Zikir yang di ijazahkan[1] merupakan satu amanah yang wajib dijaga oleh para murid. Meninggalkannya adalah berdosa. Bukan berdosa kerana tidak mengamalkan zikir tarekah akan tetapi berdosa kerana mendustakan janji atau lebih tepat bai’ah[2]. Ketika bai’ah zikir, berlaku perjanjian antara murid dan guru di hadapan Allah SWT. Maka, para murid berjanji menjaga zikir yang di ijazahkan sehingga ke akhir hayat mereka. Jika mereka meninggalkan zikir demikian, sesungguhnya mereka telah melanggar perjanjian,. Lantaran melanggar perjanjian, mereka berada dalam keadaan berdosa. Berdosa kerana menjadi pendusta.
Sahabat..
Jika hal ini berlaku pada kalian, segeralah bertaubat.
Akibat Meninggalkan Zikir
Tiadalah akibat yang paling menakutkan bagi para murid yang meninggalkan zikir melainkan menjadi lebih teruk dari orang kebanyakan. Jika kebanyakkan orang awam jarang bersolat, mungkin dia langsung tidak bersolat. Jika kebanyakan orang awam menjalani kehidupan bagai orang tiada agama, dia mungkin langsung tidak beragama. Mengapa?
Hal demikian merupakan balasan dari Allah SWT. Hidayah yang dikecapi oleh murid sebelum ini, ditarik balik oleh Allah kerana ingkar terhadap perjanjian. Allah telah menutup kembali hati murid itu tadi lantaran menjadi pendusta. Setiap kali mereka meninggalkan zikir, satu titik hitam terus melekat di hati mereka. Semakin meniti hari demi hari, semakin kelam tompokan hitam di hatinya, seterusnya dia terus jauh dari Allah Azza Wa Jalla. Alangkah ruginya mereka, sudah elok dari kegelapan ke cahaya, mereka mencampakkan diri mereka kembali ke kegelapan.
Sahabatku, Sesungguhnya perjanjian taat setia, baiah merupakan perkara yang tsabit dari Al Quran dan Hadis. Ia bukan perkara gurau-gurauan atau rekaan mursyid tarekah.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar" (Al Fath:10)
Allah SWT juga memberi peringatan kepada kita, jangan sesekali membatalkan atau melanggar janji.
وَأَوۡفُواْ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ إِذَا عَـٰهَدتُّمۡ وَلَا تَنقُضُواْ ٱلۡأَيۡمَـٰنَ بَعۡدَ تَوۡڪِيدِهَا وَقَدۡ جَعَلۡتُمُ ٱللَّهَ عَلَيۡڪُمۡ كَفِيلاًۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا تَفۡعَلُونَ
"Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan"(An Nahl:91)
Sesungguhnya Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah bertanya akan Nabi SAW dengan katanya:
” Wahai Rasulullah SAW, tunjukkan kepadaku jalan yang paling dekat menuju Allah, yang paling mudah ke atas hambaNya dan yang paling afdhal di sisi Allah SWT. Nabi SAW menjawab: hendaklah kamu sentiasa melazimi zikir kepada Allah secara sir dan juga jahr, lalu Sayyidina Ali berkata: semua manusia berzikir mengingati Allah, maka khususkan aku dengan sesuatu, Rasulullah SAW bersabda: perkataan paling afdhal yang aku dan nabi-nabi sebelumku ucapkan ialah [3]لا إله إلا الله kalaulah langit-langit dan bumi-bumi berada di satu neraca dan لا إله إلا الله di suatu neraca yang lain nescaya kalimah لا إله إلا الله adalah lebih berat. Dan tidak berlaku kiamat selagi ada di atas muka bumi ini orang yang mengucapkan لا إله إلا الله kemudian Sayyidina Ali bertanya: Bagaimana untuk aku berzikir ? Baginda SAW menjawab: Pejamkan kedua matamu dan dengarkan daripadaku لا إله إلا الله tiga kali. Kemudian sebutlah tiga kali dan aku pula mendengar , kemudian Sayyidina Ali melakukan sebagaimana yang di suruh dengan mengangkat suara
Ketahuilah bahawa Allah SWT melaksanakan peraturanNya dengan meletak dan menentukan beberapa perbuatan, amalan-amalan dan kata-kata yang bersifat zahir dan boleh di pandang serta di dengar sebagai pelambangan, simbol dan manifestasi bagai menyatakan perkara-perakara yang bersifat rohaniah, halus dan tersembunyi di jiwa insan. Contohnya seperti konsep tasdiq membenarkan dan mempercayai dengan yakin akan kewujudan dan keesaan Allah dan hari akhirat merupakan perkara abstrak, halus dan rohaniah(sukar hendak di tentukan manusia). Maka Islam meletakkan ikrar pengakuan lidah sebagai simbol untuk melambangkan perkara tasdiq yang bersifat mujarrad dan halus itu.
