RSS

Thursday, August 5, 2010

Isu Penyatuan UMNO - PAS (bahagian 2/2)

MEREKA DAPAT UNTUNG, RUGI DITANGGUNG RAKYAT

Majoriti pemimpin UMNO kini dari pemimpin tertinggi sehingga peringkat cawangan adalah peniaga yang mencari untung bermodalkan harta rakyat. Mereka tiada keberanian untuk berniaga dengan wang sendiri, mereka menjadikan projek yang berselindung atas nama projek rakyat sebagai perniagaan yang boleh mencapai keuntungan jutaan ringgit. Jika projek tersebut berjaya, mereka memperolehi keuntungan, jika gagal, kerugian tersebut akan ditanggung oleh rakyat. Kekayaan negara akan berlegar hanya pada golongan mereka.Justeru untuk menjadi jutawan dengan harta rakyat ini, mereka berhempas pulas untuk mendapat jawatan kerana ianya akan membuka ruang untuk mencapai cita-cita tersebut.

Bergabung saat mereka dalam kemabukan ini tiada akan memberi manfaat. Ibarat orang sedang mabuk, mereka tidak akan menerima apa jua nasihat ketika itu. Cara yang selamat ialah dengan menghentikan mereka minum dengan mengurung mereka di pusat-pusat pemulihan sehingga ketagihan mereka hilang, kemudian barulah boleh diberi nasihat.

Jika kita kasih kepada saudara Melayu kita dalam Umno, marilah kita hentikan kerosakan yang dilakukan dengan menghentikan mereka dari terus memerintah Malaysia ini. Ia menepati hadis di atas di mana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kita membantu golongan yang zalim dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Moga dengan mereka berehat atau kehilangan kuasa dan tiada peluang membina kekayaan, mereka menjadi golongan yang insaf dan membaiki diri.

BERANI MELAKUKAN PERUBAHAN

Kita mesti berani melakukan perubahan dengan membuang segala belenggu pemikiran yang sudah lama diikat dengan pelbagai fobia ciptaan UMNO dengan memberi kuasa pula pada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik.

UMNO akan tetap menunjukkan wajah prihatin pada masyarakat dengan budaya subsidi dan duit ihsan. Ianya tidak lain melainkan mahu orang Melayu tetap berjalan dengan bertongkat pada UMNO. Orang Melayu tidak akan diajar berjalan sendiri tanpa tongkat kerana jika orang Melayu sudah pandai berjalan sendiri, mereka tidak akan memerlukan UMNO lagi.

Hanya dengan duit ihsan RM600 setahun, pemikiran dan jiwa orang Melayu terus diikat dengan tongkat sakti mereka sehingga mereka sanggup menjadi bangsa yang miskin, pasif dan tidak berdaya maju. Budaya ini menyebabkan kekayaan negara akan terus dimiliki sesiapa sahaja yang pandai merebut peluang sama ada orang Cina, Jepun, Indonesia, Kemboja atau lainnya kerana mereka tiada tongkat UMNO.

UMNO tetap akan melemahkan orang Melayu dengan tongkat, keangkuhan dan ketamakan yang mana dengan budaya ini jika dikekalkan, orang Melayu satu masa akan merempat di negara sendiri.

Kepada para sahabat saya yang masih terkhilaf dengan permasalahan ilmu sehingga merasa kurang senang dengan PAS lalu mengambil sikap berdiam diri dan ada yang menentang cara terang-terangan, saya memberi nasihat agar kita perlu memiliki pertimbangan bijak demi kebaikan kepada Agama dan Negara.

Kita tidak boleh menyelesaikan dua perkara yang besar dalam satu masa. Isu politiknya kita mesti menghentikan pemerintahan BN demi kebaikan rakyat dan generasi akan datang. Adapun isu khilaf ilmu kita selesaikan dengan cara muzakarah di kalangan ulama dengan tidak melibatkan orang awam dan pendirian politik.
Ibarat melihat masjid yang terbakar, terdapat di sana golongan yang kita tidak senang dengan ilmunya sedang berusaha memadamkan api… bagaimana sikap dan keutamaan kita pada ketika itu? Mendiamkan diri walaupun masjid terbakar kerana tidak setuju dengan golongan tersebut, sedangkan dalam golongan tersebut ada mereka yang sama pendirian ilmunya dengan kita atau bersama memadamkan api dahulu barulah kita mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan permasalahan?

Saya meyakini bahawa ketuanan Melayu tidak akan terjejas apabila Pakatan Rakyat memerintah. Kaum Cina dan India mengetahui bahawa mereka tidak boleh memilki kekuasaan politik tanpa orang Melayu. Perlembagaan juga menghalang mereka untuk menjadi kuasa yang tertinggi di Malaysia kerana ia perlu kepada persetujuan Yang Dipertuan Agung. Apa yang mereka mahu hanyalah pemerintahan Melayu yang berlaku adil kepada mereka.

