RSS

Sunday, November 28, 2010

Adab kepada Nabi SAW

1-Mentaati segala ajaran Baginda SAW meliputi hal keduniaan dan juga akhirat.

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَ‌ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ عَلَيۡهِمۡ حَفِيظً۬ا 

“Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)”. (Al Nisa’:80)

Tidak dikatakan seseorang itu taat kepada Allah andai ingkar akan kekasihNya, Baginda SAW. Tanpa kehadiran Baginda SAW, manusia tidak akan mengenal apa yang di katakan ketaatan kepada Tuhan iaitu Allah Azza Wa Jalla.



2- Mencintai baginda SAW melebihi cinta makhluk

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Al Imran:31)

Cinta kita kepada Baginda SAW bukan seperti mencintai kekasih tercinta bahkan sepatutnya melebihi kekasih dan apa jua kecintaan dan kesetiaan di jiwa kita. Cinta kepada makhluk hanya membawa senyuman di alam fana’, akan tetapi cinta kepada baginda menyerikan kuntuman senyuman jiwa raga hingga ke syurga.

3-Mengagungkan dan memuliakan nama Baginda SAW ketika menyebut nama baginda.



إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا (٨) لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Sungguh, Kami mengutuskan engkau(Muhammad) sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi ingatan agar kamu semua beriman kepada Allah dan RasulNya, membesarkannya, memuliakannya dan bertasbih kepadaNya pagi dan petang.”(Al Fath:8-9)

Awas, jangan sesekali kita menghina Baginda SAW meskipun dalam gurauan atau dalam ketawa. Allah amat murka bila kekasihNya di rendahkan. Jangan juga kita menyangka, penghinaan atas susuk tubuh baginda SAW sahaja. Ketahuilah, menghina sunnah dan ajaran bawaaannya juga satu penghinaan kepada Baginda SAW. Dan fenomena ini acap kali berlaku dalam masyarakat kita. Justeru itu, kita di wajibkan memuliakan Baginda SAW, sunnahnya dan segala ajaran Nabi kita yang tercinta SAW.

4-Membenarkan segala perkhabaran baginda SAW merangkumi hal dunia, akhirat dan perkara ghaib.

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

“dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang ditegah oleh Rasulullah SAW akan kamu, hendaklah kamu cegah dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”. (Al Hasyr:7)

hendaklah kita membenarkan segala perkhabran baginda SAW dalam setiap aspek kehidupan dunia dan akhirat serta alam ghaib. Sesungguhnya tiada nabi bercakap perkara dusta dan sia-sia. Ketahuilah setiap tutur kata Nabi SAW adalah wahyu bukan perkataan seperti kita. Rasulullah hanya bercakap apa yang di kehendaki oleh Allah cuma.

5-Menghidupkan sunnahnya dan bangga mengzahirkan syariat sambil menyampaikan dakwah Baginda SAW.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو،قَالَ:قَالَ رَسُولُ اللهِ : بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً،

Dari Abudullah Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:”sampaikan dariku meskipun satu ayat”

Sebagai ummatnya, sayugia kita menghidupkan sunnahnya. Lafaz-lafaz cinta kepada kekasih palsu andai tidak mahu meniru perlakuan kekasih meskipun sedikit. Tidak boleh buat semua jangan tinggalkan kesemua sunnahnya. Dalam pengamalan sunnahnya, mestilah hati ini di junjung perasaan bangga mengzahirkan syariat. Sebagai orang yang sempat menerima titisan ilmu dan dakwah, hendaklah mereka menyampaikan dakwah kepada manusia sejagat.



6- Merendahkan suara di kuburan dan masjid Baginda SAW

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصۡوَٲتَهُمۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱمۡتَحَنَ ٱللَّهُ قُلُوبَہُمۡ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۚ لَهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ وَأَجۡرٌ عَظِيمٌ 

“Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah SAW, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar”. (Al Hujurat:3)

Hendaklah kita merendahkan suara kita di kuburan dan masjid Baginda SAW iaitu masjid Nabawi di Madinah Al Munawarrah. Kita juga di anjurkan merendahkan suara atau lebih baik diam ketika berada dalam majlis bacaan hadis-hadis dan cerita sirah Baginda SAW.