Contoh lain ialah konsep ridha atau at taradhi di dalam kegiatan perniagaan. Konsep ini juga adalah perkara halus, tersembunyi. Maka di tentukan amalan ijab dan qabul atau aqad sebagai simbol untuk mengganti perkara ridha atau at taradhi yang bersifat batin dan halus itu. Begitulah juga konsep taubat dan azam untuk meninggalkan maksiat, dan azam untuk berpegang teguh dengan tali taqwa adalah merupakan perkara yang halus dan, mujarrad dan tersembunyi[5]. Oleh itu ditentukan amalan bai’ah iaitu berjanji setia untuk melambang dan menggantikan taubat dan azam yang merupakan perkara-perkara halus dan tersembunyi itu.
(Penawar Roh: Syeikh Waliyullah Ad Dahlawi, m/s 17)
[1] Zikir yang di ijazahkan berbeza dengan amalan zikir tanpa ijazah dari guru. zikir yang di ijazah memberi kesan yang lebih cepat dan berkesan. ini kerana zikir tersebut mengandungi barakah hasil hubungan rantaian sanad dari seorang syeikh kepada seorang syeikh sehingga ke Baginda SAW. Selain itu, para murid yang mengambil zikir yang di ijazahkan akan mendapat bimbingan dari gurunya dalam menempuh perjalanan zikir bagi mencapai buah-buahan hakikat ketuhanan. keadaan amat berbeza jika seseorang beramal tanpa guru. Kalimah zikir yang diungkapkan memang sama, namun mereka terpinga-pinga dalam mengatur langkah. mereka jua terdedah dengan tipu daya kerohanian yang amat halus. akhirnya, kebanyakanmereka tersesat di alam malakut.
[2] Syeikh Fathi Yakan berkata: Bai’ah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Umat islam telah beberapa kali memberikan bai’ah mereka kepada Rasulullah SAW ketika masa hidup baginda seperti bai’ah al aqabah yang pertama, kedua dan bai’ah ar ridzuan. Bai’ah seperti ini terus berlaku setelah kewafatan Rasulullah SAW. Umat Islam telah memberikan bai’ah kepada pemimpin-pemimpin mereka. Ruj Apa Ertinya Saya Menganut Islam m/s 229
[3] Kelebihan ziikir لا إله إلا الله sebagaimana hadis berikut:
Daripada Abu Hurairah bahawasanya dia berkata: berkata aku: wahai Rasulullah, siapakah manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafaat engkau pada hari kiamat?” berkata Rasulullah SAW: “Demi sesungguhnya aku telah menyangka wahai Abu Hurairah bahawa tiada bertanya kepada aku tentang hadith ini oleh orang pertama sebelum daripada engkau, kerana aku lihat semangat engkau untuk mengetahuinya hadith. Manusia yang lebih bahagia dengan mendapat syafaat pada hari qiamat ialah mereka yang berkata: لا إله إلا الله لهhal keadaan bersih hatinya atau dirinya dari sebarang syirik)
[5] Contoh perkara-perkara batin yang lain ialah: takut, harap, kasih, marah, benci, ta’dzim, menyesal dan lain-lain.
bagus sekali
ReplyDelete