Seorang pensyarah universiti menegaskan yang Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi kaum Melayu pada setiap tahun. Statistik ini menyakinkan beliau.

Justeru kita wajib mewujudkan pemerintahan Melayu yang berteraskan Islam, bukannya kebangsaan. Ia akan memadamkan bara api perkauman sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam mentadbir Madinah.

PAS MEMIMPIN MELAYU

Saya amat meyakini kepimpinan PAS dan Melayu dalam PKR juga sudah mengambil kira segala hal demi memberi kebaikan pada semua rakyat tanpa merombak dasar-dasar kerajaan kini jika ia mempunyai kebaikan pada orang Melayu, negara dan Islam.

Tahalluf politik mereka adalah bersyarat dimana ianya terikat dengan perjanjian. Mana-mana parti yang melanggar perjanjian apabila memerintah, maka dengan sendirinya tahalluf itu akan terbatal. Antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling tersusun, keahlian yang ramai dan pengaruh yang besar pada orang Melayu.

PAS sudah mampu menggantikan UMNO dalam menerajui kepimpinan Melayu berteraskan Islam. Kepimpinan ulama dan pejuang Islam lebih memberi kebaikan yang besar kerana menyambung perlaksanaan Rasulullah SAW dalam siasah dan pentadbiran.

Justeru itu pemikiran ‘takut’ akibat ajaran UMNO perlu dibuang jika mahu menjadi rakyat yang bijak serta benar-benar menggunakan kuasa yang dibenarkan dalam sistem demokrasi demi kebaikan pada negara.

Kita sebagai rakyat diberi kuasa pemilihan lima tahun sekali untuk menilai keupayaan mana parti dalam mentadbir, bukannya kita memberi kuasa mutlak yang tiada boleh digantikan selama-lamanya. Jika UMNO wujud di Jepun, Korea atau negara-negara maju yang lain, UMNO sudah lama dikuburkan oleh rakyatnya dengan pelbagai penyelewengan yang dilakukan.

Mereka yang suka dengan cara yang sama walaupun telah 50 tahun lamanya adalah mereka yang tiada memiliki jiwa besar dan berani melakukan perubahan ke arah yang baik.

Kita tidak boleh menafikan di sana ada jasa dan kebaikan yang dilakukan UMNO. Kita perlulah menghargainya, namun dasar-dasarnyanya tiada boleh kita terima dan kerosakan partinya tiada lagi dapat diubati. Keuzurannya itu memerlukan mereka berehat untuk mereka membuat rawatan.

Kita sebagai kuasa rakyat wajar memberi peluang kepada Parti Alaf Baru (Pakatan Rakyat) yang menepati dasarnya dengan perubahan dunia dan jiwa generasi baru hari ini. Isu peribadi dalam Pakatan Rakyat seperti isu Anwar dan lainnya bukan menjadi isu bagi kita kerana perjuangan kita sebagai rakyat bukan mahu menaikkan individu, tetapi mahu menaikkan ma’aruf dan menghapuskan kemungkaran demi menunaikan tuntutan dan kewajiban agama.

HARAPAN

Apa yang diharapkan, Pakatan Rakyat akan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mengeratkan hubungan antara rakyat apabila mencapai kemenangan, bukan menjadikannya sebagai kesempatan untuk membalas dendam, mengumpul harta, tidak berlaku adil sebagaimana perangai UMNO dan BN.

Marilah kita sama-sama membina kuasa rakyat yang kuat agar dapat mengajar orang politik berpolitik demi kebaikan semua. Masyarakat Islam generasi sahabat sentiasa prihatin apa yang dilakukan oleh pemimpin, mereka akan terus menegur dan membantah jika dilihat ada perkara yang meragukan.

Pernah para sahabat mempertikaikan bagaimana Saidina Umar r.a boleh membuat jubah sedangkan kain yang dibahagikan tidak boleh membuat jubah. Maka Saidina Umar r.a memberitahu bahawa anaknya Abdullah r.a telah memberi bahagian kainnya untuknya sehingga boleh membuat jubah. Inilah masyarakat yang dikehendaki oleh Islam, mereka berpegang pada prinsip amal ma’aruf dan nahi mungkar dalam kehidupan demi menjaga kebaikan agama, negara, pemimpin dan rakyat.

Inilah pandangan saya dan diharap para sahabat dapat menilai dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka, walaupun mungkin ada percanggahan pendapat.

Hanya Allah yang kita maksudkan dan keredhaanNya yang kita cari.

Al faqir illaLlah
Ibrahim Mohamad
Khadam Syathariyah
Pulau Manis, K. Terengganu

No comments:

Post a Comment