7- Memperbanyakkan selawat kepada Baginda SAW

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا 

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al Ahzab:56)

Hendaklah kita berselawat kepada Kekasih kita SAW dengan penuh perasaan rindu dan cinta. Jangan hanya lidah berselawat tapi hati kosong, ia tidak ubah bagaikan burung kak tua. Perasaan rindu ingin berjumpa dengannya mesti ada. Kerana itulah cinta. Adakah ada kekasih yang tidak mahu bersua dengan kekasih? Ketahuilah sahabat, kita tidak layak mengaku kita ummatnya jika tidak pernah bercita-cita bermimpi berjumpa dengan Baginda SAW.



8- Menjadikan Baginda SAW sebagai ikutan dalam kehidupan

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Al Ahzab:21)

Berhati-hati lah dengan propanganda media barat. Mereka sedaya upaya cuba menghilang Rasulullah SAW dari tabir fikiran dan generasi muda-mudi umat Islam. Musuh islam, apabila subur kecintaan kepada Baginda SAW, maka para pecinta Nabi SAW akan sedaya upaya mengikuti jejak langkah baginda mendaulatkan syahadah dan mengamalkan syariat seruan kekasihnya. Berkembangnya syahadah bagaikan api membara bagi pandangan mata musuh islam. Mereka akan hapuskan. Dengan cara apa? Dengan menjauhkannsejauh-jauhnya umat islam dari kekasih mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.



9- Mencintai para salihin dan para pengikutnya kerana mereka mencintai Nabi Muhammad SAW serta memusuhi golongan fasiq kerana membenci Nabi Muhammad SAW.

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٲكِعُونَ 

“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)”. (55)

Sayugianya kita mencintai para salihin dan para pengikutnya kerana mereka adalah golongan mencintai dan di cintai Nabi Muhammad SAW. Peranan mereka dalam dakwah dan tarbiyah dalam mengembangkan risalah Baginda SAW seolah-olah penerus watak Nabi dalam mentarbiyah dan mengajar.

Sabda Baginda SAW:

إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian yang banyak.”

(Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud.)

Kita tiada upaya berbuat demikian, oleh itu, kita seharusnya menanamkan cinta kepada mereka jua. Kerana apa? kerana mereka mencintai baginda SAW dan telah membuktikan kesaksian cinta dengan perjuangan dakwah mereka. Kita hanya pengungkap cinta, tiada pembuktian atau lebih teruk langsung tidak pernah ungkapkan lafaz cinta kepada Baginda SAW. Kita tidak boleh sesekali suka kepada golongan fasiq bahkan di anjurkan membenci mereka kerana mereka membenci Nabi Muhammad SAW. Alangkah sedihnya, tokoh-tokoh pujaan muda-mudi Islam sekarang ialah artis-artis barat dan pemimpin barat. umumnya diketahui mereka bukan islam dan memusuhi baginda SAW.

Dari Abu hurairah, Baginda SAW bersabda:

فَوَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ

Tidak beriman seseorang sehingga aku terlebih dicintai dari ibu bapa dan anaknya”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

- صحيح البخارى- المكنز - (3461) وصحيح ابن حبان - (14 / 149) (6256)

قَالَ أَبُو حَاتِمٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَوْلُهُ : بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً أَمْرٌ قَصَدَ بِهِ الصَّحَابَةَ ، وَيَدْخُلُ فِي جُمْلَةِ هَذَا الْخَطَّابِ مَنْ كَانَ بِوَصْفِهِمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ فِي تَبْلِيغِ مَنْ بَعْدَهُمْ عَنْهُ ، وَهُوَ فَرْضٌ عَلَى الْكِفَايَةِ إِذَا قَامَ الْبَعْضُ بِتَبْلِيغِهِ سَقَطَ عَنِ الآخَرِينَ فَرْضُهُ ، وَإِنَّمَا يَلْزَمُ فَرْضِيَّتَهُ مَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُ مَا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَيْسَ عِنْدَ غَيْرِهِ ، وَأَنَّهُ مَتَى امْتَنَعَ عَنْ بَثِّهِ ، خَانَ الْمُسْلِمِينَ ، فَحِينَئِذٍ يَلْزَمُهُ فَرْضُهُ.

