Sahabat...
Menjaga adab kepada Allah SWT merupakan perjalanan para nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Kehalusan adab denganNya suatu manifestasi cinta seorang hamba kepada Khaliq. Ibadah dan kehidupan kosong jika tiada adab mengiring ibadah dan denyutan kehidupan kita. Maka, jadi lah kita hamba mengerjakan ketaatan, namun penat lelah kita tiada dalam pandanganNya. Sebenarnya jika hati mereka bersih, kecantikan adab akan teserlah pada akhlak mereka. Usah kita menutur ungkapan cinta pada Yang Maha Esa jika tiada adab kepadaNya. Bak kata pujangga
“Cinta itu sendiri mengajar pencinta bagaimana untuk beradab”
Sesungguhnya sebahagian Adab seorang hamba kepada Allah Azza Wa Jalla merangkumi perkara berikut:
1-Ikhlas
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Al Kahfi :110)
Janganlah sesekali kita beribadah kerana selain Allah SWT. Sering di hadapan manusia, kita mula beribadah dengan harapan ibadah tersebut di lihat manusia. Jelas, hati kita masih mendambakan pujian dan perhatian makhluk. Ini lah di katakan beribadah kerana manusia sedangkan pada lafaz niat beribadah semata-mata kerana Allah SWT. Kita telah mempersekutukan Allah dalam ibadah tanpa kita sedari. Allah SWT juga berfirman:
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya", (Al Bayyinat:5)
2-Tidak mengsyirikkan Allah SWT
وَلَوۡ أَشۡرَكُواْ لَحَبِطَ عَنۡهُم مَّا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik). (Al-An’am:88)
berdasarkan ayat tersebut. Orang yang beramal amalan-amalan baik masih boleh berlaku syirik dalam ibadah mereka. Jangan di fikir, syirik hanya menyembah berhala atau menduakan Allah dengan sembahan lain. Syirik dalam hati kita bagaimana[1]? Ini yang manusia terlepas pandang.
3-Syukur
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Ibrahim:7)
Hendaklah kita bersyukur atas segala nikmat kurniaanNya terhadap kita. Cara untuk bersyukur ialah kita menghargai dan menggunakan nikmat yang di beri ke jalan yang benar. Biar kita ambil contoh, harta melimpah seharusnya di gunakan untuk jalan Allah bukan ke arah kemaksiatan. Sesungguhnya nikmat Iman dan Islam yang di kurniakan wajib kita pertahankan dan suburkan dengan zikir dan mujahadah.
4-Mengagungkan syariat Allah
ذَٲلِكَ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَـٰٓٮِٕرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ
Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin. (Al Haj:32)
Hendaklah kita mengagungkan dan memuliakan syariat Allah SWT. Syariat Allah adalah yang terbaik. Sesungguhnya Allah menciptakan kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Dia menjadikan masyarakat, dan Dia telah menyusun perundangan sebagaimana termaktub dalam Quran dan As Sunnah. Justeru itu, adakah wajar undang-undang kafir di nobatkan sebagai perlembagaan di Negara yang mana para pemimpin mengucapkan syahadah.
5-Tidak berdusta atas nama Allah
وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُڪُمُ ٱلۡكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌ۬ وَهَـٰذَا حَرَامٌ۬ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. (An Nahl:116)
Dalam membenarkan hujah-hujah palsu. Sesetengah mereka sanggup menodai lidah mereka dengan mendustakan Allah. mereka tiada takut menuturkan “Ini Allah yang berkata”, “Ia Ungkapan Yang Maha Esa” sedangkan Allah tidak pernah berfirman Hal demikian. Berhati-hati lah jika kalian berhadapan dengan golongan seperti ini.
6-Muraqabah
وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ
sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat[2] kepadanya daripada urat lehernya, (Qaf:16)
Hati kita hendaklah sentiasa muraqabah iaitu merasai kehampiran dengan Allah SWT dalam setiap hal pekerjaan kita. Dia tidak jauh, oleh itu tiada sebab untuk kita kita merasai. Malangnya hati kita tertutup untuk menyingkap tabir ketuhanan. Maka berlalu lah kehidupan kita dalam hal leka bahkan sanggup berbuat maksiat. Betapa tidak malunya kita kepada Allah Azza Wa Jalla.
