Wanita telah ditinggikan kemuliaannya dengan kedatangan agama Islam melalui wahyu yang telah diturunkan kepada para rasul. Anda tentu sudah tidak asing dengan cerita khalifah Islam yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khattab yang menanam hidup-hidup anak perempuannya kerana kepercayaan pada zaman tersebut bahawa anak perempuan hanya akan membawa nasib malang pada keluarga. Ini tidak lain tidak bukan, hanya meletakkan wanita sebagai serendah-rendah makhluk yang berada di muka bumi ini. Namun, kedatangan syariat Islam menenggelamkan segala kezaliman yang sekian lama wujud ini.
Menurut Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi dalam kitabnya yang bertajuk Sistem Masyarakat Islam dalam Al-Quran Sunnah, beliau menyebut bahawa Islam telah menghargai kewanitaan wanita dan Islam menganggap wanita sebagai unsur penyempurna bagi kaum lelaki, sebagaimana lelaki juga penyempurna bagi wanita. Maka bukanlah antara satu sama lain dari mereka itu sebagai musuh, bukan pula sebagai saingan, akan tetapi wanita sebagai penolong bagi kaum lelaki untuk menyempurnaan keperibadian dan jenisnya, dan sebaliknya. Oleh kerana perkaitan yang erat antara lelaki dan wanita inilah Islam memperlakukan wanita dengan baik tanpa merendahkan dan menghina mereka.
Sesuai dengan kesucian dan kesempurnaan ajaran Islam, maka wujudlah garispanduan yang perlu diikuti oleh kaum wanita itu sendiri bagi melindungi diri mereka daripada terlibat dengan fitnah bahkan menjadi sumber fitnah dalam menjalani kehidupan mereka sebagai seorang muslimah. Walaupun agama Islam telah menjaga kepentingan seorang wanita supaya dilindungi sepenuhnya sepanjang usia mereka, (bermula daripada menjadi tanggungjawab bapa, kepada menjadi tanggungjawab suami, sehinggalah menjadi tanggungjawab anak-anak lelaki mereka), kaum wanita seharusnya bijak membezakan antara perkara yang baik mahupun sebaliknya. Saya ingin katakan di sini adalah kaum wanitalah seharusnya peka dengan tuntutan-tuntutan syariat Islam sekiranya ingin menjalani kehidupan yang tenang di dunia dan di akhirat, walaupun ada insan lain yang dipertanggungjawabkan menjaga diri mereka.
Bagi membantu para muslimah sekalian, di sini saya cuba menyenaraikan apakah adab-adab atau garispanduan yang perlu diikuti oleh seorang muslimah dalam kehidupan mereka terutamanya apabila berada jauh daripada penjagaan keluarga ataupun suami berdasarkan penulisan Profesor Yusof Al-Qardhawi.
Pertama
Memelihara pandangan matanya dan memelihara kesuciannya, sebagaimana firman Allah SWT
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, 'Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya...'" (An Nur: 31)
Kedua
Menutup aurat dan perhiasannya dengan baik, tidak berpakaian terlalu sempit dan menjolok mata. Allah SWT berfirman
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain jilbabnya ke dadanya."
(An Nur: 31)
Ketiga
Hendaknya jangan menampakkan perhiasannya yang tersamar, seperti rambut, leher, kedua lengan dan kedua betis kecuali kepada suaminya atau muhrimnya. Allah SWT berfirman
“Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. . ." (An-Nur: 31)
Keempat
Hendaklah bersopan dalam berjalan dan berbicara. Allah SWT berfirman.
“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan ... " (An-Nur: 31)
“Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik." (Al Ahzab: 32)
Kelima.
Hendaklah ia menjauhi segala sesuatu yang menarik perhatian lelaki dari dirinya seperti berdandan (tabarruj) dengan dandanan ala jahiliyah. kerana ini bukanlah akhlaq seorang wanita yang bersih. Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa saja wanita yang memakai wangi-wangian, kemudian keluar dari rumahnya agar dicium baunya oleh orang maka ia berzina." (HR. Abu Dawud)
Maksudnya seakan ia berbuat zina, meskipun ia tidak berbuat demikian, maka wajib atas wanita menjauhi perilaku seperti itu
Keenam
Wanita dilarang berduaan dengan lelaki lain yang bukan suaminya dan bukan muhrimnya, hal itu untuk memelihara dirinya dan diri orang lain dari bisikan-bisikan dosa dan memelihara dirinya dari berita-berita bohong. Nabi SAW bersabda
“Jangan sekali-kali seseorang itu bersepi-sepi dengan seorang wanita kecuali dengan muhrimnya" (HR. Muttafaqun 'Alaih)
Ketujuh
Jangan berikhtilath dengan kaum lelaki lain kecuali kerana keperluan yang terpaksa dan kemaslahatan yang dibenarkan dan dilakukan dengan seperlunya, seperti solat di masjid, menuntut ilmu, berta'awun untuk kebaikan dan ketaqwaan, yang tidak terlarang bagi wanita itu untuk ikut serta dalam memberi pelayanan kepada masyarakat, tetapi jangan lupa batas-batas syari'at dalam bertemu dengan lelaki.
Begitulah antara adab-adab yang perlu diamalkan dalam kehidupan seorang wanita muslimah. Islam telah mengatur kehidupan muslimah dengan sempurna agar terhindar dari sebarang tipu daya. Jadi kepada para muslimah sekalian, saya ingin berpesan kepada anda dan diri saya sendiri, jagalah maruah kerana maruah merupakan cermin diri kita.
Sila berkunjung ke Laman Baru
13 years ago
No comments:
Post a Comment