Monday, November 22, 2010

Adab Kepada Allah SWT

Sahabat...

Menjaga adab kepada Allah SWT merupakan perjalanan para nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Kehalusan adab denganNya suatu manifestasi cinta seorang hamba kepada Khaliq. Ibadah dan kehidupan kosong jika tiada adab mengiring ibadah dan denyutan kehidupan kita. Maka, jadi lah kita hamba mengerjakan ketaatan, namun penat lelah kita tiada dalam pandanganNya. Sebenarnya jika hati mereka bersih, kecantikan adab akan teserlah pada akhlak mereka. Usah kita menutur ungkapan cinta pada Yang Maha Esa jika tiada adab kepadaNya. Bak kata pujangga


“Cinta itu sendiri mengajar pencinta bagaimana untuk beradab”


Sesungguhnya sebahagian Adab seorang hamba kepada Allah Azza Wa Jalla merangkumi perkara berikut:

1-Ikhlas


فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا

Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Al Kahfi :110)

Janganlah sesekali kita beribadah kerana selain Allah SWT. Sering di hadapan manusia, kita mula beribadah dengan harapan ibadah tersebut di lihat manusia. Jelas, hati kita masih mendambakan pujian dan perhatian makhluk. Ini lah di katakan beribadah kerana manusia sedangkan pada lafaz niat beribadah semata-mata kerana Allah SWT. Kita telah mempersekutukan Allah dalam ibadah tanpa kita sedari. Allah SWT juga berfirman:

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya", (Al Bayyinat:5)

2-Tidak mengsyirikkan Allah SWT


وَلَوۡ أَشۡرَكُواْ لَحَبِطَ عَنۡهُم مَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ 

kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik). (Al-An’am:88)

berdasarkan ayat tersebut. Orang yang beramal amalan-amalan baik masih boleh berlaku syirik dalam ibadah mereka. Jangan di fikir, syirik hanya menyembah berhala atau menduakan Allah dengan sembahan lain. Syirik dalam hati kita bagaimana[1]? Ini yang manusia terlepas pandang.


3-Syukur


وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ 

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Ibrahim:7)

Hendaklah kita bersyukur atas segala nikmat kurniaanNya terhadap kita. Cara untuk bersyukur ialah kita menghargai dan menggunakan nikmat yang di beri ke jalan yang benar. Biar kita ambil contoh, harta melimpah seharusnya di gunakan untuk jalan Allah bukan ke arah kemaksiatan. Sesungguhnya nikmat Iman dan Islam yang di kurniakan wajib kita pertahankan dan suburkan dengan zikir dan mujahadah.

4-Mengagungkan syariat Allah


ذَٲلِكَ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَـٰٓٮِٕرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ 

Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin. (Al Haj:32)

Hendaklah kita mengagungkan dan memuliakan syariat Allah SWT. Syariat Allah adalah yang terbaik. Sesungguhnya Allah menciptakan kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Dia menjadikan masyarakat, dan Dia telah menyusun perundangan sebagaimana termaktub dalam Quran dan As Sunnah. Justeru itu, adakah wajar undang-undang kafir di nobatkan sebagai perlembagaan di Negara yang mana para pemimpin mengucapkan syahadah.

5-Tidak berdusta atas nama Allah


وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُڪُمُ ٱلۡكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌ۬ وَهَـٰذَا حَرَامٌ۬ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ 

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (An Nahl:116)

Dalam membenarkan hujah-hujah palsu. Sesetengah mereka sanggup menodai lidah mereka dengan mendustakan Allah. mereka tiada takut menuturkan “Ini Allah yang berkata”, “Ia Ungkapan Yang Maha Esa” sedangkan Allah tidak pernah berfirman Hal demikian. Berhati-hati lah jika kalian berhadapan dengan golongan seperti ini.

6-Muraqabah


وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ 

sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat[2] kepadanya daripada urat lehernya, (Qaf:16)

Hati kita hendaklah sentiasa muraqabah iaitu merasai kehampiran dengan Allah SWT dalam setiap hal pekerjaan kita. Dia tidak jauh, oleh itu tiada sebab untuk kita kita merasai. Malangnya hati kita tertutup untuk menyingkap tabir ketuhanan. Maka berlalu lah kehidupan kita dalam hal leka bahkan sanggup berbuat maksiat. Betapa tidak malunya kita kepada Allah Azza Wa Jalla.

7-Takut dan berharap[3]


وَيَرۡجُونَ رَحۡمَتَهُ ۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحۡذُورً۬ا

Serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya, sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. (Al Isra’:57)

Sebaik sahaja mendengar ceramah perihal azabNya atau keadaan kacau bilau di padang masyhar kelak, tiada lain melainkan semata-mata gentar dan takut amat sangat. Rasanya tidak mampu kita berhadapan azabnya. Pada masa yang sama kita juga di hidangkan, berapa banyak amalan-amalan baik tertolak lantaran di cemari penyakit mazmumah. Kita takut akan azabNya pada masa yang sama kita juga tidak mampu menjadi sebaik-baik orang beriman. Maka sebagai hamba, kita mesti berharap akan rahmat Allah dengan sepenuh harapan agar Allah SWT menerima ibadah kita. Kita jua berharap Allah menerima taubat dan lantas menyelamtkan kita dari azab-azabNya.

8-Bertaubat

وَلَوۡ أَنَّهُمۡ إِذ ظَّلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ جَآءُوكَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ ٱللَّهَ وَٱسۡتَغۡفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّابً۬ا رَّحِيمً۬ا 

dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (An Nisa’:64)

Kita sebagai hamba yang dhaif, tidak lepas dari melakukan kesilapan. Yakin akan sifat Keampunan dan kasih sayangNya. Bagaikan bukit, betapa besar dosa yang telah dilakukan, namun pintu keampunan Allah lagi besar jauh dari jangkaan akal kita. Ayuh, mulakan hari kita dengan sentiasa perbaharui taubat kepada Allah SWT.

9-Berdoa


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ 

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al Baqarah:186)

Ketahuilah sahabat, sesungguhya doa merupakan dalil jelas sejauh mana hubungan seoarang hamba dengan penciptanya. Dalam seharian kita menempuh samudera kehidupan, langsung tidak pernah berdoa kepadaNya. Ia menunjukan hati kita sombong dan ego tidak mahu meminta pertolongan dari Allah. Para nabi, sahabat dan orang soleh menghabiskan satu pertiga malam mereka bermunajat dan berdoa kepada Allah. Tiada harapan lain melainkan hanya mengadu seribu macam permasalahan umat terhadap Allah SWT. Kerana Hanya Dia Maha Berkuasa. Siapakah kita untuk membelakangkan Allah dalam kehidupan kita?

10-Faqir

.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ

wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.(Fatir:15)

Tiada perasaan lain sepatutnya memenuhi ruang hati kita melainkan merasai kefakiran di sisi Allah SWT.


11-Cinta

يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ

...Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah( Al Maidah:54)

Betapa asyik manusia dalam melayari cinta dengan sang kekasih. Pengorbanan atas nama cinta mula di falsafahkan. Allah mengurniakan perasaan dan kehebatan cinta kepada manusia supaya manusia memahami bagaimana simbolik sekiranya cinta bertapak dalam sanubari manusia. Kerana Cinta, manusia sanggup berbuat apa saja. Itu baru cinta sesama makhluk. Apatahlagi jika cinta kepada Yang Kekal, iaitu Allah SWT. Lihat para Nabi, sahabat serta ulamak. Mereka sedia berkorban jiwa dan raga untuk menegakkan syiar kekasih mereka, Allah Azza Wa Jalla. Akal kita takkan mampu memahami pengorbanan mereka. Apakah sebabnya? Kerana hati kita hanya ada cinta dunia, tiada cinta akan Allah SWT. Sesungguhnya belum terlambat untuk memupuk kecintaan kepada Maha Pencinta.



[1] Ia di panggil syirik khafi iaitu syirik yang halus sepertii riya', takkabur, ujub dan sama hal dengannya

[2] Sesungguhnya Dia lebih dekat kepada hambaNya dari urat lehernya sendiri. KedekatanNya tidak sama dengan kedekatan anggota tubuh. Maha suci Allah dari anggapan bahawa Dia di lingkungi oleh tempat, sebagaimana Maha Suci Allah Taala di batasi oleh zaman.

[3] Biasa juga di sebut Khauf dan Raja’

Saturday, November 13, 2010

Di sebalik Surah Al Ikhlas


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (٤)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (4)

Surah Al Ikhlas


Mengapa surah ini dimulakan dengan lafaz
قل ?

Jawapan:

1-Menzahirkan kepentingan perkara yang hendak disampaikan.

2-Perintah menjawab soalan yang diajukan oleh kafir iaitu: Nyatakan kepada kami sifat tuhan kamu kepada kami?

3-Mengagungkan Rasulullah saw, kerana setiap kali Allah menyatakan Qul, seolah-olah pengiktirafan perlantikan makam kerasulan.

Mengapa dimulakan dengan kata ganti diri
هو ?

1-Damir dinamakan
ضمير الشأن (Kata ganti diri bagi sesuatu keadaan tertentu) Damir biasanya digunakan bagi sesuatu keadaan yang agung iaitu kenyataan الله أحد .

2-Perincian setelah kesamaran akan memantapkan maklumat dalam diri pendengar kerana akal tertunggu-tunggu maklumat perincian contohnya
اهدنا الصراط المسيقيم yang diperincikan oleh ayat selepasnya.
Adakah
أحد berbeza dengan واحد ? Dua pendapat:

Pertama sama iaitu pendapat Syeikh Khalil bin Ahmad al-farahidi guru sibawaih.

Kedua: tidak sama, penggunaan Ahad khusus bagi Allah sahaja, pendapat al-Azhari.

Apakah isyarat tiga lafaz
هو الله أحد ? Jawapan: isyarat kepada tiga maqam:


Al-Muqarrabin: memadai dengan هو kerana tiada dalam diri mereka melainkan allah sahaja

Ashab Yamin: perlu nyatakan nama khas kerana membezakan perkara wujud lain daripada allah yang berada dalam jiwa mereka

Ashab Syimal: perlu dinyatakan sifat keesaan Allah kerana mereka mensyirikkan dan beriktikad wajib wujud lebih satu

Friday, November 5, 2010

Menjaga Zikir Yang Di Ijazahkan

Zikir yang di ijazahkan[1] merupakan satu amanah yang wajib dijaga oleh para murid. Meninggalkannya adalah berdosa. Bukan berdosa kerana tidak mengamalkan zikir tarekah akan tetapi berdosa kerana mendustakan janji atau lebih tepat bai’ah[2]. Ketika bai’ah zikir, berlaku perjanjian antara murid dan guru di hadapan Allah SWT. Maka, para murid berjanji menjaga zikir yang di ijazahkan sehingga ke akhir hayat mereka. Jika mereka meninggalkan zikir demikian, sesungguhnya mereka telah melanggar perjanjian,. Lantaran melanggar perjanjian, mereka berada dalam keadaan berdosa. Berdosa kerana menjadi pendusta.

Sahabat..

Jika hal ini berlaku pada kalian, segeralah bertaubat.

Akibat Meninggalkan Zikir

Tiadalah akibat yang paling menakutkan bagi para murid yang meninggalkan zikir melainkan menjadi lebih teruk dari orang kebanyakan. Jika kebanyakkan orang awam jarang bersolat, mungkin dia langsung tidak bersolat. Jika kebanyakan orang awam menjalani kehidupan bagai orang tiada agama, dia mungkin langsung tidak beragama. Mengapa?

Hal demikian merupakan balasan dari Allah SWT. Hidayah yang dikecapi oleh murid sebelum ini, ditarik balik oleh Allah kerana ingkar terhadap perjanjian. Allah telah menutup kembali hati murid itu tadi lantaran menjadi pendusta. Setiap kali mereka meninggalkan zikir, satu titik hitam terus melekat di hati mereka. Semakin meniti hari demi hari, semakin kelam tompokan hitam di hatinya, seterusnya dia terus jauh dari Allah Azza Wa Jalla. Alangkah ruginya mereka, sudah elok dari kegelapan ke cahaya, mereka mencampakkan diri mereka kembali ke kegelapan.

Sahabatku, Sesungguhnya perjanjian taat setia, baiah merupakan perkara yang tsabit dari Al Quran dan Hadis. Ia bukan perkara gurau-gurauan atau rekaan mursyid tarekah.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيہِمۡ‌ۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦ‌ۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَـٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمً۬ا

"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar" (Al Fath:10)

Allah SWT juga memberi peringatan kepada kita, jangan sesekali membatalkan atau melanggar janji.

وَأَوۡفُواْ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ إِذَا عَـٰهَدتُّمۡ وَلَا تَنقُضُواْ ٱلۡأَيۡمَـٰنَ بَعۡدَ تَوۡڪِيدِهَا وَقَدۡ جَعَلۡتُمُ ٱللَّهَ عَلَيۡڪُمۡ كَفِيلاً‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا تَفۡعَلُونَ

"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan"(An Nahl:91)



Sesungguhnya Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah bertanya akan Nabi SAW dengan katanya:

” Wahai Rasulullah SAW, tunjukkan kepadaku jalan yang paling dekat menuju Allah, yang paling mudah ke atas hambaNya dan yang paling afdhal di sisi Allah SWT. Nabi SAW menjawab: hendaklah kamu sentiasa melazimi zikir kepada Allah secara sir dan juga jahr, lalu Sayyidina Ali berkata: semua manusia berzikir mengingati Allah, maka khususkan aku dengan sesuatu, Rasulullah SAW bersabda: perkataan paling afdhal yang aku dan nabi-nabi sebelumku ucapkan ialah [3]لا إله إلا الله kalaulah langit-langit dan bumi-bumi berada di satu neraca dan لا إله إلا الله di suatu neraca yang lain nescaya kalimah لا إله إلا الله adalah lebih berat. Dan tidak berlaku kiamat selagi ada di atas muka bumi ini orang yang mengucapkan لا إله إلا الله kemudian Sayyidina Ali bertanya: Bagaimana untuk aku berzikir ? Baginda SAW menjawab: Pejamkan kedua matamu dan dengarkan daripadaku لا إله إلا الله tiga kali. Kemudian sebutlah tiga kali dan aku pula mendengar , kemudian Sayyidina Ali melakukan sebagaimana yang di suruh dengan mengangkat suara[4]

Hikmah bai’ah

Ketahuilah bahawa Allah SWT melaksanakan peraturanNya dengan meletak dan menentukan beberapa perbuatan, amalan-amalan dan kata-kata yang bersifat zahir dan boleh di pandang serta di dengar sebagai pelambangan, simbol dan manifestasi bagai menyatakan perkara-perakara yang bersifat rohaniah, halus dan tersembunyi di jiwa insan. Contohnya seperti konsep tasdiq membenarkan dan mempercayai dengan yakin akan kewujudan dan keesaan Allah dan hari akhirat merupakan perkara abstrak, halus dan rohaniah(sukar hendak di tentukan manusia). Maka Islam meletakkan ikrar pengakuan lidah sebagai simbol untuk melambangkan perkara tasdiq yang bersifat mujarrad dan halus itu.

Contoh lain ialah konsep ridha atau at taradhi di dalam kegiatan perniagaan. Konsep ini juga adalah perkara halus, tersembunyi. Maka di tentukan amalan ijab dan qabul atau aqad sebagai simbol untuk mengganti perkara ridha atau at taradhi yang bersifat batin dan halus itu. Begitulah juga konsep taubat dan azam untuk meninggalkan maksiat, dan azam untuk berpegang teguh dengan tali taqwa adalah merupakan perkara yang halus dan, mujarrad dan tersembunyi[5]. Oleh itu ditentukan amalan bai’ah iaitu berjanji setia untuk melambang dan menggantikan taubat dan azam yang merupakan perkara-perkara halus dan tersembunyi itu.

(Penawar Roh: Syeikh Waliyullah Ad Dahlawi, m/s 17)



[1] Zikir yang di ijazahkan berbeza dengan amalan zikir tanpa ijazah dari guru. zikir yang di ijazah memberi kesan yang lebih cepat dan berkesan. ini kerana zikir tersebut mengandungi barakah hasil hubungan rantaian sanad dari seorang syeikh kepada seorang syeikh sehingga ke Baginda SAW. Selain itu, para murid yang mengambil zikir yang di ijazahkan akan mendapat bimbingan dari gurunya dalam menempuh perjalanan zikir bagi mencapai buah-buahan hakikat ketuhanan. keadaan amat berbeza jika seseorang beramal tanpa guru. Kalimah zikir yang diungkapkan memang sama, namun mereka terpinga-pinga dalam mengatur langkah. mereka jua terdedah dengan tipu daya kerohanian yang amat halus. akhirnya, kebanyakanmereka tersesat di alam malakut.

[2] Syeikh Fathi Yakan berkata: Bai’ah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Umat islam telah beberapa kali memberikan bai’ah mereka kepada Rasulullah SAW ketika masa hidup baginda seperti bai’ah al aqabah yang pertama, kedua dan bai’ah ar ridzuan. Bai’ah seperti ini terus berlaku setelah kewafatan Rasulullah SAW. Umat Islam telah memberikan bai’ah kepada pemimpin-pemimpin mereka. Ruj Apa Ertinya Saya Menganut Islam m/s 229

[3] Kelebihan ziikir لا إله إلا الله sebagaimana hadis berikut:

عن أبي هريرة أنه قال: قلت يا رسول الله من أسعد الناس بشفاعتك يوم القيامة قال رسول االله لقد ظننت يا أبا هوريرة أن لا يسألني عن هذا الحديث أحد أول منك لما رأيت من حرصك على الحديث أسعد الناس بشفاعتي يوم القيامة من قال: لا إله إلا الله خالصا من قلبه أو نفسه

Daripada Abu Hurairah bahawasanya dia berkata: berkata aku: wahai Rasulullah, siapakah manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafaat engkau pada hari kiamat?” berkata Rasulullah SAW: “Demi sesungguhnya aku telah menyangka wahai Abu Hurairah bahawa tiada bertanya kepada aku tentang hadith ini oleh orang pertama sebelum daripada engkau, kerana aku lihat semangat engkau untuk mengetahuinya hadith. Manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafaat pada hari qiamat ialah mereka yang berkata: لا إله إلا الله لهhal keadaan bersih hatinya atau dirinya dari sebarang syirik)

[4] (Riwayat At Tabrani dan Al Bazzar dengan sanad hasan)

[5] Contoh perkara-perkara batin yang lain ialah: takut, harap, kasih, marah, benci, ta’dzim, menyesal dan lain-lain.