7-Takut dan berharap[3]
وَيَرۡجُونَ رَحۡمَتَهُ ۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۥۤۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحۡذُورً۬ا
Serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya, sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. (Al Isra’:57)
Sebaik sahaja mendengar ceramah perihal azabNya atau keadaan kacau bilau di padang masyhar kelak, tiada lain melainkan semata-mata gentar dan takut amat sangat. Rasanya tidak mampu kita berhadapan azabnya. Pada masa yang sama kita juga di hidangkan, berapa banyak amalan-amalan baik tertolak lantaran di cemari penyakit mazmumah. Kita takut akan azabNya pada masa yang sama kita juga tidak mampu menjadi sebaik-baik orang beriman. Maka sebagai hamba, kita mesti berharap akan rahmat Allah dengan sepenuh harapan agar Allah SWT menerima ibadah kita. Kita jua berharap Allah menerima taubat dan lantas menyelamtkan kita dari azab-azabNya.
8-Bertaubat
وَلَوۡ أَنَّهُمۡ إِذ ظَّلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ جَآءُوكَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ ٱللَّهَ وَٱسۡتَغۡفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُواْ ٱللَّهَ تَوَّابً۬ا رَّحِيمً۬ا
dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (An Nisa’:64)
Kita sebagai hamba yang dhaif, tidak lepas dari melakukan kesilapan. Yakin akan sifat Keampunan dan kasih sayangNya. Bagaikan bukit, betapa besar dosa yang telah dilakukan, namun pintu keampunan Allah lagi besar jauh dari jangkaan akal kita. Ayuh, mulakan hari kita dengan sentiasa perbaharui taubat kepada Allah SWT.
9-Berdoa
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al Baqarah:186)
Ketahuilah sahabat, sesungguhya doa merupakan dalil jelas sejauh mana hubungan seoarang hamba dengan penciptanya. Dalam seharian kita menempuh samudera kehidupan, langsung tidak pernah berdoa kepadaNya. Ia menunjukan hati kita sombong dan ego tidak mahu meminta pertolongan dari Allah. Para nabi, sahabat dan orang soleh menghabiskan satu pertiga malam mereka bermunajat dan berdoa kepada Allah. Tiada harapan lain melainkan hanya mengadu seribu macam permasalahan umat terhadap Allah SWT. Kerana Hanya Dia Maha Berkuasa. Siapakah kita untuk membelakangkan Allah dalam kehidupan kita?
10-Faqir
.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ
wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.(Fatir:15)
Tiada perasaan lain sepatutnya memenuhi ruang hati kita melainkan merasai kefakiran di sisi Allah SWT.
11-Cinta
يُحِبُّہُمۡ وَيُحِبُّونَهُ
...Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah( Al Maidah:54)
Betapa asyik manusia dalam melayari cinta dengan sang kekasih. Pengorbanan atas nama cinta mula di falsafahkan. Allah mengurniakan perasaan dan kehebatan cinta kepada manusia supaya manusia memahami bagaimana simbolik sekiranya cinta bertapak dalam sanubari manusia. Kerana Cinta, manusia sanggup berbuat apa saja. Itu baru cinta sesama makhluk. Apatahlagi jika cinta kepada Yang Kekal, iaitu Allah SWT. Lihat para Nabi, sahabat serta ulamak. Mereka sedia berkorban jiwa dan raga untuk menegakkan syiar kekasih mereka, Allah Azza Wa Jalla. Akal kita takkan mampu memahami pengorbanan mereka. Apakah sebabnya? Kerana hati kita hanya ada cinta dunia, tiada cinta akan Allah SWT. Sesungguhnya belum terlambat untuk memupuk kecintaan kepada Maha Pencinta.
[1] Ia di panggil syirik khafi iaitu syirik yang halus sepertii riya', takkabur, ujub dan sama hal dengannya
[2] Sesungguhnya Dia lebih dekat kepada hambaNya dari urat lehernya sendiri. KedekatanNya tidak sama dengan kedekatan anggota tubuh. Maha suci Allah dari anggapan bahawa Dia di lingkungi oleh tempat, sebagaimana Maha Suci Allah Taala di batasi oleh zaman.
[3] Biasa juga di sebut Khauf dan Raja’
No comments:
Post a Comment