s 2

[3] Syarah Ainul ilmi Wa zainul hilmi-karangan Mula Ali Al Qadri Jilid 1 m/s 33

[4] Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:

“ Makhluk-makhluk Allah yang pertama-tama di bakar di dalam api neraka ialah tiga. Pertama: seorang yang membaca Al Quran, agar di kenal orang sebagai pandai membaca. Kedua: orang yang mati syahid, tetapi ia berperang untuk di sebut orang bahawa ia seorang pejuang yang berani. Ketiga: seorang hartawan yang bersedekah untuk di sebut orang bahawa dia lah seorang yang pemurah.”

Riya adalah satu sifat yang menuntut pujian orang atau mengharapkan kedudukan di hati manusia ketika membuat amal yang di tujukan kepada Allah Taala seperti sembahyang dan puasa. Jika kita merasakan bahawa dalam diri kita ada sifa riya’, maka janganlah kita meninggalkan amal pula dengan niat hendak melepaskan diri dari sifat riya’. Jika kita berlaku serupa itu, beerti kita telah menurutkan kehendak syaitan. Akan tetapi hendaklah kita perhatikan terlebih dahulu kalau amal yang kita lakukan itu tidak boleh tidak, mesti di lihat oleh orang ramai, umpama fardhu haji, jihad, menuntut ilmu, sembahyang berjemaah dan lain seumpamanya, maka hendaklah kita mengerjakan secara terang terangan sebagaimana di perintahkan Allah. Dalam pada itu hendaklah kita lawan diri kita dari dicampuri riya’ dalam amalan itu dan mohonlah bantuan Allah dalam melawan hawa nafsu itu. Adapun amalan-amalan yang boleh di elakkan pekerjaannya secara terang terangan seperti puasa, sembahyang tengah malam, sedekah, membaca Al quran dan sebagainya hendaklah kita lakukan amalan-amalan ini secara senyap. Sebab mengamalkannya secara rahsia adalah lebih utama secara mutlak kecuali jika pelakunya boleh terselamat dari sifat riya’, ataupun ia mengharapkan orang ramai menurut jejak langkahnya sedang dia memang pemimpin untuk di ikut.

[5] Sabda Rasulullah SAW:

“Ujub akan menghapuskan kebajikan, sebagaimana api memakan kayu bakar.

Ujub atau membangga diri ilah seorang itu memandang diirnya besar atau tinggi serta menganggap segala apa yang dia buat betul dan baik. Akibat dari kebanggaan diri inilah timbul perasaan suka mengaku diri bijak dan pandai, merasa diri lebih tinggi dari orang lain.

[6] At Thabaqat As Sufiyah-As Sulami m/s 159

1 comment: